Tuesday, November 14, 2023

KISAH PEMANASAN SETEMPAT DI KAMPUNG TERATAK KASIH

NAMA : TENGKU ANIS BATRISYA BINTI TENGKU HASNAN
MATRIK : D20231108141
KUMPULAN : HGM 3013 (B)

Terdapat lima orang kanak – kanak iaitu Aiman, Amirul, Haider, Aqil dan Iman. Mereka telah berjanji untuk bermain bola sepak pada waktu pagi di padang Kampung Teratak Kasih. Pada keesokan harinya, mereka sudah berkumpul di padang dan mula bermain bola sepak.

Tetapi malangnya, mereka berasa letih dan kepanasan menyebabkan mereka hanya bermain selama 30 minit sahaja. Mereka dapat merasakan bahawa udara di padang menjadi semakin panas, lebih panas daripada kebiasaan. Mereka mula duduk di bawah pokok untuk berteduh daripada cahaya matahari.

Iman teringat bahawa Cikgu Aini telah mengajarnya tentang tajuk pemanasan setempat. Iman berkongsi ilmu dengan cara memberitahu kepada kawan – kawannya tentang pemanasan setempat yang telah dipelajarinya.

Iman berkata, "Amirul, Aiman, Haider dan Aqil…awak semua tahu tak kenapa pemanasan setempat boleh berlaku?" tanya Iman kepada kawan – kawannya.

Amirul, Haider dan Aqil hanya menggelengkan kepala mereka.

Iman berkata, "Pemanasan setempat ini boleh berlaku akibat daripada aktiviti manusia. Antara aktiviti manusia ialah seperti pembakaran hutan secara besar – besaran, penebangan hutan yang semakin berleluasa, pembinaan bangunan konkrit, jalan yang berturap dan bilangan kenderaan yang semakin bertambah di atas jalan raya menyebabkan peningkatan suhu di sesuatu kawasan."

"Saya rasa manusia sedia maklum bahawa jika mereka melakukan aktiviti - aktiviti sedemikian, sudah semestinya berlaku pemanasan setempat. Tetapi kenapa manusia masih melakukan aktiviti – aktiviti tersebut?" tanya Aqil kepada Iman.

"Hal ini kerana zaman semakin maju dan keperluan guna tanah juga semakin meningkat dan mendapat permintaan yang tinggi. Populasi manusia juga semakin bertambah dan ini menyebabkan banyak tanah yang digunakan untuk membina perumahan. Bukan itu sahaja, pengangkutan dan perhubungan juga penting bagi manusia. Antaranya memudahkan perjalanan manusia dari satu tempat ke tempat yang lain." Kata Iman.

Aiman menambah, "Selain itu, penggunaan pengangkutan awam kurang digunakan oleh manusia kerana jadual perjalanan yang tidak menentu menyebabkan orang yang ingin pergi ke sesuatu tempat akan sampai lewat. Sebagai contohnya, bas. Bukan itu sahaja, penggunaan LRT, Monorel dan Ktm terlalu penuh atau padat menyebabkan sesetengah orang tidak selesa untuk menggunakan pengangkutan awam.  Disebabkan oleh itu, ramai menggunakan kenderaan sendiri. Disebabkan oleh kepentingan diri sendiri, tanpa mereka sedar, perkara ini telah menyumbang kepada pemanasan setempat."

"Betul itu Aiman!" kata Iman kepada Aiman.

Iman menyambung, "Pokok – pokok juga ditebang untuk pembinaan bangunan yang boleh dijadikan sebagai sumber ekonomi negara. Sebagai contohnya, pembinaan pusat pelancongan yang menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara."

Amirul berkata, "Daripada apa yang saya faham, pemanasan setempat ini akan sentiasa berlaku disebabkan oleh pembangunan negara yang mampan."

Haider bertanya, "Adakah pemanasan setempat ini ada kebaikannya?"

Amirul menjawab, "Pemanasan setempat tidak selalu membawa kesan baik. Sebaliknya, pemanasan setempat sering kali membawa risiko dan kesan buruk kepada persekitaran dan kehidupan manusia."

"Apakah kesan buruk kejadian pemanasan setempat ini?" tanya Haider kepada Amirul.

