Di sebuah kampung kecil yang terletak jauh daripada kawasan bandar yang dipenuhi dengan kesibukan, tinggal seorang budak lelaki yang bernama Malik. Malik merupakan anak yatim piatu yang hidup bersama neneknya selepas kedua ibu-bapanya meninggal dunia kerana diserang harimau sewaktu bekerja sebagai penjaga zoo. Kemalangan tersebut berlaku kira-kira lima tahun lalu, dan kini Malik baru sahaja menyambut hari lahirnya yang keenam. Memori Malik tentang ibu bapanya tidak banyak, namun begitu neneknya sentiasa menceritakan kenangannya bersama mereka kepada Malik agar tidak ditelan masa. Meskipun mereka hidup sederhana, Malik cukup gembira kerana kampung ini terletak di tepi hutan rimba yang lebat dan penuh sumber alam yang melimpah ruah, dan dia dapat melihat keindahan alam semula jadi dan kehijauan di sekelilingnya setiap hari. Kanak-kanak ini memiliki kecintaan yang mendalam pada alam sekitar dan kerap memasuki hutan walaupun ditegah oleh neneknya.
Suatu hari, saat Malik sedang menjelajahi hutan, dia menemukan sesuatu yang tidak terduga: seekor anak kucing berwarna oren yang tampak kehilangan. "Wah," gumam Malik, dan mengorak langkah ke arah haiwan tersebut, "cantiknya belang-belang hitam di badan kamu!" Kucing kecil tersebut mengiau lesu, kelihatan lemah dan kelaparan. Tanpa ragu, Malik memutuskan untuk merawatnya. Dia mengeluarkan bekalnya yang berisi ayam goreng dan mencarikkan sedikit untuk kucing tersebut. Ia pun melahapnya dengan gelojoh dan menggosokkan badannya di kaki Malik sebagai ucapan terima kasih. Sejak hari itu, setiap kali Malik memasuki hutan, dia akan mencari anak kucing tersebut dan memberinya makan tanpa jemu.
"Akanku namakan kau Rajawali, kucing comel."
Tiga tahun telah berlalu, dan Malik membesar bersama Rajawali yang sebenarnya merupakan seekor harimau yang jinak, dan mereka menjadi teman yang tidak boleh dipisahkan. Harimau itu menjadi pelindung setia Malik, dan mereka berdua saling menghibur satu sama lain di dalam hutan yang kaya dengan kehijauan.
Namun, kedamaian mereka terganggu oleh kedatangan sekelompok pembalak haram yang ingin menebang pohon-pohon berharga di hutan tersebut. Malik, yang sangat mencintai alam, merasa terpanggil untuk melindungi hutan kediaman Rajawali. Malik terbayang hutan yang telah gundul dan khazanah alam yang berisiko tergadai disebabkan oleh perlakuan tidak bermoral pembalak haram tersebut. Dia berusaha meyakinkan kumpulan tersebut untuk meninggalkan hutan, tetapi niat baiknya diabaikan, hanya kerana Malik seorang budak yang tidak tahu erti hidup, kata mereka.
Pada suatu pagi yang hening, Malik terbangun kerana terdengar bunyi jentera berat dan sorakan dari arah hutan. Kanak-kanak tersebut meluru ke arah pintu rumahnya dan terlihat neneknya dan beberapa orang kampung berkumpul di hadapan rumahnya, berbincang tentang kehadiran pembalak yang tidak dialu-alukan langsung. Saat itu juga, Malik terdengar ngauman yang amat kuat, dan seterusnya teriakan ketakutan dari beberapa orang kampung. Kelihatan Rajawali berlari pantas ke arah Malik dengan riak muka yang risau. Nenek Malik hampir menutup pintu rumah untuk melindungi Malik dan dirinya, tetapi Malik meyakinkan beliau bahawa Rajawali tidak akan menyakiti mereka.
Rajawali dan Malik bergegas ke rimba sewaktu mendengar bunyi pokok ditebang satu persatu, Hutan yang menjadi tempat tinggal Rajawali dan banyak makhluk lainnya pun terancam oleh aksi pembalak haram tersebut. Suasana tegang melanda kampung ketika masyarakat menyedari bahawa keberadaan hutan dan kehidupan mereka diancam teruk.
