Di sebuah perairan pantai yang luas, bermulalah sebuah kisah pengembaraan dan kehidupan penyu. Di dalam samudera biru, hiduplah sebuah keluarga penyu yang dikenali sebagai "Keluarga Penyu Hijau".Keluarga Penyu Hijau ini terdiri daripada Tata, Si bapa, Lulu, Si ibu dan seekor anak penyu tunggal yang bernama Piqu. Mereka hidup aman damai di lautan yang penuh warna-warni dihiasi terumbu-terumbu karang dan hidupan-hidupan laut lain.
"Lihatlah Piqu. Tempat tinggal kita ini sangat indah. Kita perlu menjaga tempat tinggal kita ini untuk generasi penyu yang akan datang." Pesan Tata kepada anaknya. Piqu hanya mengangguk dan tersenyum sambil menikmati keindahan tempat tinggal mereka.
Malangnya pada suatu hari, kehidupan mereka menjadi kelam serta merta apabila perairan yang mereka cintai mulai tercemar. Kedatangan kapal-kapal besar yang membuang sisa-sisa toksik ke dalam lautan menyebabkan laut menjadi kotor. Pembuangan sisa-sisa toksik ini turut menjejaskan kawasan tempat tinggal Piqu dan keluarganya. Tambahan pula, manusia yang tinggal di kawasan tersebut mula membuang sampah-sarap mereka ke dalam ke dalam laut.
Piqu dan keluarganya tidak dapat menikmati kehidupan ceria seperti sebelumnya. Lautan yang penuh warna-warni mulai berubah menjadi hitam sepenuhnya. Hidupan-hidupan laut juga mulai beransur-ansur menjadi sedikit kerana mati akibat sisa toksik yang berlebihan. Ada hidupan yang termakan sisa plastik, ada yang mati disebabkan kurangnya oksigen dan ada yang mati disebabkan kekurangan sumber makanan. Piqu sedih melihat keadaan yang menimpa kawasan tempat tinggal mereka.
Piqu mengajak ibu dan bapanya membersihkan kawasan tempat mereka, "Ayah, Ibu, marilah kita membersihkan kawasan tempat tinggal kita." Tata dan Lulu tersenyum lalu segera mengutip segala sampah-sarap di kawasan mereka. Kendatipun begitu, usaha mereka sia-sia ekoran keadaan sampah-sarap yang kian bertambah dari hari ke hari. Mereka bersedih dengan keadaan yang menimpa tetapi masih tetap bersemangat untuk membersihkan kawasan tempat tinggal mereka. Namun, kawasan tersebut masih kotor dengan sisa toksik yang terlalu banyak memenuhi lautan.
Setelah seminggu hidup di persekitaran yang kotor , kehidupan keluarga penyu ini lebih menyedihkan apabila Tata dan Lulu mulai sakit. Disebabkan sudah berumur, Tata dan Lulu mudah untuk mendapat penyakit. Tambahan pula, sumber makanan yang sedikit dan tercemar menyebabkan mereka lebih mudah untuk menghidapi penyakit. Piqu, Si anak penyu sangat risau akan keselamatan kedua orang tuanya tetapi dia hanya mampu diam dan tidak boleh menghalang kegiatan manusia yang merosakkan ekosistem mereka.
Semenjak hari itu, Piqu hanya menjaga ibu dan bapanya. Piqu masih tetap dengan semangat membaranya untuk membersihkan kawasan rumah mereka sedikit demi sedikit meskipun dia tahu usahanya hanya sia-sia selagi manusia terus membuat kerosakan terhadap ekosistem mereka . Piqu turut keluar untuk mencari makanan yang bersih untuk ibu bapa dan dirinya setiap hari.
Pada suatu hari seperti kebiasaannya, Piqu keluar mencari makanan. Setelah selesai mencari makanan, Piqu pulang keluar ke rumah. Namun, Piqu terkejut apabila melihat keadaan ibu dan bapanya yang semakin tenat. Muka ibu dan bapanya yang semakin pucat menyebabkan Piqu menjadi sedih lalu segera memeluk kedua ibu bapanya.
Lulu, Sang ibu menatap wajah anaknya lalu berpesan "Piqu, janganlah kamu putus asa untuk menjaga kelestarian tempat tinggal kita. Kalau bukan kita, siapa lagi yang akan menjaga ekosistem kita ini." Piqu menatap ibunya lalu menangis mengenang nasib mereka.
