Monday, November 20, 2023

ANDAINYA ?

PROJEK AI HGM3013

ANDAINYA ?

Nama: Nurul Farahanim binti Mohd Nordin

No. Matrik: D20212099009

Kumpulan: HGM3013 (A)

Tajuk: Andainya ?

 

Di sebuah bandar yang menjalani pelbagai kesibukan dunia dan tanah-tanah permukaan bumi yang dipenuhi oleh bangunan-bangunan pencakar langit telah dibasahi dengan deraian air hujan yang sangat lebat dalam jangka masa yang singkat.

Permukaan tanah yang hanya kelihatan secebis yang dijadikan sebagai kemudahan pergerakan bagi penduduk bandar untuk bergerak menggunakan kenderaan bermotor yang dibina di antara celah-celah tersergam indah bangunan yang rapat-rapat. Ini jelas terlihat kepelbagaian aktiviti penduduk setempat jikalau dilihat daripada pemandangan jendela besi dari ketinggian sebuah rumah.

Jika sudah dipanggil sebuah bandar maka kegiatan pembinaan, kepesatan dan penambahbaikan terhadap bangunan semakin giat dijalankan seiring dengan permintaan penduduk setempat yang selalu menginginkan kemudahan dan kesenangan dalam menjalani rutin kehidupan tanpa merasakan kepayahan sehingga sanggup mengabaikan tentang alam sekitar. 

Dikala deraian air hujan masih membasahi bandar tersebut setelah 5 jam berlalu, Airi iaitu gelaran untuk gabungan namanya yang telah diberikan sejak kecil atau nama sebenarnya ialah Aidan Fitriah telah tersedar dari lena yang nyenyak. Terdengar sayup-sayup keriuhan suara-suara daripada luar bilik tidurnya seakan-akan suara panik daripada segenap bangunan yang mempunyai puluhan rumah dan ratusan penghuni dalam bangunan tersebut.

Diseka mata kuyu kerana tersedar dari tidur dan masih kedengaran bunyi rintikan-rintikan deraian air hujan yang menghujani bandar daripada awal subuh dan masih hujan pada pukul sebelas setengah pagi. Hatinya terasa tidak tenang apabila kakaknya membuka pintu bilik tidur seakan tiada tombol pintu dengan riak muka yang sangat panik dan cemas.

Segera kakaknya meminta untuk keluar dan menjengah ke luar koridor untuk melihat apa yang terjadi. Alangkah terkejut besar Airi sehingga mulutnya terkumut-kumut menyebut 'Allahuakbar' beberapa kali apabila melihat abang iparnya berlari tidak cukup tanah untuk mengalihkan kereta yang diparkir dihadapan bangunan flat rumahnya kerana tayar kereta kesayangan abang iparnya hampir dilitupi oleh air yang berwarna seakan teh ais yang menjadi kegilaan orang ramai.

Airi tersentak apabila mendengar laungan seorang lelaki dari bawah mengatakan 'Air sungai sudah melimpah, air semakin naik' dan hujan semakin mengganas dengan lebat tanpa letih membasahi bumi. Airi dan kakaknya berada dalam kebuntuan kerana ini merupakan peristiwa yang pertama kali berlaku dalam hidup mereka berdua.

Di dalam rumah mempunyai empat orang iaitu abang ipar Airi, kakak Airi, Airi dan seorang bayi comel iaitu anak kepada kakaknya yang berusia tujuh bulan. Dalam keadaan panik dan cemas, Airi dan kakaknya hanya sempat memikirkan bekalan makanan dan kakaknya segera memeriksa bekalan makanan serta memesan beberapa bekalan makanan ruji kepada suaminya yang mencari tempat yang lebih selamat dan tinggi untuk diletakkan keretanya. Airi dengan segera pergi membuka semua sumber paip air yang ada dalam rumah untuk ditadah demi kegunaan di masa banjir yang tidak diketahui bila akan surut.

Setelah sejam berlalu, aras bawah di semua bangunan di bandar tersebut telah tidak kelihatan kerana telah dipenuhi oleh air banjir kilat sesuai dengan namanya dalam sekelip mata aras bawah setiap bangunan telah ditenggelami oleh air dengan sangat cepat sehinggakan bumbung-bumbung kereta yang tidak sempat diselamatkan juga tidak kelihatan lagi oleh mata kasar manusia.

Maka tiada lagi kenderaan bermotor termasuk lori-lori yang bertayar  enam atau lapan yang keluar masuk dalam bandar itu untuk membawa barang-barang untuk pembinaan yang pesat dijalankan namun telah ditenggalami air sepenuhnya segenap tapak permukaan tanah bandar tersebut. Airi berdiri di balkoni rumah yang berada tingkat empat dan melihat hanya air sahaja dipenuhi aras bawah serta kedengaran suara-suara bayi yang mula menangis, suara-suara para ibu yang menggesa sang suami untuk pulang segera sebelum air semakin naik dan sebagainya.

