Wednesday, November 22, 2023

AMIR SI ADIWIRA KAMPUNG

Jerebu adalah fenomena alam yang melibatkan kehadiran debu atau partikel halus dalam udara, yang boleh memberi kesan kepada kualiti udara dan kesihatan manusia. Kejadian jerebu sering dikaitkan dengan pembakaran hutan, aktiviti perladangan terbuka, atau pun kebakaran hutan. Kisah ini menceritakan pengalaman seorang pelajar, Amir, ketika kejadian  jerebu yang teruk di kampung halamannya yang terletak di sebuah daerah negeri Kelantan.

Amir merupakan seorang pelajar tingkatan 2 di sebuah sekolah berdekatan kawasannya, di usia sepertinya, seorang pelajar seharusnya cakna tentang isu alam sekitar seperti jerebu. Namun demikian, Amir bersikap acuh tak acuh berkaitan isu ini kerana dia menganggap bahawa jerebu itu adalah kepulan asap biasa.

Pada suatu pagi, Amir berhasrat untuk beriadah di taman rekreasi. Sewaktu Amir membuka kelopak matanya daripada tidur, dia menyedari bahawa pagi itu tidak seperti hari biasa kerana pandangannya menjadi kabur dan kelam. Hal ini demikian kerana, cahaya matahari terhalang sepenuhnya oleh lapisan debu yang pekat.

Udara menjadi berat, dan pandangan jarak jauh menjadi kabur. Rupa-rupanya, ini adalah pagi di mana kampung halamannya dilanda jerebu yang teruk iaitu sesuatu yang tidak pernah dialami sebelumnya. Amir segera menyedari bahaya yang mungkin terjadi dan bersiap sedia untuk mengambil langkah berjaga-jaga.

Ketika Amir keluar dari rumahnya, sudah kelihatan dari jauh pokok-pokok yang seakan-akan tenggelam dalam lapisan debu yang pekat. Pada ketika itu, berlaku sedikit huru-hara. Amir melihat orang ramai di kampung berkeliaran dengan muka yang dilindungi oleh pelitup muka, Amir berasa hairan mengapa orang ramai memakai pelitup muka.

Amir mengambil keputusan untuk pergi ke perpustakaan awam untuk mencari maklumat lebih lanjut berkaitan jerebu seperti faktor, kesan dan langkah mengatasinya. Langkah yang diambilnya ini menunjukkan kesungguhan seorang pemuda untuk menyelesaikan isu jerebu di kampung halamannya.  

Di dalam perpustakaan tersebut, Amir telah bertemu dengan Puan Zaiton, seorang pustakawan yang telah mengabdikan hidupnya untuk menyimpan ilmu pengetahuan. Puan Zaiton memberi Amir buku-buku dan maklumat yang berkaitan dengan jerebu dan memberitahunya tentang bahaya dan risiko terhadap kesihatan yang mungkin timbul akibat daripada masalah jerebu yang semakin berleluasa ini.

Amir juga membaca tentang kesan daripada jerebu iaitu gangguan saluran pernafasan seperti sesak nafas, sakit dada, dan sebagainya. Tambahan pula, Amir menyedari bahawa golongan yang berisiko tinggi ialah mereka yang mempunyai sejarah kesihatan seperti asma.

Dalam perbualan mereka, Puan Zaiton berkongsi cerita lama tentang bagaimana jerebu pernah melanda kawasan mereka beberapa belas tahun yang lalu. Dia menceritakan bagaimana masyarakat setempat berganding bahu untuk membersihkan dan merawat kawasan hutan agar jerebu tidak berulang.

Amir mendapat inspirasi daripada cerita tersebut dan berasa bertanggungjawab untuk membantu orang kampung dalam mengatasi krisis jerebu yang berlaku di kampung halaman mereka. Perkara ini sedikit sebanyak telah menyunting semangat seorang pemuda bernama Amir.

Setelah tiba di rumahnya, ibu Amir memberitahu bahawa jirannya iaitu Tok Ali telah meninggal dunia akibat daripada sesak nafas. Berita ini menyayat hati Amir yang baru sahaja mengetahui tentang kesan dan risiko kejadian jerebu.  

Kejadian yang berlaku itu membuatkan Amir sedar dan mula berasa bertanggungjawab. Dia mengambil langkah awal dengan mengajak keluarga, rakan-rakan dan masyarakat setempat untuk mengadakan program gotong-royong seperti pembersihan dan penyelamatan hutan bagi mengurangkan risiko kejadian jerebu.

Selain itu, mereka juga mengadakan program kesedaran tentang kepentingan menjaga alam sekitar dan mengurangkan amalan pembakaran terbuka. Melalui usaha bersama ini, mereka berharap kejadian jerebu dapat dicegah pada masa depan. Mereka telah menjemput agensi berkaitan untuk memberikan ceramah tentang jerebu.

Walaupun jerebu memberikan cabaran yang besar kepada masyarakat, kisah ini menunjukkan bagaimana kejadian alam semulajadi boleh mengilhamkan tindakan positif dan kebersamaan dalam masyarakat. Semangat untuk menjaga alam sekitar dan bekerjasama untuk mengatasi cabaran alam adalah intipati cerita ini, dan melalui usaha bersama, masyarakat itu bersatu untuk melawan jerebu dan melindungi kesejahteraan mereka.

Sebulan kemudian, sewaktu Amir melayari laman muka buku, dia seakan-akan terkejut melihat bahawa terdapat kisah tentang dirinya yang ditulis oleh Puan Zaiton bertajuk 'Seorang Pemuda Yang Cakna Isu Semasa' telah mendapat perhatian warga netizen.

Setelah beberapa hari cerita tentang Amr meniti dibibir masyarakat, cerita itu telah mendapat perhatian salah satu agensi kerajaan iaitu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). KKM telah menghubungi keluarga Amir bahawa mereka akan datang menemu bual dia dan menganugerahkan Amir tokoh 'Remaja Cakna 2023'.

Amir berasa bersyukur dan terharu atas penghargaan yang diterima walaupun pada awalnya dia hanya menganggap jerebu ini satu benda yang remeh. Namun demikian, kejadian yang berlaku itu menjadi titik perubahan dalam hidupnya bahawa dia perlu cakna dengan isu semasa tentang alam sekitar.

Nilai Murni:

1. Bertanggungjawab. Amir tekad untuk menyelesaikan isu jerebu di Kampung Halamannya walaupun dia hanyalah remaja yang berusia belasan tahun.

2. Prihatin. Amir sanggup pergi ke perpustakaan awam semata-mata ingin mengetahui tentang langkah untuk mengatasi masalah jerebu.

3. Bekerjasama. Orang kampung Amir berganding bahu untuk mengadakan aktiviti gotong-royong dan pembersihan hutan dalam usaha mengatasi masalah jerebu.

 

No comments:

Post a Comment