Sunday, November 19, 2023

TAJUK: HIJAUKAN BUMI SEMULA

NUR ALIA MAISARAH BT MOKHTAR
D20231108112
HGM3013 GROUP B


PADA suatu hari yang cerah, Yara dan dua lagi kawannya iaitu Aizat dan Hafiz berjalan beriringan di bahu jalan. Cuaca yang sangat panas menyebabkan Yara sentiasa mengelap peluh yang menitik pada bawah dagunya. Badannya terasa tidak selesa dengan suhu yang panas pada petang itu.

"Sejak akhir-akhir ni, kampung kita rasa makin panas pula," keluh Yara. Kertas yang berada pada tangan kanannya dikibas-kibas pada muka.
 
Aizat dan Hafiz mengganguk bersetuju. Memang tak dapat dinafikan, kampung mereka sekarang sudah semakin panas dibandingkan sebelum ini.

"Dulu rasanya kampung kita tak adalah sepanas ini, tapi sekarang makin panas pula. Kau rasa apa puncanya, Aizat?" soal Yara. Aizat berfikir sejenak sambil matanya melihat ke arah jalanraya.

Terdapat beberapa lori yang melintasi mereka. Di belakang lori tersebut diisi dengan banyak kayu yang bersaiz besar. Tanpa sedar, Aizat mendapat jawapan kepada soalan yang diajukan oleh Yara tadi. Dia berpaling ke arah Yara dan menyuruh Yara untuk melihat lori-lori yang membawa kayu tadi.

"Setahu aku, suhu di sesebuah kawasan tu dipengaruhi juga oleh faktor tumbuhan. kalau kau nak tahu, pokok juga mempengaruhi suhu sesuatu tempat. Makin banyak pokok yang ada di sesebuah kawasan tu, makin rendah suhu kawasan tu," jelas Aizat panjang lebar. Yara menganguk tanda bersetuju.

"Jadi, kampung kita ni kurang pokok ke yang menyebabkan kawasan kita panas?" soal Hafiz pula.

"Ya. Aku pernah terdengar kenyataan di televisyen yang penebangan hutan secara haram boleh menyebabkan berlakunya pemanasan di kawasan setempat. Seperti yang kita tahu, kampung kita berada di kawasan bandar. Jadi, kegiatan penanaman pokok itu agak kurang disebabkan oleh proses pembadaran yang tinggi," jelas Aizat lagi. Kening Yara berkerut.

"Proses pembandaran macam mana tu, Aizat?"

"Proses pembandaran itu ialah proses perubahan sesuatu kawasan dari luar bandar ke bandar. Maksudnya, pembangunan seperti kedai, hospital, sekolah dan banyak lagi akan giat dibina. Ini bertujuan untuk memajukan lagi kawasan setempat. Kesannya, penebangan hutan akan giat dijalankan dan kawasan kita akan semakin panas.

Yara mengangguk-angguk kepalanya tanda faham dengan penjelasan yang diberikan oleh Aizat.

"Terima kasih, Aizat sebab kau tolong jelaskan tentang ni. Sekarang baru aku faham yang bila kita tebang banyak pokok, kawasan kita akan makin panas."

Mereka bertiga akhirnya berpecah dan pulang mengikut jalan masing-masing.

KEESOKAN harinya, Yara menghantar mesej di dalam grup mereka bertiga. Yara hendak mencadangkan satu program yang dinamakan 'Mari Menanam Pokok!" kepada guru kelas mereka. Yara mengajak Aizat dan Hafiz untuk bersama-sama berbincang dengan guru geografi di sekolah mereka. Tujuan bagi program mereka adalah untuk memberi pengetahuan kepada pelajar di sekolah mereka.

Yara tahu, untuk mengubah sesebuah masyarakat itu sukar. Jadi dia memilih untuk memulakannya di sekolah kerana generasi mereka merupakan generasi yang akan menjadi pemerintah bumi kelak. Sebagai seorang pelajar geografi, dia berasa bertanggungjawab dalam menyedarkan orang ramai tentang isu penanaman pokok.

