NAMA : NUR MURFIQAH AMNI BINTI MARZUKI
NO MATRIK : D20231108074
KUMP : A
Pada setiap hari, keluarga ikan ini akan menjelajahi terumbu karang dan menikmati keindahan alam bawah laut yang amat mempesona. Mereka bermain bersama-sama di sekeliling terumbu karang, bersembunyi di dalam gua-gua kecil, dan berlumba-lumba mengelilingi kawasan sekitar laut.
Namun begitu, pada suatu hari, kedamaian terumbu karang yang mereka tinggal telah terancam. "Apa yang telah terjadi ini, ayah? Kenapa air di sekeliling kita menjadi keruh dan berbau busuk? Saya juga merasakan susah untuk bernafas" tanya si Wanda kepada ayahnya, Larry. Larry tersenyum paksa lalu berkata kepada anaknya "Air laut ini dan terumbu karang kita telah tercemar disebabkan oleh perbuatan manusia yang tidak bertanggungjawab membuang sampah dan bahan kimia yang berbahaya ke dalam laut,".
Wanda memandang ke luar memperhatikan kawasan sekitar rumahnya yang dipenuhi dengan sampah-sampah plastik dan tin kosong."Adakah pencemaran ini berbahaya untuk kita?" soal Wanda. Ibu ikan iaitu Koral mengangguk sambil menarik Wanda untuk dekat ke pangkuannya. "Betul, Wanda. Pencemaran ini amat berbahaya untuk kita dan hidupan laut lain. Ianya boleh mengakibatkan kematian kepada kita,"
Wanda memandang ibunya dengan menunjukkan wajah yang penuh persoalan tentang penjelasan ibunya tadi. Koral dan Larry tersenyum "Biar ayah jelaskan supaya awak faham," kata Larry kepada Wanda.
"Pencemaran air sebenarnya membawa maksud kepada perubahan kualiti air akibat daripada bahan-bahan asing seperti tumpahan minyak dan bahan kimia atau sisa buangan seperti plastik dan tin kosong daripada manusia yang akan memberi kesan yang negatif kepada manusia dan ekosistem air. Terdapat manusia yang mementingkan diri mereka sendiri dengan membina kilang yang berdekatan dengan laut dan sisa kimia daripada kilang tersebut akan mereka buang ke dalam laut. Terdapat juga manusia yang membuang segala sisa sampah dan minyak yang datangnya daripada kapal ke dalam laut tanpa memikirkan kesan negatif yang akan berlaku. Pencemaran ini menggugat kesihatan kita sebagai hidupan akuatik dan berisiko menyebabkan kematian disebabkan oksigen di dalam laut berkurangan kerana air laut telah beracun dan penumpahan minyak di atas permukaan air laut yang telah menyekat kemasukan oksigen ke dalam laut. Kita yang ingin mencari makanan yang bersih juga sukar dan terdapat sebilangan hidupan akuatik yang akan makan sampah yang dibuang oleh manusia kerana menganggap itu adalah makanan dan hal ini menyebabkan hidupan tersebut tercekik dan mati,"
"Jadi, apa yang kita perlu buat untuk menghentikan pencemaran ini?" soal Wanda terhadap kedua ibu bapanya. "Kita tidak mampu untuk menghentikan pencemaran ini, Wanda. Hanya manusia sahaja yang dapat membantu kita jika mereka mempunyai sikap ambil berat dan prihatin terhadap ekosistem air. Jika mereka sedar akan kepentingan menjaga kebersihan air laut, pasti mereka akan mencari cara untuk mengurangkan pencemaran ini supaya hidupan seperti kita sentiasa terpelihara," kata Koral kepada anaknya, Wanda. "Jadi, penyelesaiannya sekarang ini adalah kita perlu berpindah tempat tinggal secepat yang mungkin. Kita tidak boleh tinggal di sini kerana air laut telah beracun dan boleh membahayakan diri kita. Ayah tidak mahu kamu berdua terjadi apa-apa disebabkan pencemaran air ini," ucap Larry sambil memandang isteri dan anaknya yang tersayang. Larry sebagai ketua keluarga tahu bahawa dia bertanggungjawab dalam hal ini bagi melindungi keluarganya yang tersayang. Oleh itu, mereka menyiapkan diri dengan kadar yang cepat untuk berpindah jauh daripada kawasan yang dicemari tersebut.
