Sunday, November 19, 2023

TANGISAN ORKID DI KAKI LEDANG

NAMA           : BALQIS BINTI ABU JOHAN
MATRIK        : D20202096609
KUMPULAN : HGM3013 (B)

Hembusan angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa itu menampar halus pipiku tatkala aku termenung di beranda rumahku. Kulihat, pepohon rimbun menari-nari indah mengalun bersama tiupan angin yang beredar bersamanya. Sekejap beralih ke kiri, sekejap beralih ke kanan, tiada tetap perilakunya mengikut alunan angin yang menderu. 


Cuaca terlihat begitu cerah dan indah sekali. Butiran-butiran pepasir halus di halaman rumahku kelihatan bersinar indah bagaikan mutiara di dasar lautan tatkala disinggahi sinaran mentari. . Aroma masakan ibuku mengusik lembut sanubariku. "Ah, inilah keindahan yang tiada gantinya. Alam yang indah bersama keluarga yang harmoni." bisik hati kecilku. 


"Syahir! Ayuh, mari makan bersama, sebentar lagi ayah ingin keluar! Cepat, ayuh ke sini." seruan ibuku itu menyentak lamunanku. 

"Baiklah ibu, sebentar. Syahir datang ni." ujarku menyambut seruan ibuku. 


Suasana makan bersama ini amatlah aku sukai kerana ianya mampu mengeratkan hubungan kami sekeluarga bersama. Masakan ibuku yang jarang sekali gagal menambat hati dan selera itu aku dan ayahku makan dengan penuh berselera. 

"Abang, esok kan cuti, kalau kita ke Air Terjun Gunung Ledang seronok juga ya? Sudah lama kita tak bawak Syahir berjalan." ujar ibu menghilangkan kesepian di saat itu. 

"Hm, boleh juga tu awaknya. Abang pun nak hilangkan kepenatan bekerja ni. Bolehlah kita berehat bersama-sama kan." balas ayah menyambut cadangan ibu. 


Aku tersenyum tanpa kata. Di dalam hatiku bersorak sejuta suara. Manakan tidak, bepergian bersama keluarga ke air terjun, suatu kebahagiaan yang tiada terkira. Tambahan pula, aku amat menyukai menikmati keindahan alam flora dan fauna di mana-mana. 


Hari yang dinanti telahpun tiba. Mereka memuatkan beg bekalan ke dalam kereta dan bergegas memasuki kereta. Perjalanan dimulai dari rumahnya perlahan-lahan menuju ke Air Terjun Gunung Ledang. Semasa perjalanan, Syahir melihat banyak bukit bukau yang menarik perhatiannya. Kehijauan alam yang sangat menarik memicu semangatnya untuk lebih menjaga kebersihan dan keindahan alam sekitar. Sembari melihat-lihat keindahan-keindahan itu dalam perjalanannya, Syahir terlelap dengan lentoknya. 


"Syahir, bangunlah nak, kita sudah sampai." bisikan-bisikan halus terdengar ditelingaku. Aku perlahan membuka mataku dan keindahan yang kulihat itu sungguh membuatkanku terpaku tanpa sebarang kata terucap melainkan ucapan kekaguman dan kegembiraan melihat keindahan ini. 


Sungguh terlalu lama aku tidak melihat keindahan seperti ini. Deruan airnya, aroma kesegaran udaranya cukup membuatku tersenyum tanpa sebarang suara menikmati keindahan ini. "Ya, inilah alam yang perlu untukku jaga, inilah alam yang perlu untukku pelihara." gumamku bersendiri dalam hatiku. 


Seketika aku berjalan meneroka persekitaran itu, aku menemukan banyak pepohonan, bebatuan yang indah, tumbuhan-tumbuhan melata yang tiada mampu kutemukan di kawasan perumahanku. Tiba-tiba seseorang menepuk bahuku. Aku berpaling mencari insan tersebut. "Ayah rupanya." ujarku lembut. "Ayuh, ayah ingin tunjukkan sesuatu." kata ayahku. Aku mengikuti langkah kakinya masuk ke sedikit ke dalam hutan. 


Setibanya di suatu kawasan, ayahku menunjukkan sesuatu yang membuatku bertambah terpaku melihat akan keindahannya. "Inilah orkid selipar yang kian pupus. Habitatnya, di kawasan air terjun ini dan juga di Gunung Kinabalu sahaja. Kini, orkid ini kian diancam kepupusan." terang ayah panjang lebar. 


"Mengapa orkid ini kian pupus ayah?" soalku penuh tanda tanya.

"Aktiviti manusia lah, selain itu, faktor persekitaran juga memainkan peranan juga. Manusia, sering mencari pokok ini kerana keindahan dan fungsi-fungsinya yang lain. Pokok ini juga hanya tumbuh di kawasan tanah tinggi dengan suhu yang rendah sahaja. Sekarang suhu makin tinggi, pokok ini kian terancam kepupusan." 


Aku terkedu. Kemerahan warna orkid itu seakan-akan menitikkan airmata keresahan dan kesedihan akan kehidupannya. Aku berjalan keluar dari hutan bersama ayah dalam kesedihan, kegelisahan, dan penuh pemikiran akan seribu satu cara untuk mengembalikan kelestariannya. 


Tak lama kemudian, kami sekeluarga berkemas untuk pulang. Aku masih memikirkan akan nasib tumbuhan flora di habitat ini. Akankah mereka menerima nasib yang sama seperti orkid itu? Akankah anak cucuku nanti mampu dan masih berpeluang menikmati keindahan ini lagi? Persoalan demi persoalan berbangkit di benakku. Namun persoalan itu tiada mampu ku jawab. Biarlah waktu menjawab segalanya. 


Biarpun begitu, timbul satu semangat dalam diriku. Aku bertekad akan melontarkan kesedaran dalam masyarakat akan kepentingan penjagaan alam ini. Demi kelestarian alam, akanku pupuk kesedaran ini bagi mengelakkan air mata orkid itu berubah menjadi air mata flora dan fauna yang lainnya. 


Nilai murni:

1. Tanggungjawab : Kita sebagai manusia seharusnya bertanggungjawab dalam menjaga dan memelihara habitat flora dan fauna bukannya merosakkan habitatnya.

2. Mensyukuri : Syahir menghayati pemandangan dan suasana semulajadi sepanjang di kawasan air terjun itu.


No comments:

Post a Comment