Monday, November 20, 2023

RAKAN CILIK HIJAU: EKSPIDISI 3R

NAMA: NUR NAZIEHAH BINTI JIPERI 
NO MATRIK: D20231108117
KUMPULAN: B

RAKAN CILIK HIJAU: EKSPIDISI 3R

 

Di sebuah pinggir bandar yang sibuk dan pesat, terdapat seorang kanak-kanak bernama Rayyan tinggal bersama keluarganya di Valeria Garden Homes. Ayah Rayyan merupakan seorang jurutera manakala ibunya seorang guru geografi. Rayyan juga merupakan anak tunggal dalam keluarga tersebut. Dalam kehidupan seharian mereka, Ibu dan ayahnya menitik beratkan tentang penjagaan alam sekitar di muka bumi ini seperti menggunakan produk yang mesra alam. Oleh itu, sejak kecil lagi Rayyan dididik menjadi seorang budak yang penyayang dan cintakan alam sekitar.

 

Pada suatu petang, seperti kebiasaannya Rayyan akan pergi bermain badminton di taman permainan yang berdekatan bersama rakannya iaitu Sofia dan Arsyad. Terdapat ramai orang yang beriadah dan cuaca. Mereka bermain dengan riang dan gembira. Setelah selesai bermain, Rayyan mengajak rakannya untuk berjalan pulang ke rumah bersama-sama. Ketika dalam perjalanan, Rayyan agak terkejut apabila melihat kawasan perumahannya itu. Dia mendapati bahawa sepanjang laluan tersebut penuh dibanjiri dengan sampah sarap yang berselerak sekitar longkang mahupun tong sampah. Rayyan pun berbisik dalam hati "Keadaan ini agak teruk, ini tidak patut dibiarkan dan aku harus mengambil tindakan dengan kadar yang segera". Jadi, dia dan rakan-rakannya pun memutuskan segera pulang ke rumah masing-masing sambil memikirkan cara yang berkesan untuk mengatasi isu tersebut.

 

Keesokan harinya, Rayyan pun bangun pagi dan sarapan dengan lebih awal. Dia duduk di meja makan sambil membuat muka yang sedih dan kebingungan. Ibunya hairan dan bertanya kepadanya "Kenapa dengan kamu nak?" "Ada apa-apa masalah" kata si Ibu. Rayyan pun menjawab bahawa semalam dia melihat banyak sampah sarap berdekatan kawasan mereka dia risau akan pencemaran berlaku kerana ia boleh menjejaskan ekosistem bumi dari segi pencemaran udara mahupun air. Terdapat pelbagai jenis sampah sarap yang dibuang oleh penduduk tanpa ada sikap prihatin dan tanggungjawab dalam menjaga kebersihan sejagat. Kawasan yang sepatutnya tenang dan damai malahan bertukar menjadi tempat yang kotor dan busuk. Ibunya pun tersenyum kecil melihat gelagat anaknya itu. Tiba-tiba terdengar bunyi suara daripada luar rumahnya, "Yan, Jom ke sekolah dah lewat ni " kata ayahnya. Perbualan antara kedua-dua ibunya pun berakhir begitu saja.

Ketika berada di sekolah, Rayyan hanya duduk diam dan memikirkan masalah yang timbul. Dia cuba memikirkan jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah ini daripada terus berleluasa. Lalu, dia mengajak rakan-rakannya  berbincang akan perkara yang terjadi di kawasan perumahan mereka pada waktu rehat. Setelah beberapa minit kemudian, Rayyan pun teringat akan pesanan ibunya satu idea dimana mereka perlu memulakan usaha kitar semula iaitu menanam amalan 3R Reuse, Reduce & Recycle kepada penduduk. Ibunya pernah berpesan bahawa kita dapat menjaga alam sekitar dengan baik seperti menguruskan sisa pepejal secara teratur dengan mengamalkan 3R iaitu Reuse, Reduce, Recycle. Arsyad dan Sofia juga bersetuju dengan pendapat dan idea yang bernas diberikan olehnya. Jadi, mereka mula membahagikan tugas masing-masing sebelum memulakan ekspidisi bagi menyelamatkan bumi mereka.