Mereka sekeluarga keluar daripada rumah terumbu karang yang sebelum ini telah menciptakan pelbagai memori yang indah antara mereka. Suasana keliling kawasan yang dicemari tersebut amat gelap dan terdapat juga ikan-ikan lain serta hidupan lain seperti ketam dan tapak sulaiman yang turut lari untuk berpindah ke kawasan lain kerana risau akan pencemaran tersebut yang boleh menggugat nyawa mereka. Dalam perjalanan mereka sekeluarga untuk pindah ke tempat lain, ketakutan menguasai diri Wanda kerana dia melihat terdapat beberapa bangkai ikan dan hidupan lain yang terapung-apung di sekeliling kawasan tersebut lalu dia merapatkan diri dengan ibunya. Larry dan Koral cuba untuk menenangkan anak mereka yang menangis ketakutan dengan menasihati supaya hanya berenang ke depan sahaja dan jangan memandang ke kiri atau kanan.
Setelah beberapa minit, mereka sekeluarga dan hidupan lain tiba ke kawasan baru yang tidak tercemar dengan apa-apa sisa kimia mahupun bahan asing. Mereka semua menarik nafas lega kerana terbebas daripada sebarang ancaman daripada pencemaran tersebut. Keindahan kawasan laut tersebut indah sekali dihiasi dengan terumbu karang yang berwarna-warni serta bentuk muka bumi yang unik seperti batu-batuan yang membentuk terowong dan pemandangan ini terlihat sangat menakjubkan bagi semua hidupan laut di situ. Air laut di kawasan itu juga bersih dan warna kebiruan membuatkan Wanda kegirangan dan berlari-larian di sekitar kawasan tersebut bersama dengan ikan-ikan yang lain. Larry dan Koral hanya ketawa gembira melihat anak mereka dari kejauhan. Mereka berasa bersyukur kerana masih diberikan peluang untuk hidup di tempat yang lebih baik daripada sebelum ini bersama-sama dengan keluarga tersayang.
Wanda dan ikan-ikan yang lain tidak sedar bahawa mereka berenang sehingga dekat dengan permukaan air. "Kawan-kawan, marilah kita berenang ke atas permukaan air. Saya ingin melihat suasana bagaimana pula jika daripada atas," ajak Wanda. Ikan-ikan yang lain mengangguk dan setuju untuk naik ke permukaan air kerana mereka juga berkeinginan seperti Wanda. Setelah mereka sampai ke atas, mereka melihat daripada kejauhan terdapat sekumpulan manusia yang sedang bekerjasama mengutip sisa sampah di kawasan pantai yang berdekatan dengan mereka dan ada juga beberapa kapal kecil di kawasan laut yang sepertinya menyedut minyak yang tumpah di permukaan air laut.
Setelah pulang daripada permukaan air, Wanda menceritakan situasi yang dilihatnya tadi kepada ibu bapanya. Larry dan Koral tersenyum lalu Larry berkata "Syukur masih ada manusia yang mengambil berat tentang kebersihan air laut dan mempunyai kesedaran tentang betapa pentingnya menjaga kebersihan air laut. Mereka cakna tentang langkah-langkah yang boleh dilakukan untuk mengurangi pencemaran air laut. Kita hanya mampu berharap semoga manusia tidak akan lupa untuk sentiasa menjaga kebersihan air laut dan ekosistem laut kerana hidupan laut sangat penting dalam pembangunan global disebabkan faktor ianya sebagai ekosistem terbesar di alam ini,"
Pada akhirnya, warna-warna cerah kembali bersinar dan mereka sekeluarga serta hidupan lain dapat hidup bahagia seperti sebelumnya. Kebersihan air laut di kawasan tersebut sentiasa dijaga dengan baik oleh manusia di sekitar tersebut. Mereka bersama-sama manusia belajar bahawa kepedulian dan kerjasama adalah kunci untuk melindungi rumah mereka dan mereka berharap agar cerita ini dapat menjadi inspirasi bagi semua makhluk di laut dan daratan untuk menjaga bumi ini dengan baik.
-TAMAT-
NILAI MURNI
1. Kasih sayang antara keluarga – Hubungan antara Larry, Koral dan Wanda amat bahagia dan mereka saling menyayangi antara satu sama lain di mana mereka saling melindungi dan menasihati antara satu sama lain.
2. Bertanggungjawab – Larry sebagai ketua keluarga bertanggungjawab melindungi keluarganya daripada sebarang ancaman. Jadinya, dia perlu bertindak dan membuat keputusan bagi sesuatu situasi.
3. Nilai persahabatan – Wanda dan rakan-rakan ikan yang lain bermain dan mengambil risiko bersama-sama untuk naik ke atas permukaan air laut walaupun mereka tahu bahawa risikonya tinggi.
4. Bekerjasama – Sekumpulan manusia bekerjasama membersihkan kawasan sekitar pantai dan laut bagi mengelakkan pencemaran air.
5. Kesedaran persekitaran – Sekumpulan manusia sedar akan betapa pentingnya penjagaan kawasan laut dan hidupan laut kerana laut merupakan sumber penting dan bahagian utama daripada sistem bumi.
No comments:
Post a Comment