"Betul kata ibu, Piqu. Janganlah putus asa menjaga kebersihan tempat tinggal kita. Percayalah, usaha kamu akan mendapatkan hasil sekiranya kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Jagalah tempat ini baik-baik di saat ibu dan ayah sudah tiada nanti. Hanya kamulah harapan kami untuk menjaga tempat ini dengan baik demi generasi penyu yang akan datang, Piqu. Ingatlah, kami berdua sayang sangat dengan Piqu." Ujar Tata sambil terbatuk-batuk.
Piqu mengangguk sambil memeluk erat kedua ibu bapanya. "Saya pun sayang ibu dan ayah." Ujar Piqu dengan mata berkaca.
Tata dan Lulu menghembuskan nafas terakhir mereka pada saat itu. Piqu yang menyedarinya terus menangis teresak-esak sambil meratapi kehilangan ibu dan bapanya "Ibu, Ayah.. Janganlah tinggalkan Piqu keseorangan. Piqu tak sanggup hidup sendirian."
Untuk menutup kesedihannya, Piqu membawa diri ke pinggir pantai. Malangnya, dalam perjalanan ke pinggir Piqu dipukul ombak yang kuat menyebabkan Piqu tersekat pada sebuah pukat lama. Piqu cuba melepaskan diri, namun tidak berjaya. Dia hampir berputus asa. Piqu hanya mampu menangis dan meratapi nasibnya yang malang itu.
Tiba-tiba, seorang pemuda lalu di kawasan pantai tersebut. Sedang pemuda itu berjalan-jalan di kawasan pantai, pemuda tersebut ternampak penyu yang malang itu. Pemuda tersebut terus menghampiri Piqu lalu segera melepaskan jaring yang melekat pada badan Piqu dan membersihkan badannya yang dipenuhi minyak.
Melihat keadaan Piqu, pemuda itu merenung lautan lalu berkata, "Kotornya keadaan laut ini sekarang. Bagaimanalah nasib hidupan-hidupan di dalam laut ini? Saya patut kumpulkan orang-orang kampung untuk membersihkan kawasan pantai ini."
Tanpa membuang masa, pemuda itu terus bergegas memanggil orang kampung untuk mengadakan aktiviti gotong-royong. Melihat keadaan itu, Piqu berasa sangat gembira. Harapannya untuk mengembalikan ekosistem mereka mulai cerah apabila Piqu melihat ramai orang kampung mulai bergegas menuju ke pantai untuk menjalankan aktiviti gotong-royong.
Setelah selesai gotong-royong, pemuda tersebut mulai berpesan kepada penduduk, "Wahai penduduk kampung sekalian, janganlah kita membuang sampah ke dalam kawasan laut kita yang indah ini. Kita perlu menjaga kelestarian alam kita demi kepentingan bersama. Sekiranya kita tidak menjaga alam sekitar, hidupan-hidupan laut ini lambat-laun akan diancam kepupusan." Penduduk kampung tersenyum dan mulai menyedari kesilapan mereka.
Seminggu kemudian, keadaan kembali seperti sedia kala. Suasana di laut kini menjadi seperti dahulu lagi. Kapal-kapal yang menyebarkan sisa toksik kini sudah tiada. Piqu bersyukur kerana penduduk kampung mulai mempunyai kesedaran untuk menjaga kelestarian alam sekitar.
Sekian.
NILAI MURNI
Ketabahan : Nilai ketabahan ditunjukkan oleh Piqu, yang meneruskan usahanya untuk membersihkan kawasan tempat tinggalnya meskipun menghadapi banyak rintangan dan kesulitan.
Tanggungjawab : Keluarga Penyu Hijau, terutama Piqu, bertanggungjawab membersihkan kawasan tempat tinggal mereka yang tercemar meskipun mereka tahu bahawa usaha mereka sia-sia sahaja.
Kasih sayang: Piqu berusaha untuk mencari makanan dan membersihkan tempat tinggal mereka dan ini menunjukkan pengorbanan dan kasih sayang Piqu terhadap kesejahteraan keluarganya.
Kepemimpinan: Pemuda tersebut mengambil inisiatif untuk mengumpulkan orang-orang kampung dan mengajak serta memimpin mereka untuk mengadakan aktiviti gotong-royong. Hal ini mencerminkan nilai kepemimpinan dalam diri pemuda tersebut.
Kerjasama: Nilai kerjasama dapat dilihat apabila penduduk kampung bersama-sama membersihkan kawasan pantai dan menjaga kelestarian alam
No comments:
Post a Comment