Di dalam suatu hutan yang hijau, tinggallah seorang manusia yang bernama Mokha dan tupai peliharaannya Beom. Mereka berdua sangat suka menjelajahi hutan dan berkawan dengan berbagai-bagai haiwan dan makhluk yang wujud di dalam hutan tersebut. Namun begitu, musim panas yang terlampau telah tiba sebagaimana tahun-tahun sebelum. Kesemua haiwan dan hidupan di dalam hutan itu telah pun bersedia dengan keperluan masing-masing untuk meneruskan hidup semasa musim panas terlampau itu.
Akan tetapi semasa mereka sedang berehat, hutan tersebut secara tiba-tiba dilanda kabus yang sangat tebal. Mokha dan Beom sangat bingung dari mana kabus tebal itu datang? Tanpa membuang masa, mereka berdua beredar untuk mencari apakah puncanya. Setelah menempuh perjalanan yang agak lama, Mokha dan Beom menemukan sekelompok manusia yang membakar hutan untuk membersihkan tanah.
Mokha dan Beom segera pulang ke tempat tinggal mereka dan mengumpulkan semua hidupan hutan itu. Mereka semua bersatu hati untuk memberitahu manusia tersebut tentang bahayanya kebakaran hutan dan kesannya pada alam sekitar. Mereka membina sepanduk dan meminta bantuan keluarga burung-burung hutan untuk mengelilingi hutan dan menjatuhkan sepanduk di tempat kelompok manusia itu berehat.
Mokha, mewakili hidupan di hutan itu berbincang dengan manusia yang melakukan kebakaran tersebut untuk menghentikan aktiviti mereka demi kesejahteraan hidupan di hutan serta alam sekitar. Mokha memberitahu akan kesan yang akan terjadi sekiranya aktiviti tidak dihentikan, iaitu jerebu. Dengan harapan, mereka dapat mengubah pemikiran manusia dan melindungi hutan yang mereka cintai.
Melalui sepanduk dan perbincangan bersama Mokha dan rakan-rakan, manusia-manusia itu mulai menyedari kesalahan mereka. Mereka meminta maaf dan berjanji untuk berhenti dan lebih berhati-hati dalam melakukan aktiviti yang melibatkan alam sekitar selepas ini. Dengan kerjasama antara manusia dan makhluk hutan, hutan pun pulih dan kehidupan diteruskan dengan harmoni.
Nilai alam sekitar
1. Rendah Diri - Bumi bukanlah milik manusia sahaja. Manusia juga adalah sebahagian dari bumi dan alam.
2. Bertimbang rasa - Sekiranya kita ingin melakukan perubahan kepada alam sekitar, kita mestilah mengikut kadar dan cara yang sesuai dengan alam tersebut.
3. Tanggungjawab - Kita mestilah bertanggungjawab atas pencemaran dan kerosakan alam sekitar yang disebabkan oleh kita.
4. Bekerjasama - Kita haruslah bekerja dan hidup secara harmoni untuk memastikan tiada perselisihan faham dan hidup berjalan dengan lancar
No comments:
Post a Comment