Sunday, November 19, 2023

Pohon Kehidupan

Nama: Saidatul Imani Sofiah Bt Ahzizul Anuar 

Nombor Matrik: D20221102838

Kumpulan: HGM3013 (B)  


Tajuk: Pohon Kehidupan

Sabtu. Hari yang sepatutnya menjadi hari yang bahagia dalam hidup Iman Hurairah yang berumur 8 tahun, pelajar SK Jelapang, Kedah. Namun, kebahagiaan pada hari tersebut diragut apabila Iman dan rakan-rakannya perlu mengikuti program di sekolah mereka iaitu Program Satu Pelajar, Satu Pokok. "Ishhh, menyusahkan betullah program ni. Nak tanam pokok je pun!!" getus hati Iman yang penuh dengan amarah. Sepanjang program dijalankan, Iman berasa tidak semangat dan amarah di dadanya semakin marak. Bayangkan, hari Sabtu yang selalunya menjadi hari bermain gajet dan menonton kartun kegemarannya di kaca televisyen berubah menjadi hari menanam pokok. Berasap telinganya kalau diikutkan amarahnya pada hari ini.

"Para pelajar sekalian, sebenarnya apa yang kita lakukan pada hari ini, amatlah bermanfaat bukan sahaja untuk manusia tetapi paling utama, untuk bumi kita. Pokok-pokok yang ditanam ini, sememangnya dapat membantu mengurangkan kesan pemanasan global yang berlaku sekarang disamping membekalkan oksigen kepada manusia," kata guru kelas Iman kepada anak-anak muridnya. Namun, perkara ini ibarat masuk telinga kanan, keluar telinga kiri buat Iman. Langsung tidak diendahkan maklumat yang disampaikan oleh gurunya itu. Usai program tersebut, Iman menghabiskan masa di rumah dengan bermain gajet dan menonton televisyen. Seperti biasa, kedua-dua aktiviti ini merupakan 'syurga dunia' buat Iman.  

 "Tolong! Tolong! Api! Api!", jeritan yang berbunyi cemas dan penuh ketakutan itu mengejutkan Iman dan ibu bapanya, Puan Sofiah dan Encik Hakim yang sedang bersantai di bahagian anjung rumah pada petang itu sambil menghirup secawan kopi yang harum baunya.  Mereka bertiga terus bangun dan mencari-cari dari manakah datangnya suara tersebut. Dari anjung rumah mereka, Iman ternampak kepulan asap yang sangat tebal di bahagian hujung kampung.  "Ayah, ada asap hitam di sana. Cepat ayah, cepat!!". Tanpa berlengah, Encik Hakim bergegas menghidupkan motorsikal miliknya dan pergi kehujung kampung bersama-sama anak dan isterinya untuk melihat keadaan sebenar yang berlaku.

Sebaik sahaja tiba di hujung kampung, alangkah terkejutnya mereka melihat api yang sangat marak yang sedang membakar petak-petak sawah padi di situ. Ramai juga penduduk kampung mula memenuhi sawah padi disitu yang semakin marak terbakar. Encik Hakim segera mengeluarkan telefon bimbitnya, lalu menghubungi pihak bomba dan melaporkan kejadian berkenaan. Iman dan beberapa orang kampung yang berada di tempat kejadian bekerjasama memadamkan api sementara menunggu pihak bomba datang membantu. Sedang mereka berusaha memadam api, tiba-tiba Iman terdengar bunyi, "Meow, meowww!!".  Iman terlihat seekor anak kucing yang masih kecil terperangkap dalam kebakaran itu. Pada ketika itu, Iman hanya terfikir untuk menyelamatkan kucing tersebut. Dengan pantas, dia berlari kearah kucing itu lalu memeluk erat tubuh kucing tersebut. Ibu bapa Iman tergamam melihat tindakan anaknya yang berlari kearah api yang marak itu. Mereka tahu, memang Iman merupakan pencinta haiwan. Buktinya, lebih lima ekor kucing jalanan dipelihara di rumah mereka. Itulah Iman, walaupun mukanya tampak nakal, namun di dalam hati ada taman.

Kata orang, malang tidak berbau. Setelah Iman berjaya mendakap kucing tersebut, dia tersungkur berhampiran sawah padi yang sedang marak terbakar itu. "Tolonggg! Tolonggg!", laung Iman sekuat hatinya. Ibu bapa Iman dan beberapa orang kampung menjadi semakin cemas dan buntu bagaimana untuk membantu Iman kerana api di kawasan itu semakin marak. Bayang Iman pun tidak dapat dilihat. Esakan ibu Iman, Puan Sofiah jelas kedengaran. Tiba-tiba, bunyi siren daripada kenderaan pasukan bomba dan penyelamat muncul. Syukurlah, pihak bomba dan ambulans tiba pada masa yang tepat. Beberapa orang anggota bomba bekerjasama dalam memadam api dan berlari menyelamatkan Iman.

