Sunday, November 19, 2023

TASIK CINTA LILY

NAMA: NUR SYAZWINA BT KHAIROL
NO MATRIK: D20231108136
KUMPULAN: KUMPULAN B

     Di sebuah kampung yang indah, terdapat seorang kanak-kanak kecil bernama Ariel. Ariel merupakan seorang kanak-kanak lelaki yang berumur 11 tahun yang tinggal di kampung Murni. Ariel mempunyai seorang sahabat setia yang unik iaitu seekor ikan emas yang besar bernama Lily. Lily merupakan seekor ikan emas yang setia menemani Ariel disaaat dia sedih dan gembira. Setiap pagi dan petang Ariel sering pergi ke sebuah tasik indah yang bernama Tasik Cinta untuk memberi makan sekeping roti kepada Lily dan beberapa jenis ikan yang lain iaitu ikan Arwana dan ikan Koi. Selain memberi makan, Ariel juga sering meluahkan perasaannya kepada Lily sambil memberi makan kepada sahabatnya itu.

     Namun, pada suatu hari tasik itu mulai tercemar oleh sampah sarap dan minyak yang terapung-apung pada permukaan air di tasik itu. Air di tasik mulai menjadi keruh dan berminyak kemudian ikan-ikan yang dulu banyak di tasik itu semakin berkurangan. Banyak rakan-rakan Lily turut terkorban disebabkan oleh kecuaian penduduk kampung Murni. Kekurangan oksigen di dalam air serta pencemaran sampah tersebut telah menyebabkan kehidupan akuatik banyak mati dan turut menyebabkan pencemaran bau dan air. Segelintir penduduk yang bertanggungjawab turut bimbang akan kehidupan di tasik itu yang semakin terancam.

     Ariel merasa sangat sedih melihat keadaan tasik yang semakin tercemar itu bahkan yang paling menyedihkan Ariel tidak sanggup melihat keadaan sahabat baiknya itu yang kini sudah tidak lagi bersinar di Tasik Cinta itu. Lily kini kelihatan sudah tidak menarik, kulitnya sudah mulai tidak bersinar seperti emas bahkan Lily juga tidak lagi aktif berenang-renang di tasik itu. Dengan semangat yang tekad Ariel mahu melakukan sesuatu untuk membantu sahabatnya, Lily dan semua ikan yang tinggal di dalam tasik itu.

     Setelah beberapa hari Ariel berlarut-larut dalam kesedihan dan kebimbangan, dia telah memutuskan untuk memulakan usaha kitar semula dan membersihkan tasik bersama-sama penduduk kampung. Penduduk kampung Murni bekerjasama untuk melestarikan Tasik Cinta itu dengan membersihkan tasik daripada semua jenis sampah sarap serta minyak-minyak yang terapung pada permukaan air. Usaha yang dilakukan oleh Ariel dan beberapa orang penduduk kampung tersebut membawa kejayaan kerana air di Tasik cinta itu mulai jernih dan tidak berbau lagi. Lily dan kawan-kawanya juga turut kembali ceria berenang-renang dan bersinar di dalam air tasik yang bersih itu.

     Ariel sangat gembira melihat sahabatnya, Lily yang kini sudah ceria dan bersinar di tasik itu. Oleh kerana keseronokan yang melampau itu, Ariel berlari-lari bercerita kepada ibu dan bapanya tentang ikan emas kesayangannya itu. Bahkan pada keesokan harinya juga Ariel turut menceritakan kisah ini kepada kawan-kawan sekolahnya dan guru-guru bahawa dia berjaya menyelamatkan sahabatnya, Lily.

     Ariel bersungguh-sungguh mengumpulkan kawan-kawan sebayanya dan menjelaskan tentang kepentingan menjaga alam sekitar. Mereka membentuk pasukan kanak-kanak cakna untuk membersihkan tasik dan menyedarkan orang ramai tentang kesan negatif pencemaran terhadap alam sekitar. Dengan kesedaran yang mereka dapat, setiap bulan Ariel dan rakan-rakanya bekerja keras membersihkan tasik, memungut sampah, dan menyusun semula ekosistem tasik yang terjejas.

