Sunday, November 19, 2023

MELATI

NAMA: HAJAR ZUKRINA BINTI ZULKEFELI
NO. MATRIK: D20221102840
GROUP: B

"Ayah…siapakah wanita cantik di dalam gambar ini?"

Aathif memalingkan mukanya ke belakang untuk mencari suara kecil anak perempuannya, Athia yang sedang berdiri berhadapan sebuah televisyen sambil memegang satu bingkai gambar berbentuk segi empat sama.

"Oh, dia ialah orang yang mengambil ayah sebagai anak angkatnya"

Athia merapatkan kedua-dua keningnya dan menunjukkan ekspresi yang membingungkan setelah mendengar jawapan ayahnya.

"Jadi, dia ialah nenek Thia? Bila Thia boleh jumpa dia, ayah?"

Aathif menghela nafas panjang setelah mendengar permintaan anaknya itu sambil memandang isterinya, Dahlia yang sudah pastinya terdengar perbualan mereka sambil memasak. Dahlia menganggukkan kepalanya sebagai tanda ia bersetuju bahawa Thia berhak mengetahui tentang kisah pilu disebalik senyuman indah seorang wanita dan seorang kanak-kanak lelaki di dalam gambar tersebut.

"Thia nak dengar satu cerita?" tanya si ayah kepada anak perempuannya itu.

Athia kemudiannya menganggukkan kepalanya berkali-kali dan berlari mengikuti ayahnya ke arah sofa berhadapan dengan televisyen.

"Jadi ceritanya bermula pada 20 tahun yang lepas…"

Melati tersenyum melihat Aathif, anak angkatnya yang terburu-buru menyiapkan soalan matematik kerana ia ingin segera keluar bermain bersama kawan-kawannya di tepi hutan. Hutan tersebut merupakan khazanah alam bagi kampung tersebut yang telah dijaga sejak turun temurun. Melati mengambil Aathif sebagai anak angkatnya sejak lima tahun yang lalu setelah suaminya pergi meninggalkan dirinya akibat penyakit kronik. Dia sangat menyayangi Aathif sepertinya anak kandungnya.

"Ibu! Aathif dah siapkan kerja yang ibu bagi!"

Melati juga merupakan seorang guru matematik di sekolah rendah di kampung itu. Jadi, dialah yang memberikan kerja sekolah pada murid-murid di kelas Aathif di sekolah sebentar tadi.

"Bagi ibu tengok dulu" kata Melati sambil menerima buku latihan yang diberikan oleh Aathif.

Aathif terus berjalan ke arah meja makan untuk makan cucur pisang yang dibuat oleh Melati sewaktu dia sedang sibuk menyiapkan latihan matematiknya. Setelah menghabiskan lima biji cucur pisang, dia terus berlari mencapai botol air dan salam tangan Melati sebelum pergi keluar bermain bersama kawan-kawannya.

 

"Engkau lambat lah Aathif!" jerit salah seorang dari sekumpulan kanak-kanak yang sudah berada di bawah teduhan pohon besar itu lebih dari 20 minit.

Mereka berkumpul di bawah teduhan sebuah pohon besar yang dipercayai sudah berusia puluhan tahun lamanya.

"Aku kena siapkan latihan matematik dahulu" balas Aathif dengan nada yang tegas.

"Oh ya…Ibu engkau kan Cikgu Melati" sahut kawan baiknya, Hadi seolah-olah bersetuju dengan alasan yang diberikan oleh Aathif.

 

Setelah itu, mereka berpecah menjadi dua kumpulan yang mempunyai lima ahli bagi setiap kumpulan untuk bermain bola sepak. Dua kumpulan ini ditentukan oleh permainan 'o som'. Hadi mencebik kesal kerana dia tidak sekumpulan dengan kawan baiknya.

Setelah 45 minit bermain, pasukan Hadi mendominasi permainan bola pada hari tersebut dengan skor 5-2. Mereka duduk di bawah pohon yang besar itu untuk berehat sambil menghirup udara segar sebelum pulang ke rumah masing-masing. Hadi menghulurkan botol airnya kepada Aathif yang sedang termenung seperti memikirkan sesuatu.

Aathif merenung botol air tersebut dan kemudiannya mengalihkan tatapannya ke arah Hadi. Hadi menghela nafas dan ketawa kecil.

"Marah?"

"Buat apa nak marah" balas Aathif dengan laju.

"Jom balik, jangan bagi Cikgu Melati tunggu engkau depan pintu rumah"

Hadi sangat prihatin dengan sikap keluarga kecil itu. Walaupun hanya mempunyai dua ahli keluarga yang tidak mempunyai apa-apa talian darah, mereka sangat menyayangi antara satu sama lain.

 

Setelah selesai solat maghrib dan mengaji bersama-sama, Aathif segera menolong Melati untuk menyiapkan hidangan makan malam.

