Tuesday, November 21, 2023

AYAH IBU, MAAFKAN TUAH

NAMA : SUZIE AMELICE ANAK PETER
NO MATRIKS : D20231108088
KUMPULAN: HGM 3013 (A)

TAJUK: AYAH IBU,MAAFKAN TUAH

      Dalam rimba hijau, di bawah langit biru yang luas alam sekitar telah membentangkan segala keindahan bumi yang tiada tara. Kehadiran pepohon yang tumbuh lebat menjulang tinggi menyentuh awan dengan dedaunnya yang tulus. Daun-daun hijau menari-nari mengikuti irama angin, sementara sinaran matahari menyapa mereka dengan hangatnya. 
      Tiupan angin yang membawa aroma tanah yang subur, meresapi hidung dengan kelembutan dan kehangatan. Dalam tiupannya, angin membawa suara dedaunan yang berbisik, seperti penutur cerita yang berbagi segala rahsia alam. Mereka menjadi saksi bisu dari perubahan musim dan perjalanan waktu yang terus berputar.  
      Namun begitu, segalanya tidak selamanya indah jika alam telah jatuh ke atas tangan si perakus. Jeritan mereka yang dirantah hebat terdengar jelas, "Tolong jangan sakiti kami, kami merayu kepadamu,ia amat menyakitkan!" keluh mereka meminta tolong. "Hoi!Engkau ni lambatlah, kau tak nampak renjer merondakah? Cepat berambus" kata-kata yang dilemparkan demi menyelamatkan diri. Mereka bertempiaran melarikan diri meninggalkan segala kemusnahan yang dilakukan terbiar tanpa menoleh.
      Tuah yang mengintai dari semak-samun segala kemusnahan yang berlaku berlari menyorok di bawah pohon kara besar sambil mengusap air matanya. Kesunyian tersebut dipecahkan oleh beberapa bunyi das tembakan yang datang jauh dari dalam hutan belantara. Tanpa berfikir panjang, Tuah bingkas bangun lalu berlari mengikut arah bunyi tembakan itu.
      Dia hanya mampu terkaku melihat apa yang sedang terjadi di hadapannya. Titisan-titisan darah yang menitis di sepanjang jalan menghantui pandangannya. "Lari! Selamatkanlah rumah kita daripada mereka" merupakan antara kata-kata terakhir dilontarkan oleh sahabat rimbanya sebelum menghembuskan nafas terakhir. Sahabatnya hanya mampu memandangnya dengan senyuman dengan gandingnya digergaji oleh manusia yang tamak haloba. 
      Keadaan menjadi semakin huru-hara dengan jeritan meminta tolong sahabat-sahabat rimbanya dari segala arah. "Apa yang nak jadi sekarang ini? Ke manakah lagi ku ingin meminta bantuan agar segala kesengsaraan ini berakhir untuk selamanya?" keluh Tuah di dalam hatinya. Kegagalannya dalam mempertahankan wilayahnya daripada segala kemusnahan semakin hari kian terasa. 
      Dia lalu bergegas pulang ke kampung halamannya. "Apa yang harus ku lakukan untuk menyelamatkan wilayah kita, ayahanda?" adu Tuah kepada bapanya. "Ayahanda titahkan anakanda mengetuai angkatan tentera kita dalam mempertahankan wilayah kita dari pencerobohan!" titah ayahandanya. Titah ayanandanya terus dituruti dan dia lalu turun mengetuai pasukannya dalam menentang penceroboh yang merosakkan rumah mereka.
      Kejayaannya dalam mengusir penceroboh-penceroboh itu telah menyemarakkan lagi semangat Tuah untuk mempertahankan wilayahnya. Semua penceroboh bertempiaran melarikan diri mereka secepat yang mungkin.  
      Berita kemenangannya telah menggemparkan warga rimba sehingga sampai kepada keluarganya. Terpancar senyuman di raut wajah ayahandanya ke atas percapaiannya.