Tanpa berlengah, mereka bertiga bertemu dengan guru kelas mereka. Cadangan Yara tadi dikemukakan kepada guru mereka, iaitu Puan Fatima. Setelah mendengar penjelasan Yara, Aizat dan Hafiz, Puan Fatima mengangguk-angguk kepala bersetuju.

"Cadangan kamu baik, cuma cikgu tak pasti lagi program yang kamu mahukan ni dapat diluluskan. Apa-apa keputusan akan cikgu beritahu semula ya?"

Yara dan rakan-rakannya mengangguk. Mereka bersalaman dengan Cikgu Fatima dan meminta diri dengan lemah lembut sebelum melangkah keluar dari bilik guru. Itu sebagai tanda penghormatan mereka kepada guru mereka.
 Mereka tidak sabar untuk menanti keputusan daripada Puan Fatima. Harapan mereka, program tersebut dapat dijalankan di sekolah supaya dapat menyedarkan orang ramai bahawa pentingnya penanaman pokok untuk alam sekitar.
Setelah menunggu jawapan cikgu Fatimah selama tiga hari, hampanya mereka tidak dapat menjalankan program tersebut. Yara dan rakan-rakannya berasa agak sedih dan kecewa. Mereka sungguh bersemangat untuk menjalankan program tersebut. Malah mereka telah mewar-warkan kepada rakan-rakan mereka dari pelbagai kelas.

"Jangan bersedih Yara. Aku ada satu idea!"

Aizat dan Yara berpaling ke arah Haziq. Haziq tersenyum lalu memberitahu ideanya. Mereka bercadang untuk memulakan misi menanam pokok sendiri. Mereka bercadang untuk menanam pokok bersama rakan-rakan mereka di taman permainan. Dengan cara ini mungkin dapat menarik minat masyarakat untuk menenam pokok.

PADA cuti hujung minggu, Yara, Haziq dan Aizat Berjaya mengumpul rakan-rakannya seramai 14 orang untuk menanam pokok di taman. Mereka telah membawa baja dan ada juga yang membawa anak pokok. Mereka bersama-sama menanam pokok di taman permainan kampung mereka.

Terdapat beberapa orang kampung yang melihat dan bertanya mereka tentang sebab mereka menanam pokok-pokok tersebut. Ada juga beberapa orang kampung yang terdiri dari pelbagai lapisan umur yang turut sama menolong mereka menanam pokok.

Mereka juga memacak baner di satu sudut yang tertulis, 'Mari Menanam Pokok Demi Kehijauan Bumi'. Harapan mereka, dengan adanya usaha kecil ini masyarakat akan mula sedar betapa pentingnya penanaman pokok demi menjaga alam sekitar di kawasan bandar disamping mengurangkan masalah pemanasan kawasan setempat.


NILAI MURNI

1. Baik hati
Aizat seorang yang baik hati kerana sanggup menerangkan tentang ilmu geografinya kepada rakan-rakannya iaitu Yara dan Haziq

2. Kegigihan
Yara seorang yang gigih kerana dia mencadangkan kepada gurunya iaitu Puan Fatima untuk menjalankan program 'Mari Menanam Pokok' dengan tujuan menyebarkan kepentingan menanam pokok dalam memastikan alam sekitar kita terjamin.

3. Hormat menghormati
Yara menghormati gurunya dengan bersalaman dan meminta diri untuk keluar dari bilik guru secara lemah lembut dan berhemah.

4. Kerjasama
Yara, Haziq, Aizat dan rakan-rakannya telah bersama-sama bekerjasama menanam pokok dan saling membantu menanam pokok.

5. Semangat kemasyarakatan
Masyarakat di kampung Yara saling membantu Yara dan rakannya ketika menjalankan aktiviti menanam pokok.

No comments:

Post a Comment