Dari kejauhan, Puan Sofiah dapat melihat tubuh kecil anaknya, Iman yang diangkat oleh dua orang anggota bomba. Syukurlah, Iman masih sedarkan diri dan hanya mengalami luka pada bahagian kaki. Anak kucing yang didakap erat oleh Iman juga terselamat dari kebakaran itu. Api yang marak tadi juga sudah berjaya dipadamkan.

Tiga hari berlalu. Hari ini, Iman memberanikan diri untuk bertanya kepada ibunya tentang tragedi yang berlaku tempoh hari. "Ibu, bagaimana sawah padi tu terbakar tiba-tiba?", soal Iman.  Lantas ibu Iman membalas, "Iman pernah dengar tentang pemanasan global?". Iman menggeleng setelah mendengar pertanyaan ibunya. "Begini, pemanasan global ni terjadi kerana banyak faktor. Antaranya, pelepasan gas karbon dioksida, kloroflorokarbon (CFC) dan beberapa lagi bahan kimia yang berlebihan. Iman tahu tak karbon dioksida dan CFC tu datang dari mana?". Iman menggelengkan kepalanya lagi. "Gas karbon dioksida tu datangnya dari asap kenderaan. CFC tu pula, datang dari penghawa dingin. Bila gas-gas dan bahan kimia ni banyak dalam udara, haba akan terperangkap. Kemudian, ia menyebabkan suhu bumi meningkat. Bila cuaca terlampau panas dan kering, kebakaran mudah berlaku," jelas Puan Sofiah panjang lebar. Iman menganggukkan kepalanya sebagai tanda faham akan penerangan ibunya itu.

"Ibu, bagaimana nak kurangkan suhu bumi supaya pemanasan global tak terjadi lagi? Iman takutlah kalau terbakar lagi macam tempoh hari," soal Iman. Tiba-tiba, Encik Hakim, mencelah, "Kita tanam pokok. Macam Iman buat dekat sekolah kelmarin. Bila kita tanam pokok, karbon dioksida berlebihan dapat dikurangkan. Haba dalam udara dapat dikurangkan. Sebab itulah kerajaan sekarang galakkan rakyat Malaysia tanam pokok". Mendengar penjelasan ayahnya itu, Iman tersentak. Barulah dia sedar bahawa program penanaman pokok itu banyak manfaatnya. Encik Hakim menambah lagi, "Kalau bukan kita yang jaga alam sekitar, siapa lagi nak jaga? Iman, dalam hidup kita ni, perasaan cinta akan alam sekitar perlu sentiasa ada. Faham?". Iman mengangguk tanda faham. "Terima kasih Tuhan, atas kesempatan dan nikmat hidup yang masih diberikan buatku. Aku berjanji akan menyayangi alam sekitar pemberian-Mu ini sebaik-baiknya," getus hati kecil Iman. Perbualan mereka pada petang itu berakhir dengan pelukan hangat antara Iman dan kedua-dua orang tuanya.









 Nilai-nilai Murni: 

  1. Rasional: Ayah Iman iaitu Encik Hakim bergegas bergerak ke tempat kebakaran dengan menaiki motorsikal miliknya bersama-sama anak dan isterinya tanpa berlengah. 

  2. Bertanggungjawab: Encik Hakim menelefon pihak bomba untuk melaporkan tentang kebakaran tersebut sebaik sahaja tiba di tempat kejadian. 

  3. Kasih sayang terhadap haiwan: Iman merupakan seorang pencinta haiwan kerana dia telah banyak menyelamatkan kucing-kucing terbiar. 

  4. Dedikasi: Anggota bomba menyelamatkan Iman yang terjatuh di tempat kebakaran dan memadamkan kebakaran di sawah padi dengan segera. 

  5. Berani: Iman berlari kearah kawasan petak sawah yang terbakar untuk menyelamatkan seekor kucing tanpa sempat memikirkan keselamatan dirinya sendiri.  

  6. Mencintai alam sekitar: Pihak kerajaan melakukan program penanaman pokok di seluruh negara untuk mengurangkan pemanasan global. 

  7. Bersyukur: Iman bersyukur bahawa dia masih diberikan peluang hidup oleh Tuhan setelah terselamat daripada kebakaran itu. 

  8. Kasih sayang antara ahli keluarga: Iman dan ibu bapanya meluangkan masa bersama-sama di anjung rumah dan sering menasihati sesama mereka.    


No comments:

Post a Comment