      Akan tetapi, segala kegirangan itu sekelip mata telah dihancurkan dengan berita kematian Sang Belang yang terkenal dengan kekuatan dan kebijaksaannya dalam membantu Tuah memerangi pencerobohan. Berita buruk ini telah menimbulkan kegusaran seluruh warga rimba tentang nasib yang bakal menimpa mereka setelah kepergian pahlawan gemilang mereka. Situasi ini telah memaksakan Tuah bersama ayahandanya untuk turun berkawal di kawasan terakhir pahlawan berani mereka dijumpai.
      Gegaran yang diiringi dengan dentuman yang kuat mulai kedengaran bersama dengan raungan kesakitan warga rimba. Jentera-jentera berat memusnahkan tanah yang subur dengan pelbagai aneka bunga-bunga dan tumbuhan hijau.  
      Tanpa berundur sedikit, ayahandanya yang murka memerintahkan agar angkatan tenteranya supaya bersiap sedia untuk membalas serangan musuh dengan beraninya. "Bodoh punya binatang! Engkau nak lawan aku? Mari sini aku ajar kau sedikit." teriak para peneroka menggertak Tuah bersama dengan pasukannya.  
      Tuah dan pasukannya tetap menyerang mereka penuh dengan gagah dan berani. Bunyi hentaman pepohon yang jatuh ke tanah dan runtuhan tanah yang membanjiri rimba hijau mereka tidak juga dirasai sepanjang pertempuran.
      Beberapa das tembakan juga dilepaskan namun masih dapat Tuah elakkan. Sebahagian besar daripada pasukan Tuah terkorban dalam pertempuran tersebut tetapi tidak berjaya mematahkan semangat Tuah dalam mempertahankan rimbanya. Kesungguhan yang ditonjolkan oleh Tuah bersama pasukannya mengakibatkan pihak penceroboh menggunakan kekerasan untuk menghalau mereka daripada meneroka hutan itu.
      Geruh tak berbunyi, malang tak berbau ayahandanya terkena tembakan lalu terkorban dalam usaha menyelamatkan Tuah. "Wah! Bos pasti suka ni." ucap mereka sambil bergelak ketawa membawa pergi ayahanda Tuah masuk ke dalam lori untuk dihantar ke kilang pemprosesan barangan kulit.
      "Tidak! Pulangkan balik ayahandaku!" jerit Tuah dalam gaumannya. "Tuah, kenapa teriak-teriak ni nak? Bawa mengucap" ucap ibunya sambil menggoncang tubuh anak tunggalnya itu. Namun begitu, Tuah masih tidak tersedar sehinggalah ayahnya cuba membangunkannya.
      Setelah dia tersedar, dia lalu bingkas bangun dari katilnya dan memeluk kedua-dua orang tuanya sambil menangis. Kedua-dua orang tuanya hanya mampu tergelak sinis mendengarkannya menceritakan perihal mimpinya sambil memohon kemaafan ke atas perlakuannya.
      Keesokan harinya, Tuah membantu ibu-bapanya menyiram pokok-pokok bunga ibunya bagi menembus kesalahannya yang suka memetik dahan bunga kepunyaan ibunya. Dia turut memberi makan kepada kucing-kucing dan anjing-anjing liar yang dia jumpai sewaktu dalam perjalanan pulang sekolah.  
      Perubahan perilaku yang ditonjolkannya membuatkan ibu-bapanya berasa bangga terhadapnya. Tuah siap menawarkan diri untuk mengikuti aktiviti gotong-royong membersihkan sungai dan kawasan perumahan yang tercemar dengan sampah-sarap bersama jiran tetangga.  
      Dia turut terlibat dalam aktiviti penanaman anak-anak pokok bagi menceriakan lagi kawasan perumahannya yang kekurangan tumbuhan hijau. Semenjak peristiwa itu, Tuah berjanji akan lebih menghargai alam sekitar. 

No comments:

Post a Comment