NAMA: TRACY NOVIA GOH
NO. MATRIK: D20231108137
KUMPULAN: HGM3013 (KUMPULAN B)
Hari itu, langit begitu kelabu dan mendung. Sekumpulan kanak-kanak iaitu Afiq, Sara, dan Amir bersama-sama bermain di taman permainan berdekatan rumah mereka. Mereka sangat gembira, tidak tahu bahawa petang itu akan menjadi pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
Sekitar pukul 4 petang, hujan mula turun dengan lebatnya. Mereka segera berlari ke rumah Afiq yang tinggal tidak jauh dari taman permainan untuk mengelak dari kebasahan. "Kami terpaksa berlari pulang kerana hujan sangat lebat. Sungguh seronok!" kata Afiq kepada ibunya sambil ketawa.
Tidak lama kemudian, ibu Afiq menerima panggilan telefon dari ibu Sara bahawa kawasan yang berhampiran dengan perumahan mereka iaitu Kampung Rambutan kini dilanda banjir dan perbualan itu didengari oleh kanak-kanak tersebut. "Nasib baik kita semua selamat," kata Sara dengan menarik nafas lega. Kemudian, Ibu Afiq menghidangkan coklat panas dan kuih-muih kepada kanak-kanak tersebut sementara menunggu hujan lebat itu reda.
Setelah berdiam diri terlalu lama Amir bertanya kepada rakan-rakannya, "Banjir? Banjir tu apa?"."Banjir tu satu kejadian alam dimana air melimpah keluar kerana melebihi kapasiti normal sesebuah sungai, tasik atau saliran air. Banjir boleh berlaku disebabkan oleh pelbagai faktor serta mampu memberikan kesan yang merugikan kepada persekitaran dan manusia. Selain itu, ada juga yang dinamakan sebagai banjir kilat namun fenomena ini hanya berlaku di kawasan bandar", jawab Sara.
Afiq yang teruja dan kagum dengan jawapan yang diberikan oleh Sara itu juga bertanya, "Wah, saya pun baru tahu pasal banjir ni! Boleh tak saya nak tahu banjir ni berlaku disebabkan oleh apa ya?". "Yang saya tahu banjir ni boleh berlaku disebabkan sistem saliran yang tidak diselenggara dengan baik. Contohnya, terdapat kawasan kejiranan yang tidak begitu menghiraukan kebersihan sistem perparitan mereka menyebabkan parit tersumbat dan aliran air tidak dapat mengalir dengan lancar. Sikap evasif ini bukan sahaja membawa kemelut kepada diri sendiri malahan juga orang sekeliling. Bak kata orang dulu-dulu, sudah terhantuk baru mengadah", kata Sara. Ibu Afiq yang mendengar perbualan tersebut pun mencelah, "Ya, betul kata Sara tu. Banjir ni kebanyakkannya berpunca daripada aktiviti manusia seperti aktiviti penebangan pokok secara besar-besaran menyebabkan kehilangan akar pokok untuk menyerap air hujan masuk ke dalam tanah, pembinaan jalan raya dan permukaan bersimen. Namun begitu, banjir juga disebabkan oleh hujan yang lebat dan berterusan dalam jangka masa yang panjang".
"Jadi apa kesan banjir kepada hidupan yang ada di muka bumi ni?", tanya Amir. "Mestilah banjir ni boleh menyebabkan kematian kepada manusia. Aliran air yang deras dan banyak ni boleh menghanyutkan manusia bahkan haiwan pun boleh lemas. Lagi satu, banjir juga dapat merosakkan harta benda manusia dan kemudahan infrastruktur seperti kereta, peralatan elektrik, jambatan, jalan raya dan bangunan. Banjir bukan sahaja membawa kerosakan kepada manusia tetapi turut membawa impak yang negatif kepada haiwan serta tumbuh-tumbuhan. Flora akan layu dan mati akibat menerima air yang berlebihan manakala fauna pula akan kehilangan habitat," kata Afiq dengan bersungguh. Ibu Afiq yang mendengar hujah Afiq tersenyum lebar kerana bangga anaknya mempunyai sedikit pengetahuan tentang banjir.