 

 Rayyan pun memulakan ekspidisi 3R nya dengan memmbuat kempen kesedaran reduksi di kawasan perumahan mereka Mereka turut berbincang dengan ketua komuniti taman perumahan tersebut supaya menyebarkan poster bagi kempen kesedaran 3R kepada semua penduduk di Valeria Gardens House. Dia juga meminta pertolongan daripada ibu dan ayahnya untuk membantu mereka dalam menjayakan kempen kesedaran kepada komuniti di situ. Rayyan dengan bersemangat berkata kepada jiran-jirannya bahawa, "Dengan mengurangkan penggunaan plastik di rumah mahupun di luar, kita boleh menjadikan bandar kita lebih bersih dan hijau!". Kempen ini mula mendapat perhatian daripada ketua komuniti mahupun penduduk di situ dengan adanya beberapa tong sampah 3R telah disediakan di sekitar kawasan. Dengan adanya kempen tersebut, masyarakat akan lebih peka dengan persekitaran di samping memupuk tabiat harian demi menjaga alam sekitar. Selain itu juga, mereka telah bersepakat membuat gotong-royong di kawasan perumahan bagi mengurangkan sampah sarap yang bersepah. Langkah pertama mereka dalam mengamalkan 3R telah berjaya memotivasikan orang lain terutama penduduk di sekitar perumahan tersebut.

 

Seterusnya, Rayyan, Arsyad dan Sofia meneruskan usaha dengan Penggunaan Barangan Semula. Mereka mengumpul barang-barang terpakai seperti kertas, kadbod, dan botol plastik di kawasan perumahan. Dengan perasaan yang penuh semangat, mereka mengadakan bengkel kreatif di dewan komuniti untuk mengajar penduduk di sana tentang cara mengubah bahan terpakai menjadi objek seni yang lebih kreatif dan menarik. Sofia berkata, "Ini bukan hanya mengurangkan sampah, tetapi juga memberikan barang kedua peluang untuk bersinar!" Kempen ini menjadi popular, dan ramai golongan muda di kawasan tersebut  mula menghargai kreativiti dan kebolehan mereka untuk menggunakan semula barang-barang terpakai. Rayyan dan Sofia pun berkata bukan hanya nilai-nilai alam sekitar tetapi juga tentang keindahan seni dan keunikan setiap bahan yang dihasilkan memberi manfaat kepada kita sendiri.

 

Akhir sekali, mereka juga mengadakan Aktiviti Kitar Semula. Rayyan, Arsyad dan Sofia bersepakat untuk berbincang dengan pihak berkuasa tempatan supaya mendirikan pusat kitar semula di kawasan perumahan mereka. Mereka menyarankan agar bekas kitar semula diletakkan di tempat-tempat strategik seperti pasar raya dan pusat komuniti. Mereka juga mengajar penduduk bandar tentang jenis barang yang boleh dikitar semula dan mengapa amalan ini penting. Pusat kitar semula menjadi tempat yang popular oleh penduduk banda. Mereka juga berbesar hati dapat menyumbangkan barang kitar semula mereka di situ. Rayyan, Arsyad dan Sofia, dengan sokongan komuniti, telah berjaya menguruskan pusat kitar semula dengan teliti. Mereka memastikan setiap barang dikitar semula dengan betul, di samping menggalakkan penduduk bandar untuk turut serta dalam usaha menjaga bumi kita. Setelah beberapa hari kemudian, keadaan di kawasan perumahan kembali pulih seperti sedia kala. Kawasan perumahan tersebut lebih nampak bersih dan kemas berbanding sebelum ini. Rayyan dan rakan-rakannya berpuas hati akan usaha yang telah dijalankan oleh mereka. Mereka berasa sangat bersyukur kerana penduduk juga saling membantu dalam menjaga kelestarian alam sekitar di kawasan perumahan mereka.

 

NILAI MURNI:

1. Kepimpinan: Sikap kepimpinan yang ditunjukkan oleh Rayyan di mana dia mengetuai rakan-rakannya dalam melaksanakan setiap aktiviti 3R yang dijalankan kepada penduduk setempat bagi memastikan kelestarian alam sekitar.

2. Prihatin : Nilai prihatin dapat dilihat melalui sikap Rayyan yang berusaha memastikan kebersihan di kawasan sekitar perumahannya tanpa menjejaskan alam sekitar dengan pelbagai cara sekalipun.

3. Bertanggungjawab: Penduduk setempat juga menunjukkan nilai bertanggungjawab iaitu dengan mengambil bahagian dalam menjaga kerbersihan kawasan perumahan mereka seperti menyertai gotong-royong.

4. Ketabahan: Rayyan dan rakan-rakannya iaitu Arsyad dan Sofia menunjukkan nilai yang tabah dalam mengharungi pelbagai rintangan dan halangan dalam menjaminkan kelestarian kawasan perumahan mereka.

5. Keberanian: Sikap yang ditonjolkan oleh Rayyan, Arsyad dan Sofia iaitu berani dalam mengambil pelbagai inisiatif dalam memulakan amalan 3R kepadaa penduduk setempat walaupun masih remaja sehingga membawa kepada perubahan yang positif

 

 

No comments:

Post a Comment