Matahari bersinar sayu di Kampung Kiau Manis dek sinarnya yang terhalang rimbunnya pepohonan. Bunyi kokokkan ayam dan riak air sungai yang beradu dengan batu menghiasi suasana kampung. Terpampang wajah-wajah murid-murid Sekolah Rendah Kiau Manis bersama seorang guru yang dikala itu berdiri di pinggir sungai. Mereka terkedu melihat keadaan sungai di hadapan mereka yang bukan sahaja dipenuhi sampah sarap malahan mengeluarkan bau yang sangat menyengat membuatkan mereka merasa mual.
"eee kotornya!!" kata Ehsan menunjukkan riak wajah yang jijik dengan pemandangan dihadapannya. "Cikgu, kenapa ramai sampah sarap dibuang ke dalam sungai? Bukankah sungai seharusnya jernih dan bersih?" tanya Amei kepada Cikgu Rosa yang sedang menunduk memandang ke arah tubuh kecil Amei di sampingnya.
"Inilah yang kesan kepada sungai jika kita membuang sampah-sampah ke dalam sungai, bukan sahaja menyebabkan kejernihan sungai pudar malah bau-bau yang tidak menyenangkan juga akan tersebar ke ruang udara yang secara tidak langsung menyebabkan pencemaran bau" Jelas Cikgu Rosa kepada Amei dan anak-anak muridnya yang sedang memberi tumpuan kepadanya.
"Tempat ini kotorlah cikgu, kita tidak sepatutnya disini, lebih baik kita semua pergi ke Taman Permainan bermain jongkat-jongket dan buaian." Kata Olly kepada Cikgu Rosa. "Betul tu, jom!" Sahut Ehsan dan teman-temannya sambil melompat penuh keriangan. Cikgu Rosa hanya tersenyum lembut melihat gelagat anak-anak muridnya sambil berkata "Apa kamu sudah lupa tujuan Cikgu bawa kamu semua hari ini kemari?". Mendengar pertanyaan itu Ehsan dan teman-temannya terdiam sejenak. "Untuk membersihkan Sungai Cikgu." sahut mereka serentak. "Pandai anak-anak, hari ini merupakan Hari Sungai Sedunia, sebagai masyarakat yang bertanggungjawab dan bijak kita perlulah menyayangi dan menjaga kebersihan sungai yang telah memberikan banyak manfaat untuk kita" Jelas Cikgu Rosa.
"Ehsan, berikan cikgu satu manfaat sungai kepada kita" tanya Cikgu Rosa. "Membekalkan bekalan air bersih cikgu!" jawab Ehsan dengan penuh keyakinan. "Betul! Bijak Ehsan" puji Cikgu Rosa yang membuatkan Ehsan tersenyum sipu. "Bukan sahaja membekalkan air bersih malahan sungai juga membekalkan sumber protein utama yang amat diperlukan untuk pertumbuhan tubuh badan kita" sambung Cikgu Rosa.
"Ooooo" ujar anak-anak murid sambil mengangguk-angguk tanda faham dengan penjelasan yang disampaikan oleh Cikgu Rosa. "Kalau kita tidak bersihkan sungai, hidupan haiwan dalam sungai seperti ikan dan udang akan mati kerana tempat tinggal mereka sudah dicemari dan terjejas" jelas Cikgu Rosa panjang lebar. "Tidakkkkk!! saya suka makan ikan!! bagaimana ibu mahu masakkan saya kari ikan jika ikan tidak ada" sampuk Olly sejurus selepas mendengar penjelasan Cikgu Rosa. "Saya juga sangat suka udang sos yang selalu dihidangkan oleh ibu itu merupakan makanan kesukaan saya." ujar Amei dengan nada penuh kesedihan yang membuatkan suasana pada pagi itu menjadi riuh kerana diselubungi kebimbangan oleh pelajar Kiau Manis.