Ketika Airi menenangkan kakaknya yang jelas terpancar kerisauan terhadap sang suami yang belum tiba dalam masa yang sama hujan masih turun, paras air semakin meningkat dan dikala itu juga bekalan elektrik di satu bandar itu telah terputus secara keseluruhan. Lagi menyayat hati disebabkan oleh terlalu cemas, bateri telefon Airi dan kakaknya tidak dicas sepenuhnya dan perlu berjimat penggunaan telefon bimbit.

Setelah hari menjenak petang, ketika Airi memandang ke arah beberapa pokok yang tinggal berdekatan bangunan rumahnya sambal berkata dalam hati 'Andai sahaja bandar ini mempunyai banyak pokok masalah banjir kilat ini mesti dapat diatasi' kemudian pintu rumah Airi terkuak dengan luas dan muncul gerangan abang ipar yang membibit di kedua kiri dan kanan tangan bekalan keperluan yang dipesan oleh kakaknya Airi sebelum terputus hubungan jalur lebar daripada telefon dengan kebasahan baju digarisan dada yang menandakan air banjir kilat di bawah telah dipenuhi sehingga paras dada abang iparnya yang ketinggian antara 175cm-180cm dengan muka yang jelas kepenatan setelah mengharungi air banjir demi bekalan makanan kepada anak, isteri dan adik ipar di rumah.

Malam tanpa cahaya dan angin penghawa dingin mahupun kipas berlalu ditemani oleh deraian air hujan yang tidak selebat siang hari namun masih tidak muak untuk terus membasahi bandar itu. Airi kedengaran suara-suara siren yang jelas kedengaran di cuping telinga, diselangi oleh suara-suara orang yang meminta tolong di dalam keheningan malam yang sangat sayu. Tanpa sedar Airi menitikkan airmata apabila terdengar sayup-sayup kejauhan suara azan Isyak berkumandang dan difikirannya memikirkan keselamatan penduduk bandar yang meminta tolong dan mengharapkan bantuan dengan segera.

Sebelum melelapkan mata, Airi berfikir andainya manusia tidak tamak dalam hal keduniaan sehingga sanggup mengorbankan dan memusnahkan alam sekitar untuk tujuan pembinaan semata-mata mesti tidak berlaku banjir kilat sebegini yang hanya menyusahkan penduduk setempat. Andainya pokok-pokok tidak ditebang, tanah-tanah tidak diturap oleh tar, bangunan dibina secara minimal namun masih mengekalkan konsep alam sekitar, sistem perparitan dan kedalaman sungai dijamin sistematik dan bebas daripada banjir sudah semestinya alam sekitar dapat diselamatkan, harta benda misalnya kereta, motor dan barang-barang jualan penduduk setempat juga dapat diselamatkan. Airi tidur dengan hati yang resah disamping memeluk anak saudaranya yang masih bayi dan berharap esok paras air banjir mula surut dan hujan berhenti.

Kedengaran azan Subuh, Airi yang tidur di ruang tamu bersama kakak dan anak saudara terjaga dari tidur dan jelas kedengaran ucapan 'Alhamdulillah' apabila telinganya tidak lagi kedengaran bunyi deraian air hujan turun. Dan matahari mula menyinari pagi hari di bandar itu dan air mula surut sedikit demi sedikit. Airi berharap penduduk bandar itu belajar daripada pengalaman yang pahit mengalami banjir kilat dengan sekelip mata untuk lebih mementingkan alam sekitar berbanding dengan pembinaan yang pesat dijalankan di bandar tersebut.

Kisah Andainya ini memberikan kita pengajaran bahawa pentingkan alam sekitar dalam kehidupan kita. Jika kita adalah manusia yang tamak dan tidak bersyukur maka kesan negatif daripada perbuatan kita akan dihadapi oleh kita sendiri akan akibatnya. 

 

 


Nilai Pengajaran : 

1. Mencintai alam  - 'Andai sahaja bandar ini mempunyai banyak pokok masalah banjir kilat ini mesti dapat diatasi'

2. Prihatin – Airi tersentak apabila mendengar laungan seorang lelaki dari bawah mengatakan 'Air sungai sudah melimpah, air semakin naik'

3. Belas kasihan – Airi menitikkan airmata memikirkan keselamatan penduduk bandar yang meminta tolong dan mengharapkan bantuan dengan segera.

4. Berfikiran logik dan terbuka – Airi berfikir andainya manusia tidak tamak dalam hal keduniaan sehingga sanggup mengorbankan dan memusnahkan alam sekitar untuk tujuan pembinaan semata-mata mesti tidak berlaku banjir kilat sebegini yang

 

No comments:

Post a Comment