Nama: Zafirah binti Nasir
Nombor Matrik: D20202096611
Kumpulan: HGM3013 (B)
Moana Si Penyelamat Pantai
Di sebuah pulau yang indah, terdapat seorang gadis kecil bernama Moana. Gadis kecil ini gemar berjalan-jalan di pantai pada setiap petang. Dia suka mengumpulkan cengkerang siput dan mencari ikan kecil.
Suatu hari, ketika Moana sedang berjalan-jalan, dia perasan ada banyak sampah di persisiran pantai dan dasar laut. Dia terkejut dan bimbang kerana pantai kegemarannya sudah mula dicemari dengan sampah-sampah. Moana segera pulang untuk bercerita kepada ibunya tentang apa yang dia lihat.
Dari jauh, sudah kedengaran suara Moana memanggil ibunya. "Ibu, ibu! Pantai Moana dah tak cantik ibu. Ada banyak sampah" kata Moana kepada ibunya.
Ibu Moana tersentak dengan apa yang disampaikan Moana sebentar tadi kerana sebelum ini pantai tersebut tidak pernah dicemari dengan sampah. Ibu Moana pun bertanya mengenai apa yang terjadi di pantai tersebut. "Ada apa Moana? Apa yang terjadi di pantai?" soal ibunya kepada Moana.
"Ada banyak sampah di pantai ibu. Di dasar laut pun ada sampah juga. Siapa yang buang sampah?" kata Moana kepada ibunya dengan nada suara yang penuh kerisauan.
Ibu Moana, seorang guru Geografi, menerangkan bahawa pencemaran tersebut terjadi kerana banyak manusia membuang sampah ke dalam laut. Sehingga plastik tersebut hanyut di bawa arus dan seterusnya mencemari pantai. Ini menyebabkan masalah besar kepada haiwan laut, ekosistem marin dan juga keindahan pesisir pantai.
Moana berasa sedih mendengar penjelasan ibunya. Dia berasa kasihan dengan nasib yang akan terjadi kepada penyu dan ikan-ikan di laut. Oleh itu, dia merasa bertanggungjawab untuk melakukan sesuatu. Dia berjumpa dengan rakan-rakannya di sekolah untuk memaklumkan apa yang terjadi di pantai kegemaran mereka.
"Moana pergi pantai semalam. Tapi pantai kita dah tak bersih macam dulu" kata Moana kepada kawan-kawannya.
"Kenapa Moana? Apa yang berlaku dengan pantai tu?" tanya kawan-kawannya kepada Moana.
"Pantai tu dah ada banyak sampah. Apa yang kita nak buat?" kata Moana kepada kawannya.
Lalu mereka pun berbincang cara untuk membersihkan pantai dan dasar laut. Akhirnya, mereka membuat keputusan untuk menjalankan misi membersihkan pantai dan dasar laut.
Moana dan rakan-rakannya melaksanakan misi tersebut yang diberi nama "Hari Pantai Bersih". Mereka mengumpulkan alat pembersihan dan membentuk pasukan untuk membersihkan sampah-sampah plastik yang terapung di air dan di pantai. Dengan tekad dan semangat yang tinggi, mereka pun memulakan misi. Mereka melaksanakan misi ini secara berterusan pada setiap petang.
Selepas beberapa hari bekerja keras, mereka berhasil mengumpulkan banyak sampah. Moana dan rakan-rakannya gembira kerana mereka dapat membersihkan pantai dan menyelamatkan beberapa haiwan laut yang mungkin terjejas oleh sampah itu.
Setelah itu, Moana dan rakan-rakannya tidak hanya membersihkan pantai, tetapi mereka juga mula melakukan kempen kesedaran. Mereka mengedarkan poster tentang kepentingan menjaga alam sekitar dengan semua orang di pulau itu. Tujuan mereka mengedarkan poster tersebut adalah agar lebih ramai orang menyertai misi mereka.