Dalam upaya terakhir untuk menyelamatkan hutan, Malik dan Rajawali merencanakan aksi penyelamatan. Mereka menyusup ke markas pembalak haram, mencuri peralatan mereka, dan merosakkan alatan yang digunakan untuk menebang pohon untuk mematikan semangat mereka untuk meneruskan pembalakan tidak berlesen itu. Namun begitu, aksi mereka diperhatikan oleh kumpulan tersebut, dan situasi menjadi semakin berbahaya.
Hari telahpun bertukar menjadi malam sewaktu Malik dan Rajawali dikepung. Rajawali menarik belakang baju Malik dan meletakkannya di atas belakangnya sebelum mencabutkan diri. Kira-kira sepuluh orang mengambil tindakan untuk mengejar harimau dan budak tersebut, dan malangnya salah seorang daripada mereka berjaya menarik Malik turun daripada atas Rajawali. Malik jatuh tersembam di atas permukaan tanah yang lembap, dan pertarungan sengit terjadi di dalam hutan. Malik cuba untuk memberikan tumbukan yang padu kepada orang yang menariknya turun dari Rajawali, tetapi tumbukannya itu ditepis dengan mudah.
Malik mendengus dan terhenti sewaktu merasakan tusukan pisau di bahagian perutnya. Sebelum matanya tertutup, dia terlihat bayangan Rajawali di hadapannya, sedang mengaum dan sedaya upaya mencederakan setiap orang yang cuba menyakti Malik. Namun, sayangnya, luka Malik terlalu parah dalam perkelahian itu. Rajawali, dengan setia, berusaha melindungi sahabatnya dan menyerang semua ahli kumpulan tersebut tanpa belas kasihan.
Keesokan harinya, Rajawali keluar daripada hutan bersama badan lemah Malik di belakangnya, ditemani oleh beberapa orang kampung. Berita tentang perjuangan Malik dan Rajawali telah disebarkan, menghadirkan perasaan lega di dalam diri mereka. Meskipun mereka berdua berhasil mengusir pembalak haram, Malik meninggal dunia oleh sebab luka-lukanya. Masyarakat kampung menyedari betapa besar pengorbanan yang telah dilakukan Malik dan Rajawali untuk melindungi ekosistem hutan dan habitat haiwan yang menetap di dalam rimba tersebut.
Tragedi ini membawa kesedihan besar buat Rajawali. Dengan hati yang berat, orang-orang kampung menyadari bahawa mereka harus melepaskan Rajawali ke dalam habitatnya yang telah diselamatkan. Rajawali, meskipun merasakan keperitan kehilangan, melanjutkan hidupnya di dalam hutan yang kini kembali aman.
Setiap kali Rajawali berasa keseorangan, dia akan kembali ke tempat di mana dia dan Malik selalu meluangkan masa bersama. Dua tahun yang lalu, Malik membawa sebuah biji benih dan menanamnya di tengah-tengah kawasan tersebut dan menyuruh Rajawali memerhatikan biji benih ini sehingga ia menjadi pokok yang besar. Rajawali memegang kepada janji tersebut sehingga dia sendiri menghembuskan nafasnya yang terakhir di pokok tersebut lima belas tahun kemudian. Kisah Malik dan Rajawali tetap dikenang dalam sejarah kampung itu sebagai simbol keberanian, persahabatan, dan kecintaan pada alam.
Nilai murni alam sekitar di dalam cerpen ini:
Menyayangi alam sekitar: Sentiasa berusaha untuk menjaga ekosistem dan alam semulajadi, seperti Malik yang sanggup berhadapan dengan situasi menggerunkan demi menjaga hutan yang dia sayangi.
Prihatin dengan biodiversiti: Keseimbangan biodiversiti penting untuk memastikan kesihatan ekosistem berada pada tahap yang baik. Sebagai contoh, Malik yang risau akan habitat Rajawali dan haiwan lain serta khazanah hutan sewaktu pembalak haram menjadi tetamu yang tidak dijemput.
Menyayangi haiwan: Memastikan haiwan dilayan dengan baik dan menunjukkan kasih sayang kepada mereka, seperti Malik yang memberi makan kepada Rajawali dan meluangkan masa bersamanya.
Tanggungjawab untuk melindungi alam sekitar: Tanpa tumbuhan dan haiwan, kemampuan manusia untuk hidup akan berkurang. Salah satu contoh nilai murni tanggungjawab yang dapat dilihat adalah Malik yang masuk ke dalam hutan untuk menghentikan pembalakan haram tersebut.
No comments:
Post a Comment