Friday, December 29, 2023
Kelewatan menghantar assignment
Tuesday, December 19, 2023
PERJUANGAN PAHLAWAN KECIL
Dahulu kala, di sebuah hutan yang indah dan subur, hiduplah sekelompok haiwan dan tumbuhan yang bahagia. Pokok-pokok besar memeluk bumi, memberikan perlindungan kepada ratusan spesies tumbuhan kecil.
Hidup bersama secara seimbang, mereka membentuk ekosistem yang saling berinteraksi antara satu sama lain untuk kelangsungan kehidupan. Burung-burung riang bersiul di antara ranting-ranting pokok, sementara haiwan-haiwan yang pelbagai menjalani kehidupan mereka dengan aman dan damai.
Namun, tibalah hari yang sangat buruk apabila berlakunya kemusnahan secara besar-besaran terjadi yang memusnahkan ekosistem alam semulajadi. Pada awal malapetaka berlaku tidak seperti badai atau kebakaran hutan yang memusnahkan, musuh ini tidak kelihatan. Mereka adalah manusia, yang tanpa sengaja atau dengan sengaja merosakkan keindahan alam semulajadi itu.
Pokok-pokok yang berusia berabad-abad ditarah tanpa melihat usia pokoknya sama ada sudah cukup usianya atau belum cukup usianya. Ini telah memusnahkan keindahan alam secara semulajadi yang telah ada sejak berabad- abad dahulu.
Malah burung-burung yang berterbangan di ruang udara mereka kehilangan arah tuju disebabkan sarang mereka musnah di antara dahan-dahan pokok yang dulu menjalar tinggi di langit biru.
Haiwan-haiwan di darat yang berusaha mencari tempat perlindungan, tanah tempat mereka bersembunyi dan tempat mencari makanan agar berubah menjadi lautan tanpa had.
Malah, berlaku pencemaran air dan udara yang memusnahkan kepelbagaian flora dan fauna yang berpunca daripada sikap manusia yang tidak peduli dengan keindahan alam sekitar. Sungai yang dulunya jernih dan air yang bersih kini menjadi tempat pembuangan sisa toksik ke dalam sungai mahupun laut.
Dalam kegelapan itulah muncul seorang pahlawan kecil bernama Aiman, seperti seekor kancil yang bijak. Aiman sangat prihatin dengan keadaan hutan yang semakin teruk. Dia berkumpul dengan rakan-rakan lain untuk mencari jalan untuk melawan perosak alam yang mengancam keindahan alam.
Dengan kepandaian dan keberanian mereka, Aiman dan rakan-rakannya memulakan gerakan untuk menyedarkan manusia tentang bahaya yang sedang berlaku. Mereka membuat perhimpunan, menghantar surat kepada manusia, dan berusaha memulakan program pemuliharaan alam.
Si kecil Aiman menulis surat "Kita Perlulah Sayangi Alam Sekitar Agar Alam Sekitar Tidak Tercemar" lalu memberikan surat kepada setiap manusia. Aiman dan rakan-rakannya juga melakukan aktiviti seperti mengutip sampah sarap yang dibuang merata tempat supaya mengelakkan berlaku pencemaran alam sekitar.
Si kecil Aiman bersama rakan-rakannya melakukan aktiviti penanaman semula pokok yang telah ditebang oleh manusia yang tidak bertanggungjawab atas bantuan guru mereka. Mereka tidak berputus asa untuk memulihara alam sekitar walaupun sesetengah manusia tidak menghiraukannya.
Si kecil Aiman dan rakan-rakanya memberikan harapan baru bagi flora dan fauna yang hampir pupus. Langkah-langkah kecil ini boleh menjadi sinar harapan bagi spesies habitat flora dan fauna yang kian pupus untuk terus bernafas.
Usaha mereka tidak sia-sia. Lambat laun, manusia mulai memahami betapa pentingnya menjaga alam sekitar. Mereka mengurangkan pembalakan haram dan mengambil langkah untuk membersihkan sungai-sungai yang tercemar itu. Para penyelamat hutan kecil seperti Aiman dan kawan-kawan memberikan inspirasi kepada manusia untuk bertindak demi melindungi flora dan fauna
Akhirnya, hutan itu pun kembali pulih. Pokok-pokok yang ditebang tumbuh semula, sungai-sungai menjadi bersih, dan kehidupan di dalam hutan kembali normal. Aiman dan rakan-rakannya telah berjaya menyelamatkan hutan mereka sendiri dengan usaha gigih mereka.
Kisah Aiman mengajar kita tentang kepentingan menjaga alam sekitar. Walau sekecil mana pun, setiap individu mempunyai peranan penting dalam melindungi flora dan fauna dari ancaman perosak alam. Semua boleh menjadi pahlawan seperti Aiman dengan bertindak dan mengambil langkah kecil untuk menjaga alam sekitar kita.
NILAI MURNI
1. Bertanggungjawab: Semua masyarakat perlulah bertanggungjawab untuk menjaga alam sekitar semulajadi seperti flora dan fauna daripada berlaku kepupusan. Cerita ini menggariskan betapa pentingnya menjaga alam semula jadi di sekeliling kita.
2. Keberanian: Keberanian Si kecil Aiman dan rakan-rakannya membenteras ancaman yang memusnahkan habitat flora dan fauna menunjukkan betapa pentingnya keberanian dalam menyelesaikan masalah.
3.Kerjasama: Apabila menghadapi masalah kita perlulah saling bekerjasama antara satu sama lain untuk memelihara dan memulihara keindahan alam sekitar supaya terus kekal hingga ke generasi akan datang.
4. Kesedaran: Usaha Aiman untuk menyedarkan manusia tentang kesan negatif apabila berlaku kemusnahan flora dan fauna disebabkan tingkah laku mereka terhadap alam semula jadi.
5. Kesungguhan: Kesungguhan Aiman dan rakan-rakannya dalam menjalankan usaha menyelamatkan hutan menunjukkan betapa pentingnya ketabahan dalam mengharungi cabaran.
6 . Tidak mudah berputus asa: Walaupun pada mulanya keadaan buruk, Si kecil Aiman dan rakan-rakannya tetap berusaha untuk memulihkan alam sekitar walaupun terdapat beberapa cabaran dan sekaligus memberi harapan baru kepada flora dan fauna untuk terus hidup.