      Semasa usaha membersihkan tasik berlangsung, Ariel dan rakan-rakannya mengalami beberapa cabaran. Terdapat beberapa orang yang tidak memahami kepentingan menjaga alam sekitar dan mencemari tasik itu lagi. Namun, Ariel dan rakan-rakannya tidak mudah berputus asa. Mereka terus menyemai keinsafan dan kecintaan terhadap alam sekitar kepada orang sekelilingnya. Mereka juga turut meminta ketua kampung untuk memasang papan tanda tentang "cintai alam sekitar kita" di Tasik Cinta serta di beberapa buah sungai.

     Melalui usaha bersama, tasik itu kembali cerah dan bersih. Airnya menjadi jernih dan ikan-ikan kecil dan besar mula berkeliaran di permukaan air tasik itu kembali. Lily, ikan-ikan lain dan Ariel juga kelihatan lebih gembira. Penduduk kampung menyedari bahawa kebaikan alam sekitar adalah tanggungjawab bersama dan mereka mula mengamalkan cara hidup yang lebih mesra alam. Penduduk Kampung Murni juga turut mengamalkan 3R (reduce, reuse dan recycle). Mereka juga turut menggunakan tong sampah yang berbeza mengikut jenis sampah iaitu plastik, kertas dan kaca.

     Pada suatu malam yang indah, Lily hadir di dalam mimpi Ariel dengan menyatakan hasratnya untuk berterima kasih. Seekor ikan emas yang cantik dan menarik itu berkata "Hai Ariel! saya seekor ikan emas yang bahagia sekarang berkat bantuanmu. Terima kasih kerana menyelamatkan saya dan kawan-kawanku daripada sampah sarap serta bahan kimia. Saya hampir kehilangan harapan untuk kembali ke keluarga saya. Saya amat menghargainya". Dengan tiba-tiba Ariel tersedar daripada mimpi kerana terkejut akan suara daripada sahabat baiknya ikan emas itu. Ariel sangat terkejut namun dia juga ketawa kecil akan mimpinya itu kerana merasakan mimpi itu tidak logik. Namun, Ariel menganggap mimpi itu sebagai sebuah penghargaan yang dilakukan oleh sahabatnya yang tidak mampu dilakukan di dunia nyata.

     Selepas beberapa bulan, kampung itu menjadi contoh yang baik tentang bagaimana usaha kecil boleh membuat perubahan besar kepada alam sekitar. Ariel dan rakan-rakannya terus menjaga tasik itu dan memastikan bahawa alam sekitar mereka sentiasa terjaga. Kehidupan tasik yang hampir pupus kini berubah menjadi kisah kejayaan kecintaan terhadap alam sekitar dan usaha masyarakat yang bersatu padu.


NILAI MURNI :
1. Tekad – Ariel tekad untuk membantu sahabat uniknya iaitu ikan emas dan semua ikan yang tinggal di dalam tasik itu daripada pencemaran sampah sarap dan minyak yang terapung pada permukaan air.
2. Bekerjasama – Ariel, penduduk kampung dan rakan-rakannya bekerjasama untuk melestarikan tasik daripada pencemaran air dan bau.
3. Tanggungjawab – Penduduk kampung bersama mula mengamalkan cara hidup yang lebih mesra alam.
3. Bersungguh-sungguh – Ariel dan rakan-rakannya bersungguh-sungguh mengumpulkan orang untuk menjaga tasik.
4. Bekerja keras – Ariel dan rakan-rakanya bekerja keras membersihkan tasik, memungut sampah dan Menyusun semula ekosistem tasik yang terjejas.
5. Tidak mudah berputus asa – Ariel dan rakan-rakannya tidak mudah berputus asa menyemai keinsafan dan kecintaan terhadap alam sekitar kepada orang sekelilingnya.


No comments:

Post a Comment