"Ha, sekarang korang semua dah tau kan apa itu banjir, punca dan kesannya? Sekarang mak cik nak tanya pula apa inisiatif korang sebagai kanak-kanak dan masyarakat yang lain untuk mengelakkan fenomena ini daripada sering berlaku". "Kami sebagai kanak-kanak boleh memastikan sistem perparitan sentiasa lancar serta bebas daripada sampah-sarap manakala jiran-jiran yang lain boleh menggembleng tenaga dengan bergotong-royong membersihkan kawasan kejiranan. Selain itu, pihak kerajaan haruslah mejalankan perancangan yang baik dalam memajukan sesuatu bandar dengan mengambil kira kesan sesebuah pembinaan tersebut kepada masyarakat dan alam sekitar pada masa akan datang. Pihak kerajaan juga boleh memperbanyakkan kawasan hijau di bandar untuk memastikan air dapat diserap dengan mudah masuk ke dalam tanah. Pihak sekolah dan badan bukan kerajaan pula boleh mengadakan kempen atau ceramah pada peringkat sekolah serta antarabangsa untuk memberikan pendedahan awal kepada generasi yang lebih muda dan memberi kesedaran kepada masyarakat", jawab Amir.
"Nampaknya hujan dah berhenti. Apa kata kita pergi jenguk Kampung Rambutan yang banjir tu?", tanya Afiq. "Jom!", sahut Amir dan Sara. Mereka pun bersetuju untuk menziarahi kawasan tersebut. Setibanya di kawasan tersebut, mereka terkesima melihat rumah-rumah penduduk yang telah ditenggelami air. Orang ramai sedang membersihkan dan membaiki rumah mereka yang rosak akibat banjir.
Afiq merasa sedih, "Kasihan mereka. Mereka kehilangan banyak harta benda yang berharga. Kita patut tolong mereka dengan apa cara sekalipun". Sara mencadangkan agar mereka mengumpul derma untuk membantu mangsa banjir. Amir bersetuju dan berkata, "Kita boleh berkerja sama sebagai kawan-kawan untuk memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan".
Mereka segera melibatkan diri dalam aktiviti membantu mangsa banjir. Mereka mengumpulkan derma dari jiran-jiran serta membantu membersihkan kawasan yang terjejas, mengeluarkan lumpur dari rumah-rumah, dan menyusun semula barang-barang yang rosak. Meskipun mereka hanya kanak-kanak, tetapi mereka merasa bertanggungjawab untuk membantu sesama.
Pengalaman banjir itu mengajar mereka erti kehidupan yang sebenar. Mereka belajar tentang banjir, kesan, punca, langkah mengatasi banjir dan pentingnya membantu orang lain dalam masa kesusahan. Meskipun masih kanak-kanak, mereka tahu bahawa setiap usaha kecil mereka boleh membuat perbezaan yang besar dalam kehidupan orang lain.
Cerita di atas telah memaparkan beberapa nilai murni kepada pembaca iaitu;
1. Kesedaran Sosial
Walaupun masih kanak-kanak, Afiq, Sara, dan Amir mempunyai kesedaran sosial yang tinggi terhadap isu alam sekitar seperti banjir. Mereka juga saling bertukar maklumat berkaitan dengan banjir.
2. Bertanggungjawab
Pihak kerajaan, sekolah, dan masyarakat diseru untuk menjalankan tanggungjawab masing-masing untuk mengelakkan fenomena banjir ini daripada sering berlaku seperti yang telah diberikan dalam cadangan.
3. Semangat Kerjasama
Ketiga-tiga kanak-kanak itu menunjukkan sikap kerjasama yang tinggi. Mereka bekerja bersama-sama sebagai satu pasukan untuk mengumpul derma, membersihkan kawasan yang terjejas, dan memberikan bantuan kepada mangsa banjir. Semangat gotong-royong mereka membuktikan bahawa bekerjasama dapat menghasilkan perubahan yang positif.
4. Empati
Mereka tidak hanya peduli dengan keadaan diri sendiri, tetapi juga peka terhadap kesulitan yang dialami oleh orang lain, seperti mangsa banjir. Mereka merasai empati terhadap penderitaan orang lain dan berusaha untuk membantu dengan sebaik mungkin.
5. Kecekalan
Mereka tidak putus asa ketika menghadapi cabaran. Mereka menunjukkan ketabahan dalam menghadapi situasi yang sukar. Mereka tidak terlalu terpengaruh oleh kesukaran, tetapi bersikap gigih untuk membantu sebaik mungkin.
No comments:
Post a Comment