Sunday, November 19, 2023

PAHLAWAN KECIL YANG BERANI

NAMA: NOR NIEAIDA MAISARAH BINTI MOHD HUSAIDA
NO MATRIK: D20231108103
KUMPULAN: A

Di tengah hutan yang rimbun terdapat sebuah tasik yang tenang dan indah. Airnya jernih dan cermin matahari pagi yang menyinari permukaannya menciptakan gemerlap cahaya. Di dalam tasik ini, hidup sekumpulan ikan yang beragam jenis dan warna.

Kumpulan ikan ini hidup harmonis dalam tasik yang nyaman. Mereka bukan hanya hidup berjiran malah menjadi rakan-rakan yang setia antara satu sama lain. Ada ikan-ikan kecil yang berwarna cerah berenang dengan lincah di sekitar tumbuhan air, sementara ikan-ikan yang lebih besar menjelajah di dasar tasik tersebut.

Disitulah terdapatnya sebuah keluarga yang hidup bahagia bersama-sama iaitu keluarga Molly si ikan kecil. Molly ialah seekor ikan kecil yang bijak dan berani. Tasik tersebut merupakan habitat populasi mereka sejak sekian lamanya. Namun begitu, mereka menerima nasib malang setelah tasik tersebut tercemar akibat pembuangan sampah sarap oleh manusia. Molly dan sekumpulan ikan yang lain mula takut dan bimbang jika habitat mereka musnah dalam sekelip mata.

" Ibu ayah, tasik kita telah tercemar dengan sampah sarap! Bagaimana dengan tempat tinggal kita? Molly sangat bimbang terhadap habitat mereka dan keselamatan keluarga dan rakan-rakannya yang lain. Keadaan ini akan menjejaskan keselamatan dan kesihatan mereka kerana sudah tentu mereka akan terputus bekalan makanan dan air bersih.

"Kita perlu mencari tempat tinggal baru, Molly. Tasik ini sudah tidak selamat untuk kita diami. Jangan risau, kita pasti akan berjaya mencari tempat tinggal baru untuk kita semua". Kata ayah Molly untuk menenangkan keadaan mereka.

" Tidak ayah, disinilah tempat tinggal kita. Habitat di tasik yang lain pasti tidak sama dengan habitat kita. Mungkin disana lebih bahaya dan mencabar. Kita akan berhadapan dengan pemangsa yang ganas dan besar. Jika kita tinggal disitu, mungkin kita akan menjadi makanan mereka". Molly tidak bersetuju dengan pendapat ayahnya untuk berpindah ke habitat yang lain. Mungkin di sana terdapat sekumpulan ikan yang lebih besar dan ganas yang sering memburu ikan-ikan kecil sebagai santapan mereka. Molly sangat bijak memikirkan sesuatu perkara yang akan berlaku.

Tasik tersebut dipenuhi dengan botol-botol mineral, plastik, tayar dan sebagainya. Melihat akan keadaan tasik tersebut, hidupan akuatik yang lain mula mencari tempat tinggal baru. Masing-masing dalam keadaan kelam kabut untuk berpindah ke tempat yang lebih selamat. Ada juga yang mati akibat termakan sisa buangan tersebut.

Namun begitu, Molly tidak berputus asa untuk mencari jalan penyelesaian. Melihat keadaan sekumpulan ikan yang lain dalam kesulitan, Molly bertekad untuk melakukan sesuatu supaya tidak terlambat. Molly berani mencabar dirinya untuk berenang ke seluruh penjuru tasik untuk mengajak rakan-rakannya dan ikan-ikan yang lain untuk bekerjasama dalam misi menyelamatkan habitat mereka.

"Ayuh kawan-kawan, kita perlu bersatu untuk mencari cara bagi menyelamatkan habitat kita daripada musnah akibat kekejaman manusia! "Ini rumah kita, tempat kita bermain". Kedengaran jeritan si Molly kepada rakan-rakannya, ada juga ikan-ikan lain yang ragu-ragu akan pendiriannya."Tasik ini besar, sampah sarap semakin banyak. Bolehkah engkau yang kecil tu bersihkan tasik yang tercemar ini Molly?"

Mendengarkan ejekan daripada ikan yang lain, Molly semakin bersemangat dan tidak berputus asa. Dia semakin berani menyahut cabaran walaupun dia tahu misi ini mengambil masa yang lama untuk selesai. " kalau engkau ragu-ragu dengan pendirian kami, lebih baik kau ikut serta misi ini supaya cepat selesai". Rakan-rakannya bersetuju dengan kata-kata Molly dan bersedia untuk turut serta menjayakan misi mereka sehingga selesai.

