Monday, November 20, 2023

KISAH ANDIKA SI WIRA KECIL DAN SI IKAN KALOI

Nama: DAYANG NUR SYAKILA BINTI AWANG JAMALLUDIN
No matrik: D20231108144
Kumpulan: HGM3013 (B)

Pada suatu ketika dahulu, di sebuah Nusantara yang penuh dengan kehijauan alam terdapat sebuah perkampungan yang dikenali sebagai Desa Indera Kayangan. Indera Kayangan merupakan sebuah desa yang kaya dengan kehijauan alam sekitar , sumber air sungai serta  kekayaan hasil alam sekitar. Penduduk desa Indera Kayangan pula hidup dalam keadaan yang harmoni dan saling membantu antara satu sama lain.

"Lat tali lat tali tamplon…..!!" "budi kalah!! Semua cepat lari!!!" jerit Andika kepada kawan-kawannya.  'hahahahahaha tak dapat kejar'  bunyi ketawa girang Andika dan kawan-kawannya yang sedang berkejar-kejaran di halaman rumah. 'Pap!' bunyi pukulan kedengaran di gegedang telinga. "yeay Dika kalah!! Sekarang Dika pula yang kejar kita" jerit Budi dengan penuh riangnya.

"eh, mana adil, aku tak bersedia lagilah tadi" rajuk Andika kepada teman-temannya. "tak ada, kau tetap dah kalah" sahut Bima yang juga merupakan salah seorang kawan Andika manakala kawan-kawan Andika yang lain mengangguk setuju dengan apa yang diperkatakan oleh Bima. "Baiklah, aku kalah" sahut Andika dengan lemah. "Satu, dua, tiga! kejar!!" Jerit Andika dengan lantangnya. "Lariii….!!!" Sahut kawan-kawan Andika dengan girangnya.

Semasa Andika dan kawan-kawannya sedang seronok bermain, kedengaran laungan  Puan Jamila yang memanggil anaknya " Dika!! sini kejap". Selepas mendengar panggilan ibunya, Andika berlari anak menuju ke arah ibunya. "ye ibu?'" sahut Andika yang sudah berdiri di hadapan ibunya. "Boleh tolong ibu isikan air, ibu nak guna masak makan malam nanti" kata Puan Jamila pula. "Baik ibu!" jawab Andika patuh.

Andika berjalan menuju ke sungai sambil bersiul girang. Setibanya di sungai, Andika memasukkan botol ke sungai untuk mengisi air. Selepas selesai mengisi air, Andika berehat seketika di bawah pokok yang rendang sambil memerhati persekitaran sungai yang masih terjaga rapi. Bunyi air sungai yang mengalir menambah rasa kantuk pada anak mata Andika.

 Rasa kantuk Andika mula hilang apabila gegendang telinganya menangkap bunyi yang agak bising. "glup, glup, glup….glup..glup…" bunyi itu kedengaran dari arah sungai. Andika bergerak menuju ke tepi sungai untuk melihat dari mana bunyi itu datang. Kemudian, Andika melihat seekor ikan kaloi sedang berenang di tepian sungai.

'Eh, ikan kaloi rupanya, ingatkan apa' monolog Andika sendiri. "Kau sorang je ke ikan kaloi?" tanya Andika kepada si kaloi walaupun Andika tahu kaloi tidak akan menjawab soalannya. "dah tu kau tengok ada ikan lain ke dengan aku"  jawab si ikan kaloi. Andika terkedu. 'Ikan ni bercakap dengan aku ke?' monolog hati Andika. "muka kau pucat macam nampak hantu tu kenapa?" tanya si kaloi pula. "k-kau boleh bercakap ke kaloi…?" tanya Andika separa gagap. "mestilah boleh, takkan manusia je yang reti bercakap" jawab Kaloi angkuh.

Andika mula berasa teruja kerana baginya ini pertama kali dalam hidupnya mendengar ikan bercakap. "nama kau apa kaloi" tanya Andika teruja. "Nama aku kaloilah, kaloi si informasi" jawab Kaloi. "kau tanya je apa-apa semua aku boleh jawab" tambah si kaloi. "macam mana aku boleh dengar kau bercakap" tanya Andika dengan penuh tanda tanya. "inikan desa Indera kayangan, tiada yang mustahil jika hati kita tulus dan ikhlas" jawab si kaloi tenang. " Andika kan seorang budak yang baik dan anak yang patuh, mungkin sebab itu Andika diberi kelebihan untuk mendengar apa yang kaloi katakana." Tambah si kaloi lagi.

Semenjak peristiwa Andika bertemu dengan si ikan kaloi, hampir setiap petang Andika pergi ke sungai untuk bertemu dengan si ikan kaloi. Persahabatan Andika dan si ikan kaloi ibarat isi dengan kuku. "Kaloi kau takda ahli keluarga ke?" tanya Andika  penuhrasa ingin tahu. "Keluarga aku sungai ni lah, semua yang ada pada sungai ni seperti  hidupan, air dan tumbuhan." "Maksud kau apa kaloi" tanya Andika yang kurang faham apa yang disampaikan si Kaloi. "Sungai tu penting untuk aku Dika, sebab sungai tu habitat bagi spesies aku" terang si kaloi. "tanpa sungai yang bersih, tumbuhan takkan dapat hidup dan spesies ikan macam kami hilang sumber makanan" "sungai yang kotor juga akan membahayakan nyawa ikan seperti kami"  terang kaloi lagi. "macam mana sungai kotor boleh membahayakan nyawa kau kaloi" tanya Andika lagi. "sungai yang kotor menyukarkan spesies kami untuk bernafas" jawab kaloi. "Kenapa pula boleh macam tu" tanya Andika yang masih kurang faham. "Sebab debu, partikel-partikel terampai, dan benda cecair seperti minyak yang dibuang ke dalam sungai akan menutupi permukaan sungai, hal ini akan menyebabkan oksigen di dalam sungai berkurang, makan ikan dan hidupan sungai akan kekurangan oksigen dan mati" terang si kaloi panjang lebar kepada Andika. "ingat pesan aku dika, cintailah sungai kita. Sungai ni bukan penting untuk kami spesies ikan sahaja, tapi penting juga untuk manusia sebab punca air yang bersih tu datangnya dari sungai. Jadi kita haruslah jaga kebersihan sungai kita" pesan Kaloi kepada Andika. "baiklah kaloi, aku akan ingat pesan kau" jawab Andika.

