Sunday, November 19, 2023

API DI HUTAN

NAMA: NUR SYAZWANI BINTI SHUKOR

NO. MATRIK: D20231108140

HGM 3013 KUMPULAN: B

 

Di sebuah hutan yang subur dan penuh dengan tumbuh-tumbuhan yang indah, tinggalah semua jenis haiwan yang hidup aman dan bahagia. Kehidupan yang mereka miliki amat menenangkan tanpa perlu risau akan keadaan sekeliling di kawasan mereka. Mereka hidup dalam keadaan yang harmoni, saling membantu dan menjaga kawasan alam sekitar mereka bersama-sama

 

Hari-hari yang mereka lalui dihabiskan dengan bermain, belajar, dan mengembara akan keindahan alam di sekitar hutan. Kediaman yang mereka duduki ini merupakan hutan yang penuh dengan spesies tumbuhan dan haiwan berharga. Hutan yang mereka tinggal adalah hutan yang telah lama dijaga dan dikekalkan untuk kepentingan semua.

 

Namun, pada suatu hari terdapat khabar angin yang menyedihkan untuk mereka. Semua jenis haiwan di dalam hutan ini mendapati bahawa terdapat kejadian pembakaran hutan yang sedang berlaku di kawasan hutan mereka. Api yang membara telah menyala di hujung hutan sehingga memakan segala yang ada di kawasan tersebut. Ini merupakan kali pertama hutan mereka mengalami kejadian pembakaran hutan yang besar.

 

Burung hantu tua yang bijaksana merupakan penasihat di hutan itu. Dia yang mempunyai rasa tanggungjawab yang besar untuk menjaga keamanan kawasan hutan itu pun dengan segera mengumpulkan semua haiwan untuk membincangkan situasi yang telah terjadi ini. Haiwan-haiwan lain yang merupakan penghuni di hutan itu mendengar akan arahan yang disampaikan oleh penasihat mereka.

 

"Dengarkan semua wahai penghuni hutan, hutan yang kita tinggal ini berada dalam keadaan yang bahaya! Di kawasan hujung hutan kita terdapat api sedang membara dan kita harus segera bertindak untuk mengatasi masalah ini," kata burung hantu tua dengan suara serius kepada mereka.

 

Kata-kata yang baru sahaja disampaikan oleh burung hantu tua itu difahami oleh semua haiwan. Semua haiwan menjadi cemas akan perkara yang terjadi. Mereka tidak mahu kehilangan rumah mereka. Mereka bertanya-tanya bagaimana cara mereka dapat membantu memadamkan api yang membara itu.

 

Tiba-tiba ada satu suara yang kedengaran "Kita harus bekerjasama dan merancang satu rancangan yang baik. Aku akan membawa air dengan tanganku yang cepat ini. Kalian semua perlu gunakan kehebatan kalian untuk membantu rancangan ini berjaya." kata kera yang lincah.

 

Helang menjawab pula " Aku boleh tolong dengan membantu mengambil air dari sungai dengan paruhku yang kuat," ujarnya. Sambung gajah "Aku boleh membawa air dengan banyak dan semburkan pada api dengan belalaiku." Semua haiwan berfikir cara mereka yang tersendiri untuk memadamkan api yang semakin marak itu dengan kelebihan mereka masing-masing.

 

Semua haiwan telah pun memikirkan cara yang dapat digunakan untuk memadamkan api yang marak itu. Mereka semua membawa air dengan segala cara yang mereka miliki. Sekumpulan haiwan yang terdiri daripada pelbagai spesies itu memulakan rancangan mereka untuk memadamkan api tersebut yang diketuai oleh burung hantu tua. Mereka bersama-sama bergerak menuju ke hujung hutan itu dengan semangat yang tinggi.

 

Saat mereka sampai di destinasi yang dituju, mereka terus berjuang untuk memadamkan api ada di kawasan itu. Setiap titisan air yang dibawa digunakan untuk memadamkan api yang masih menyala di kawasan hutan itu. Saat haiwan-haiwan itu masih gigih untuk memadamkan api dengan air yang mereka bawa, tiba-tiba mereka terdengar bunyi tapak kaki yang sangat kuat sedang menghampiri mereka. Semua haiwan yang berkumpul tersebut terdiam seketika disebabkan situasi itu. Beberapa saat berlalu dan secara tiba-tiba terdapat sekumpulan manusia yang membawa bekalan air yang sangat banyak bagi membantu mereka untuk memadamkan api yang marak itu. Mereka yang ramai itu merupakan penghuni di kampung sebelah yang juga sedar akan pembakaran yang berlaku di hutan itu. Mereka tidak mengambil ringan akan kejadian yang melibatkan alam sekitar. Semua spesies haiwan dan sekumpulan manusia saling membantu dalam rancangan untuk memadamkan api di hutan itu.

 

Walaupun semua haiwan-haiwan yang tinggal di hutan ini tahu akan hakikat bahawa pembakaran hutan yang terjadi ini terhasil disebabkan oleh manusia yang tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri sendiri, namun haiwan-haiwan tersebut sedar bahawa tidak semua manusia mempunyai fikiran yang sama. Terdapat segelintir manusia yang masih lagi sedar akan kepentingan alam sekitar yang berada berdekatan kawasan mereka.

 

Akhirnya mereka berhasil untuk memadamkan api dengan usaha keras haiwan dan manusia. Hutan mereka tidak lagi berada dalam keadaan bahaya tetapi kesan yang ditinggalkan oleh kebakaran itu sangat jelas. Terdapat banyak pokok-pokok dan tumbuh-tumbuhan yang terbakar dan bangkai haiwan yang tidak diselamatkan. Semua haiwan sedih akan kejadian yang berlaku di hadapan mata mereka.

 

Selepas daripada kejadian itu, semua manusia mengambil tahu akan kepentingan alam sekitar mereka dan menyebarkan lebih banyak ilmu dan kesedaran tentang alam sekitar dan kepentingan hutan. Ramai manusia telah pun bersatu hati untuk membaik pulih hutan yang telah terjejas dengan mula untuk menanam semula pokok-pokok bagi mengindahkan kembali hutan yang mereka miliki. Sedikit demi sedikit hutan yang mereka duduki akan menjadi seperti sedia dulu kala yang akan menjadi lebih indah, aman dan tenteram.

 

 

NILAI MURNI:

1.         Nilai bekerjasama

 

Semua spesies haiwan berkumpul dan mula bergerak ke hujung hutan untuk memadamkan api dengan semangat yang tinggi demi menyelamatkan hutan yang mereka sayangi.

 

2.         Nilai prihatin

 

Sekumpulan manusia yang merupakan penghuni kampung sebelah prihatin akan kejadian pembakaran hutan yang terjadi mengambil inisiatif untuk memadamkan api yang marak di hutan.

 

3.         Nilai kepimpinan

 

Burung hantu tua yang menjadi penasihat hutan itu mengumpulkan semua haiwan yang ada di dalam hutan untuk memberitahu akan pembakaran hutan yang terjadi dan membincangkan rancangan untuk menyelesaikan masalah tersebut.

 

4.         Nilai kebijaksanaan

 

Semua spesies haiwan berfikir akan cara yang boleh dilakukan dan bertindak untuk memadamkan api yang marak dengan menggunakan kelebihan yang mereka miliki.

 

 

No comments:

Post a Comment