Molly dan rakan-rakannya berbincang untuk memastikan misi mereka berjaya. "kita perlu mulakan misi ini pada pagi esok. Kita tidak boleh berlengah lagi, saya risau tasik kita akan bertambah teruk". Kata Molly kepada rakan-rakannya. "Tapi dari mana kita perlu mulakan? Tasik ini luas. Saya takut kita terperangkap dengan sampah sarap ini. Nyawa kita juga dalam bahaya". Zoe turut bersuara menyatakan pendapatnya.

"Jangan risau Zoe, saya pasti misi kita akan berjaya. Cuma kita perlu berhati-hati". Molly cuba sedaya upaya untuk meyakinkan Zoe dan rakan-rakannya yang lain supaya tidak berputus asa.  

Molly dan rakan-rakannya memulakan misi membersihkan sampah sarap dengan memakan sisa organik di dasar tasik. Ada juga yang menarik sampah tersebut secara bergilir-gilir. Melihat semangat dan kerja keras rakan-rakannya, Molly berasa gembira kerana misi mereka hampir selesai.

Dia tidak menyangka bahawa rakan-rakannya dan ikan-ikan yang lain sanggup membantunya menjayakan misi tersebut. " Kita tinggal dalam habitat yang sama perlu saling tolong-menolong" kata sekumpulan ikan yang lain. Mereka bertungkus lumus bagi memastikan tasik tersebut pulih seperti sedia kala dan bebas daripada pencemaran.

"Tolong! Tolong! Saya terperangkap". Kedengaran bunyi suara meminta tolong dari arah penjuru tasik. Rupa-rupanya terdapat ikan lain yang terperangkap dalam timbunan plastik menyebabkan badannya cedera. Molly dan rakan-rakannya bergegas menuju ke tempat kejadian untuk menolong ikan tersebut.

Akhirnya, setelah dua hari mereka bertungkus lumus membersihkan tasik tersebut, persekitaran tasik kembali pulih malah airnya kembali jernih dan tenang. Mereka bersorak kegembiraan kerana telah berjaya mengembalikan habitat mereka seperti dahulu. Kini mereka boleh berenang-renang mencari makanan dan menjelajah di dasar tasik tersebut.

"Horay, kita berjaya!". Molly dan rakan-rakannya berasa gembira dan kagum dengan pengorbanan dan hasil kerja keras mereka dalam memulihkan tasik tersebut.
Seluruh hidupan di dalam tasik tersebut masing-masing saling menjaga kelestarian tasik yang mereka diami.

"Habitat kita tanggungjawab kita!". Sekumpulan ikan memberikan peringatan dan kesedaran kepada semua hidupan tasik tersebut supaya bersama-sama berhadapan dengan masalah yang akan datang.

Mereka juga mengadakan aktiviti untuk mencantikkan persekitaran tasik. Molly dan rakan-rakannya  berkerjasama memelihara persekitaran tasik supaya habitat mereka dapat dikekalkan.

Cerita si Molly, yang asalnya hanya seekor ikan kecil, menjadi lambang perlawanan terhadap pencemaran dan menjadi inspirasi kepada kita. Cerita pengembaraannya bersama tasik yang pulih menjadi cermin bahawa setiap tindakan kecil dapat memberikan kesan besar terhadap alam sekitar. Keberanian Molly dan kerjasama komuniti mengajarkan kita bahawa kita semua mempunyai peranan dalam menjaga kelestarian alam yang kita cintai.


NILAI MURNI
1. Keprihatinan: Molly menunjukkan sifat keprihatinan apabila timbul rasa bimbang dalam dirinya tentang keselamatan rakan-rakannya apabila tasik mereka tercemar.
2. Bijak: Molly mempunyai fikiran yang bernas dan bijak memikirkan perkara yang akan berlaku dan cuba mencari jalan penyelesaian sendiri.
3. Gigih berusaha: Molly mempunyai semangat yang tinggi untuk menyelesaikan sesuatu masalah tanpa berputus asa.
4. Kerjasama: Molly dan rakan-rakannya berkerjasama membersihkan tasik yang tercemar secara sukarela untuk menjaga kelestarian alam sekitar.
5. Semangat tolong-menolong: Molly dan rakan-rakannya siap sedia membantu rakannya yang lain dalam kesulitan tanpa mengharapkan balasan.
6. Tanggung jawab terhadap alam sekitar: semua hidupan di tasik itu saling mengingati antara satu sama lain tentang kepentingan menjaga alam sekitar.
7. Berterima kasih: rakan Molly berterima kasih dan menghargai bantuan yang diberikan ketika dia dalam kesulitan.
8. Keharmonian: bermula daripada peristiwa tersebut, Molly, rakan-rakan yang lain dan hidupan di tasik itu bersatu padu dan menimbulkan sifat kasih sayang antara satu sama lain.

No comments:

Post a Comment