Pada suatu hari, akibat ketamakan seorang tukang emas yang bernama Raja Kotor telah mengakibatkan sungai desa Indera kayangan itu tercemar. Beliau mencuba mencari kekayaan dengan menggunakan merkuri untuk mengekstrak emas dari sungai-sungai di sekitar desa. Tanpa disedari, merkuri yang digunakan oleh Raja kotor telah mencemari sungai-sungai tersebut. Air yang dulu jernih dan bersih kini berubah menjadi keruh dan beracun. Hidupan di sungai pula banyak yang mati akibat sungai yang dah tercemar. Bukan itu Sahaja, penduduk desa Indera kayangan turut terjejas dengan pencemaran sungai yang berlaku. Hal ini kerana, penduduk desa Indera kayangan telah kehilangan sumber protein yang menjadi punca rezeki serta kekurangan bekalan air bersih.

Selepas mendengar khabar tersebut, Andika berlari ke sungai. "Kaloi!! Kaloi! Kaloi!...." jerit Andika. Hampir setengah jam Andika mencari kaloi namun kaloi tidak dijumpai. "kau kat mana kaloi…" ucap Andika sendiri. Andika merasa amat sedih melihat sungai yang dulu jernih bertukar menjadi keruh akibat ketamakan manusia. Andika mengambil langkah yang lemah meninggalkan sungai namun tiba-tiba anak mata Andika menangkap sesuatu yang amat dikenalinya sedang terapung di atas permukaan sungai. Ya, itulah kaloi yang sudah tidak bernyawa terapung di sungai bersama-sama ikan yang lain. "kkk-kaloi……" rintih Andika sendirian. Tanpa disedari air mata yang ditahan mula gugur. Andika berasa amat sedih, sahabat yang dulunya sentiasa ada telah pergi meninggalkannya akibat sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pihak.

Pada keesokan paginya, Andika mengajak kawan-kawannya ke sungai untuk membersihkan sungai itu bersama-sama. Andika dan kawan-kawannya mula mengutip sampah-sampah yang ada di sekitar sungai. Melihat kesungguhan anak-anak kecil ini memulihara sungai, penduduk kampung mula bersama-sama menghulurkan bantuan untuk membersihkan sungai yang sudah tercemar itu. Penduduk kampung telah bersepakat untk mengadakan gotong-royong bersama-sama bagi membersihkan sungai yang telah kotor itu. Bukan itu Sahaja, penduduk kampung turut mengambil inisiatif menanam tumbuhan yang dapat menyaring atau menjernihkan air yang kotor seperti Teratai. Hal ini supaya, air sungai sentiasa bersih dan terjaga. Di samping itu, penduduk kampung juga mengadakan kempen cintailah sungai kita. Tujuan kempen ini adalah untuk mendedahkan penduduk kampung tentang kepentingan memelihara kebersihan sungai di samping menyemarakkan semangat cintai alam sekitar dalam kalangan penduduk kampung.

Pada suatu petang yang sunyi, Andika berjalan sendirian di tepi sungai. Andika bangga melihat sungai yang dulu keruh telah bersih dan jernih kembali kerana adanya sikap kerjasama penduduk kampung membersihkan sungai. "Ingat Dika, cintailah sungai kita" pesan kaloi dahulu mula berputar kembali dalam memori Andika. Andika mengukir senyum nipis. " Aku akan  sentiasa ingat pesan kau kaloi." "Aku akan jaga kebersihan sungai desa ini" kata Andika sendirian. Andika menanam azam dalam diri untuk sentiasa menjaga alam sekitar demi kebaikan semua hidupan di bumi. Di satu sisi yang lain, " terima kasih Andika, sahabatku" ucap kaloi penuh ikhlas.

 

Nilai murni

·       Kasih sayang- Andika berasa amat sedih apabila melihatan sungai yang dulu jernih telah menjadi keruh dan tercemar

·       Sikap ambil tahu atau cakna- Andika mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi berkenaan dengan kepentingan sungai terhadap hidupan dan persekitarannya

·       Bijaksana- Andika mengajak kawan-kawannya untuk membersihkan sungai yang sudah tercemar bagi memulihara sungai tersebut

·       Prihatin- penduduk kampung turut menghulurkan bantuan untuk membersihkan sungai yang sudah tercemar

·       Kerjasama- penduduk kampung bekerjasama mengadakan gotong-royong membersihkan sungai

·       Tanggungjawab- penduduk kampung mengadakan kempen cintailah sungai kita untuk meningkatkan semangat serta kesedaran mencintai alam sekitar

No comments:

Post a Comment