"Ibu…" panggil Aathif dengan nada yang lembut.

"Ya sayang, kenapa?" tanya Melati sambil mengangkat kedua-dua keningnya.

"Aathif ada terbau asap semasa bermain bola sebentar tadi"

"Asap? Di tepi hutan yang kamu selalu main itu kah?"

"Ya, Ibu. Kawan-kawan Aathif yang lain macam tidak sedar"

"Hmm…"

Melati terus menghentikan perbualan mereka dan mengajak Aathif makan dan memberitahunya supaya tidak risau dengan perkara tersebut. Sejujurnya dia sangat risau dengan perkara tersebut kerana dia ada mendengar desas desus yang mengatakan, ada pihak yang tidak bertanggungjawab sedang melakukan pembakaran terbuka di hutan tersebut. Nampaknya, ia bukanlah hanya sekadar khabar angin semata-mata.

 

Keesokkan harinya, Melati segera menemui ketua kampung dan menceritakan tentang apa yang berlaku. Beberapa minit kemudian, terdapat penampakkan asap hitam berkepul-kepul naik ke permukaan atmosfera. Melati kemudiannya segera pulang kerumahnya untuk menutup tingkap. Tetapi dia menyedari bahawa Aathif tidak berada di rumah.

Sementara itu…

"Hadi! Jangan masuk dalam asap tebal tu! Bahaya lah!" tegas Aathif sambil menarik tangan Hadi untuk menghentikannya.

"Sekejap. Aku nak tengok apa yang jadi" kata Hadi yang masih berdegil sambil melepaskan genggaman kuat tangan Aathif.

Tidak lama kemudian, Aathif berasa resah kerana hadi masih tidak keluar dari kepulan asap hitam itu. Jadi, dia mengambil keputusan untuk menyelamatkan Hadi. Alangkah terkejutnya Aathif melihat hadi terbaring di atas rumput tidak menyedarkan dirinya. Dia segera mengankat Hadi sambil menahan nafas untuk mengelakkan terhidu asap yang berlebihan.

Tanpa disedari penglihatannya semakin kabur dan dadanya semakin sesak. Aathif mula lemah dan dia pengsan.

 

Dua hari kemudiannya, Aathif hanya mampu menangisi permergian Melati yang telah mengorbankan nyawanya untuk menyelamatkan mereka berdua. Pihak tidak bertanggungjawab yang melakukan pembakaran terbuka di hutan tersebut telah berjaya ditangkap oleh pihak polis. Kini, hutan itu berjaya dibaik pulih atas usaha penduduk kampung yang bersama-sama menjayakan program penanaman semula pokok di kawasan tersebut.

Keluarga Hadi ingin mengambilnya sebagai anak angkat mereka tetapi Aathif berkeras untuk kembali ke pusat anak yatim bukan kerana dia berdendam dengan Hadi tetapi dia tidak mahu sesiapa mengganti tempat Melati selama-lamanya.

"Jom melawat nenek Melati ayah…"

 Nilai Murni

v  Adil: Aathif dan rakan-rakan mencapai kata sepakat untuk menentukan kumpulan bola sepak dengan permainan 'o som' yang akan memberikan keputusan yang adil dan saksama

v  Baik hati: Aathif menolong Melati menyiapkan makan malam mereka.

v  Bekerjasama: Penduduk kampung melakukan aktiviti penanaman semula bagi memulihkan keadaan hutan yang telah terbakar itu.

v  Belas kasihan: Melati membuat keputusan untuk mengambil Aathif sebagai anak angkatnya

v  Berani: Melati sanggup mengorbankan nyawanya untuk menyelamatkan Aathif dan Hadi.

v  Berhati-hati: Aathif memberi amaran kepada Hadi untuk tidak masuk ke dalam kepulan asap yang tebal itu.

v  Bertanggungjawab: Aathif berusaha bersungguh-sungguh untuk menyiapkan latihan matematiknya sebelum keluar bermain.

v  Bijak bertindak: Melati terus memberitahu ketua kampung tentang asap tersebut.

v  Cakna: 1. Hadi mengingati Aathif supaya tidak pulang lewat ke rumah.

            2. Aathif memberitahu Melati tentang asap tebal yang dibaunya semasa bermain

v  Kasih sayang seorang ibu kepada anaknya: Melati memanggil Aathif dengan nama panggilan yang lembut.

v  Keharmonian manusia dan alam sekitar: Aathif, Hadi dan rakan-rakan duduk di bawah teduhan pokok sambil menghirup udara segar.

v  Patuh: Aathif tidak akan balik ke rumah lewat kerana Melati sudah berpesan padanya.

v  Rasional: Melati menenangkan Aathif dengan mengajaknya untuk makan supaya dia tidak terlalu risau tentang asap tersebut.

No comments:

Post a Comment