Sunday, November 26, 2023

DANIEL DAN LELAKI TUA MISTERI

NAMA : NORAZIRA BINTI MUHAMMAD

NO. METRIK : D20231108123

KUMPULAN : B

 

Senja berkunjung tiba namun Daniel masih tidak berganjak dari tempat duduknya. Sudah hampir 2 jam berlalu sejak Daniel mengulang kaji pelajaran di rumah sahabatnya, Adam. Kini sudah tiba masanya untuk dia berpulang memandangkan azan maghrib akan berkumandang tidak lama lagi. Pasti ibunya akan bimbang akan keadaannya jika dia tidak tiba di rumah pada waktu yang sepatutnya.

 

Usai mengucapkan selamat tinggal, Daniel terus membuka langkah menuju ke rumahnya yang terletak kira-kira 700 meter dari rumah Adam. Sedang leka Daniel berjalan sambil membaca buku sains tahun enamnya itu, tiba – tiba ada kedengaran suara lelaki asing memanggilnya dari belakang. Tanpa berfikir panjang, terus Daniel menoleh ke belakang. Dahi Daniel sedikit berkerut melihat susuk tubuh lelaki yang memanggilnya tadi. Lelaki itu kelihatan sangat tua. Dan persoalannya, kenapa lelaki yang layak digelar 'atok' ini berada di kawasan sunyi ini bersendirian?

 

"Atok panggil saya ke?" tanpa berfikir panjang terus Daniel bertanyakan soalan kepada lelaki tua itu. "Ya. Kemari nak. Datang lebih dekat." Balas lelaki tua itu sambil melambai-lambai tangan memanggil Daniel.

 

Daniel merasa sedikit teragak-agak dengan permintaan lelaki tua itu, namun dia tetap beranikan diri pergi mendekat ke arah lelaki tua itu. "Kenapa ya? Atok orang kampung inikah? Atau adakah atok sesat?" bertalu-talu soalan yang dilemparkan kepada lelaki tua itu.

 

 

Lelaki tua itu hanya tersenyum mendengar soalan-soalan yang ditanya oleh Daniel. Perlahan-lahan lelaki tua itu memegang bahu Daniel. "Atok perlukan bantuan dari kamu." Sekali lagi Daniel mengerutkan dahinya. Soalannya tidak dijawab. "Bantuan apa?"

 

"Hutan kita. Atok melihat akan ada kemusnahan yang berlaku pada hutan kita." Jelas lelaki tua itu. Namun Daniel masih keliru. Apa yang terjadi hutan di negeri mereka? Setahu dia tiada apa yang musnah pun. Semua hidupan di hutan itu masih dalam keadaan terjaga.

 

"Apa yang berlaku? Bukankah hutan kita dijaga dengan baik? Apa yang musnah?" Soal Daniel lagi. Namun soalannya dibalas dengan tatapan sedih lelaki tua itu. Makin keliru Daniel dibuatnya.

 

"Manusia itu cuba untuk musnahkan hutan kita secara haram. Atok mahu kamu laporkan kepada pihak berkuasa atau hutan kita akan musnah." Tegas lelaki tua itu. "Pokok-pokok yang menjadi habitat haiwan dan sumber oksigen kita telah ditebang secara haram oleh manusia yang tidak bertauliah." Sambung lelaki tua itu lagi.

 

"Bukankah pokok-pokok tersebut menjadi sumber kepada manusia untuk menghasilkan perabot, kertas dan sebagainya? Bukankah itu bagus untuk manusia?" Tanya Daniel lagi. "Benar. Pokok memang membekalkan pelbagai manfaat kepada kita. Namun, ia mestilah dilakukan secara berperingkat dan terkawal. Kita tidak boleh menebangnya sesuka hati kerana ia dapat memberikan banyak impak yang negatif kepada kita." Jelas lelaki tua itu dengan nada yang serius.

 

"Apa maksud atok? Impak negatif kepada kita?" Soal Daniel. Dia masih terlalu muda dan fikirannya masih cetek mengenai hal ini. Hal ini sedikit sebanyak membuatkan perasaan ingin tahunya meningkat. "Jika pokok di hutan kita ditebang secara haram dan berleluasa, ia akan menyebabkan tanah di kawasan hutan itu menjadi gondol dan seterusnya akan cenderung kepada berlakunya tanah runtuh. Ia berpotensi besar untuk memusnahkan kawasan perumahan penduduk yang tinggal di kawasan tersebut."