Dari kejauhan, ibu Moana memerhatikan usaha yang dilakukan oleh Moana dan kawan-kawannya. Ibu Moana gembira dan bangga melihat usaha anaknya lalu dia pun bercadang untuk membantu. Ibu Moana bergegas pergi berjumpa ketua kampung.
"Tok ketua, kamu sudah tahu apa yang terjadi di pantai kita?" kata Ibu Moana kepada ketua kampung.
"Saya sudah tahu. Haritu saya ada nampak Moana dan rakan-rakannya membersihkan pantai. Ada apa kamu datang ke rumah saya cikgu?" kata ketua kampung.
"Saya datang untuk mengusulkan cadangan tok. Memandangkan tok ketua kampung di sini. Saya nak cadangkan supaya kita jalankan hari keluarga di pantai. Nanti boleh kita membantu membersihkan pantai tersebut" jelas ibu Moana kepada tok ketua.
Cadangan ibu Moana diterima dengan baik oleh ketua kampung. Mereka akhirnya menjalankan hari keluarga tersebut seperti yang dicadangkan.
Hari keluarga di pantai itu melibatkan aktiviti pembersihan pantai dan pertandingan kreativiti menggunakan bahan kitar semula. Hari keluarga ini bukan sahaja melibatkan orang dewasa, tetapi juga kanak-kanak dan remaja.
Moana dan rakan-rakannya sangat teruja. Akhirnya, mereka mendapat sokongan dari seluruh penduduk kampung untuk membersihkan pantai kegemaran mereka.
"Terima kasih ibu. Terima kasih tolong Moana bersihkan pantai. Mesti ibu kan yang beri idea pada tok ketua?" kata Moana kepada ibunya sebaik sahaja mereka tiba di rumah selepas aktiviti hari keluarga tersebut.
"Sama-sama Moana. Memang betul ibu yang beri idea. Ibu sangat bangga dengan usaha Moana dan rakan-rakan. Nanti ada masa, ibu akan bantu Moana lagi" ujar ibunya kepada Moana.
Usaha mereka turut menarik perhatian media tempatan. Kisah tentang kegigihan Moana dan rakan-rakannya menjadi berita yang hangat dibicarakan. Orang dewasa di pulau itu juga terinspirasi oleh kegigihan dan semangat mereka.
Akhirnya, hasil usaha anak-anak dan orang dewasa di pulau tersebut, mereka berjaya mengurangkan pencemaran laut. Sampah-sampah sudah tidak kelihatan terdampar di persisiran pantai. Moana dan rakan-rakannya merasa bangga kerana mereka telah membantu menyelamatkan pantai dan laut yang mereka cintai.
Moana dan rakan-rakannya berharap agar semua orang di seluruh dunia menyedari tentang pentingnya menjaga laut dan alam sekitar. Mereka yakin bahawa dengan usaha bersama, ia dapat menjadikan bumi tempat yang lebih bersih dan selamat untuk semua haiwan dan manusia.
Nilai murni dan pengajaran:
Prihatin: Ibu Moana menunjukkan keprihatinan terhadap anaknya dengan membantu mencadangkan aktiviti yang melibatkan pembersihan sampah-sampah di pantai kepada ketua kampung.
Tanggungjawab: Moana mempunyai sifat tanggungjawab yang tinggi untuk menjaga kebersihan pantai.
Kerjasama: Rakan-rakan Moana memberikan kerjasama untuk membantu Moana membersihkan pantai.
Semangat cinta Alam Sekitar: Moana dan rakan-rakannya peka terhadap pencemaran di pantai dan kesannya terhadap alam sekitar. Mereka merasakan tanggungjawab untuk melindungi lingkungan.
Kesedaran Global: Moana dan rakan-rakannya berharap agar usaha mereka menjadi contoh bagi orang di seluruh dunia untuk menyedari kepentingan menjaga alam sekitar demi kelestarian bumi.
No comments:
Post a Comment