"Kesan buruk pemanasan setempat ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu alam sekitar dan manusia. Kesan buruk kepada alam sekitar ialah terhadap flora dan fauna. Tumbuhan tidak dapat bertahan dengan suhu yang meningkat dan haiwan – haiwan terpaksa berpindah untuk mencari sumber air dan makanan yang semakin sukar ditemui. Selain itu, sumber air yang dahulu mencukupi, kini semakin mengecil akibat pemanasan setempat. Penduduk menghadapi cabaran besar untuk mendapatkan air bersih dan ini menyebabkan krisis air yang serius di kalangan penduduk." Jawab Amirul.

Iman menyambung, "Kesan buruk pemanasan setempat terhadap manusia pula ialah kesihatan penduduk. Kenaikan suhu yang ketara boleh menyebabkan masalah kesihatan seperti keletihan, masalah pernafasan, penyakit kulit dan strok haba. Seterusnya, ekonomi peniaga juga terjejas. Pengusaha kecil dan peniaga tempatan mengalami penurunan pendapatan kerana kurangnya permintaan dan kesulitan untuk mengekalkan perniagaan mereka."

Setelah Iman, Aiman dan Amirul memberitahu pengetahuan mereka kepada Aqil dan Haider, mereka berlima merancang untuk mengadakan aktiviti gotong – royong bagi mengurangkan pemanasan setempat dengan meminta persetujuan daripada ketua kampung mereka.

"Assalamualaikum Pakcik Ali. Kami berlima datang ke rumah Pakcik untuk memberikan cadangan kepada Pakcik untuk mengadakan aktiviti gotong – royong di kampung kita ini." Kata Iman kepada Pak cik Ali.

Iman menyambung, "Selain aktiviti gotong – royong, kita juga boleh menjalankan aktiviti penanaman anak pokok. Hal ini kerana bagi mengurangkan pemanasan setempat yang berlaku di kampung kita."

"Bagus idea dan cadangan kamu semua. Pak cik akan melaksanakan aktiviti gotong – royong ini secepat mungkin. Terima kasih." Kata Pak cik Ali iaitu selaku ketua kampung Teratak Kasih.

"Sama – sama Pak cik Ali." Kata Iman, Aiman, Aqil, Haider dan Amirul secara serentak.

Pak cik Ali bersetuju untuk melakukan aktiviti gotong – royong dan aktiviti penanaman anak pokok. Pak cik Ali menggalakkan penduduk kampung agar dapat melibatkan diri secara langsung. Hal ini kerana Pak cik Ali ingin menyedarkan penduduk kampung tentang pentingnya penjagaan alam sekitar.

Selain itu, ketua kampung juga melancarkan 'Kempen Sayangi Alam Sekitar'. Kempen ini bertujuan untuk penduduk mengubah cara hidup mereka seperti mengendalikan pembuangan sampah dengan cara baik seperti tidak membakar sampah, mengurangkan penggunaan bahan bakar fosil dan menjaga sumber air.

Dengan usaha bersama, mereka berjaya mengurangkan kesan pemanasan setempat dan suhu di kampung mereka kembali normal.

Melalui pengalaman ini, Iman, Aiman, Amirul, Haider dan Aqil memahami bahawa setiap tindakan manusia memberi kesan kepada alam sekitar. Mereka berkongsi pengalaman mereka dengan rakan – rakan sekolah. Pengalaman tersebut merupakan pengalaman yang paling berharga kepada mereka berlima.


NILAI MURNI

1. Baik hati : Iman, Aiman dan Amirul tidak kedekut untuk berkongsi ilmu kepada Haider dan Aqil tentang pemanasan setempat yang berlaku.

2. Keberanian : Iman dan kawan – kawannya berani untuk menyatakan cadangannya untuk mengadakan aktiviti gotong – royong dan aktiviti penanaman anak pokok kepada Pak cik Ali iaitu Ketua kampung Teratak Kasih.

3. Tanggungjawab : Pak cik Ali berasa perlu mengadakan aktiviti – aktiviti tersebut kerana rasa tanggungjawabnya sebagai ketua kampung untuk menjaga Kampung Teratak Kasih.

4. Bekerjasama: Iman, Haider, Aiman, Aqil, Amirul dan Pak cik Ali bersama – sama menjayakan aktiviti – aktiviti yang telah dirancang agar Kampung Teratak Kasih tidak mengalami pemanasan setempat.

5. Semangat kemasyarakatan : Penduduk Kampung Teratak Kasih telah Bersama – sama menyertai aktiviti gotong – royong, aktiviti penanaman anak pokok dan mengaplikasikan amalan 'Kempen Sayangi Alam Sekitar' dalam kehidupan seharian mereka.

No comments:

Post a Comment