 

Penjelasan yang diberikan oleh lelaki tua itu membuatkan Daniel sedikit terkejut. Begitu besar impaknya kepada manusia dan juga alam sekitar. "Malah, penebangan pokok yang tidak terkawal juga dapat menyebabkan bumi kita menjadi panas. Hal ini kerana, kandungan oksigen di udara akan berkurang manakala kandungan gas karbon dioksida akan bertambah. Penambahan gas tersebut menyebabkan udara kita menjadi semakin panas." Sambung lelaki tua itu lagi. Nada suaranya turut mengendur. Jelas ada kekecewaan dari riak wajah lelaki tua itu.

 

"Saya tak pernah terfikir bahawa perkara ini akan berlaku. Kesannya amat buruk kepada kita!" Kata Daniel dengan nada yang bersungguh. Dia perlu laporkan hal ini kepada pihak berkuasa secepat yang mungkin.

 

"Bukan kepada kita sahaja namun haiwan yang tinggal di hutan tersebut juga akan kehilangan habitat dan sumber makanan mereka. Jika tiada semua itu, rantaian dan siratan makanan juga akan terjejas. Haiwan akan masuk ke kawasan petempatan manusia untuk mendapatkan tempat tinggal dan makanan. Hal ini sedikit sebanyak membuatkan petempatan manusia juga menjadi tidak selamat." Kata lelaki tua itu lagi. Wajah Daniel dipandang serius olehnya.

 

"Ianya sangat teruk. Saya tak sanggup jika perkara ini benar-benar berlaku. Apa yang perlu saya lakukan?" Tanya Daniel. Sedaya upaya dia ingin mengatasi perkara tersebut daripada berlaku. Alam sekitar dan bumi kita haruslah dijaga dengan baik.

 

"Kamu hanya perlu meminta bantuan orang tua kamu untuk melaporkan hal ini kepada pihak berkuasa." Kata lelaki tua itu. Daniel hanya menganggukkan kepalanya. Namun, tiba-tiba muncul persoalan dalam fikiran Daniel.

 

"Kenapa atok tidak melaporkannya sendiri? Kenapa atok meminta bantuan saya?" Tanya Daniel kepada lelaki tua itu.

 

"Atok tak boleh lakukan semua itu." Balas lelaki tua itu. "Kenapa? Sebenarnya atok ini siapa?" Tanya Daniel lagi.

 

"Daniel!"

 

Namun, belum sempat lelaki tua itu menjawab soalannya, sudah kedengaran suara seseorang wanita yang amat dikenali olehnya memanggil namanya. "Ibu!" Daniel membalas sahutan dari insan yang bergelar ibu itu.

 

"Buat apa duduk tercegat di situ? Meh pulang. Hari sudah gelap." Panggil Puan zaleha.

 

Baru Daniel tersedar bahawa hari sudah gelap. Terus dia menoleh ke belakang pula untuk mengucapkan selamat tinggal kepada lelaki tersebut namun lelaki tua itu sudah tiada. Terus membulat mata Daniel. Ke manakah dia pergi?

 

Tanpa melengahkan masa terus daniel berlari anak menuju ke arah ibunya. "Ibu… Bolehkah Daniel meminta bantuan dari ibu?" Tanya Daniel penuh sopan. "Bantuan apa itu?" Tanya Puan Zaleha. Setelah itu, Daniel pun menceritakan kepada Puan Zaleha tentang perbualannya dengan lelaki tua itu tadi.

 

Selang beberapa hari, laporan yang dilakukan oleh Puan Zaleha telah membuahkan hasil. Ternyata benar ada pembalakan secara haram dilakukan di kawasan hutan berdekatan dengan kampung mereka. Akhirnya, pembalak-pembalak tersebut telah ditangkap dan dikenakan hukuman yang setimpal.

 

Namun, persoalannya kemanakah lelaki tua itu menghilang? Keberadaan lelaki tua itu masih menjadi misteri bagi Daniel. Sudah penat Daniel mencari lelaki tua itu di kampungnya dan kampung lain yang berdekatan namun segalanya hampa. Dia tidak menjumpai lelaki tua itu. Ada yang kata lelaki tua itu tidak wujud dan ada juga yang berkata bahawa lelaki tua itu sudah lama meninggal. Dan sampai sekarang Daniel masih tidak mendapat jawapan yang tepat mengenainya.

 

Tamat.

 

 

NILAI MURNI

 

1. Menghargai - Kita mestilah menghargai dan menjaga alam sekitar kita dengan baik agar ia tidak musnah.

2. Kesedaran - Janganlah kita menggunakan sumber alam sekitar secara berlebihan kerana ia dapat meninggalkan banyak kesan yang negatif.

3. Tanggungjawab - Kita mestilah pantas bertindak dalam menyelesaikan segala masalah agar masalah tersebut tidak menjadi semakin rumit.

No comments:

Post a Comment