"Anak-anak, sila bertenang. Setiap permasalahan pasti ada jalan penyelesaianya begitu juga dengan masalah pencemaran sungai. Itulah mengapa sebagai masyarakat yang bijak kita harus tahu apa yang perlu dan jangan kita perbuat. Kita tidak seharusnya menjejaskan keindahan alam semula jadi seperti sungai dengan tingkah laku yang tidak bertauliah dan bertanggungjawab seperti menjadikan sungai sebagai tempat pembuangan, membuang sisa toksik kilang ke dalam sungai dan yang lebih bahaya lagi membuang bahan-bahan beracun ke dalam sungai. Perbuatan-perbuatan ini bukan sahaja mendatangkan kesan buruk kepada hidupan di dalam sungai malahan juga kepada manusia." Jelas Cikgu Rosa panjang lebar.
"Lalu apa yang perlu kita lakukan untuk memastikan sungai bersih cikgu?" tanya Olly dengan penuh kebimbangan sambil melihat teman-temannya yang juga ingin menanyakan soalan yang sama. "Mari cikgu tunjukkan apa perlu kita lakukan sambil cikgu menjelaskan dengan lebih dalam cara-cara memelihara dan memulihara kebersihan sungai. Pertama semua buka kasut kamu dan lipat hujung seluar kamu sehingga ke paras lutut. Selepas iti ambil dan sarung tangan setiap seorang." Ujar Cikgu Rosa sambil melipat hujung seluarnya yang kemudian diikuti anak-anak muridnya.
Cikgu Rosa perlahan turun masuk ke dalam sungai yang kedalamannya hanyalah sampai ke paras betis diikuti oleh anak-anak muridnya. "Sampah yang telah dibuang ke dalam sungai kita keluarkan dan kumpul ditepi sungai sehingga tidak ada satupun sampah yang tersisa di dalam sungai" perintah Cikgu Rosa. "Baik cikgu!" sahut pelajar serentak. Cikgu Rosa hanya tersenyum melihat gelagat anak-anak muridnya yang sedang bertungkus lumus membersihkan sungai sambil bermain kejar-kejaran. "Anak-anak, sila hati-hati ketika membersihkan dan bermain ya. Pastikan kamu tidak terminum atau terendam dalam air." nasihat Cikgu Rosa. Olly, Amei dan Ehsan yang ketika itu sedang bermain air langsung terdiam memandang sesama sendiri lalu bergegas menyelesaikan tugas mereka.
Setelah hampir sejam masa berlalu, Cikgu Rosa dan pelajar-pelajar duduk berehat sambil minum air di pinggir sungai. "Anak-anak, cikgu mahu mengucapkan syabas dan tahniah kepada kamu semua kerana sudah bekerjasama dan bertungkus-lumus dalam membersihkan sungai kita. Ini adalah salah satu langkah yang kita boleh lakukan untuk menjaga kebersihan sungai kita iaitu dengan bergotong-royong membersihkan sungai. Terdapat juga langkah lain untuk menjaga kebersihan sungai iaitu seperti mengadakan kempen secara besar-besaran untuk memberi kesedaran tentang kepentingan sungai atau menambahbaik sistem pembuangan sampah sedia ada agar tidak ada masyarakat yang membuang sampah ke dalam sungai." jelas Cikgu Rosa kepada anak-anak muridnya. "Semoga kamu semua mendapat ilmu dan pengajaran daripada aktiviti kita pada hari ini, cikgu sangat bangga kamu semua berkomitmen untuk menjaga dan menyayangi sungai kita" ulas Cikgu Rosa.
"Terima kasih cikgu, kerana memberikan kami pengalaman dan pengajaran yang amat berharga kepada kami, walaupun penat & dahaga tapi kami sangat seronok dan berpuas hati dapat menjadi salah satu individu yang dapat menjaga sungai kita, kan kawan-kawan?" tanya Amei dengan penuh kegirangan kepada teman-teman kelasnya. "Betul tu Amei!!" sahut mereka semua dengan keriangan. "Cikgu sangat bangga dengan kamu semua, penting untuk menerapkan nilai cinta akan alam sekitar dalam diri. Anak-anak marilah kita sama-sama untuk sentiasa sayangi sungai kita!" sorak Cikgu Rosa yang diikuti oleh anak-anak muridnya. "Sayangi Sungai Kita!!". Suara sorakkan mereka bergema menyelubungi Sungai Kampung Kiau manis sebelum mereka semua bersurai kembali semula ke sekolah.
No comments:
Post a Comment