Sunday, November 19, 2023

HIKAYAT SI PENGEMBARA BUMI

NAMA: MUHAMMAD ASMI FADHLIN BIN ASMAN
NO MATRIK: D20231108126
KUMPULAN: HGM3013 (B)

Pada suatu hari, di sebuah kampung kecil yang dikelilingi oleh hutan hijau dan sungai yang jernih, terdapat seorang kanak-kanak bernama Fadhlin. Dia adalah seorang yang sangat penyayang terhadap alam sekitar.

Suatu pagi, Fadhlin bangun dengan rasa gembira. Dia mendengar burung-burung berkicauan di luar tingkap biliknya. Dengan penuh semangat, Fadhlin bersiap-siap untuk memulakan pengembaraan bersama rakan-rakannya, Imran dan Amira ke dalam hutan ajaib yang sudah menjadi bual mulut semua penduduk di kampung mereka.
 
Sebelum memulakan pengembaraan, Fadhlin dan rakan-rakannya telah lama bertungkus lumus untuk mencari di mana keberadaan hutan yang dikatakan ajaib itu. Sampailah pada suatu hari, mereka menjumpai dua batu yang kedudukannya agak pelik di kawasan lapang seakan-akan satu pintu gerbang. Sehinggalah pada pagi itu mereka memutuskan untuk memasuki ke dalam batu seakan gerbang itu.

Ketika mereka memasuki laluan diantara kedua-dua batu itu, secara tiba-tiba mereka berada di dalam satu hutan. Mereka terkejut dengan keindahan alam sekitar di dalam hutan tersebut. Pokok-pokok besar bersama dengan bunga-bunga yang berwarna-warni menyambut kedatangan mereka. Sungai kecil mengalir dengan tenang di antara pohon-pohonan yang rimbun.

"Saya dengar ada air terjun yang sangat cantik di hutan ini," kata Fadhlin sambil terpegun melihat keindahan hutan tersebut.

Mereka meneruskan perjalanan mereka, dan setibanya di air terjun, mereka terpesona dengan keindahan yang ada di hadapan mata mereka. Air terjun itu tinggi menjurai dari puncak batu-batu besar, menghasilkan percikan air yang menyegarkan sehingga mewujudkan pelangi yang sangat cantik.

Namun, akibat bual mulut penduduk kampung tentang kewujudan hutan ajaib ini. Ramai yang telah mengetahui keberadaan hutan ini sehingga banyak pengembara yang berjaya berkunjung ke sini. Keadaan ini menyebabkan banyak sampah sarap yang ditinggalkan oleh pengembara sebelum ini.

Lalu, Amira berkata, "Mari kita menjaga keindahan hutan ajaib ini. Kita boleh membersihkan kawasan sekitarnya dari sampah sarap dan menjaga alam sekitar kita agar sentiasa bersih dan indah."

Fadhlin, Amira, dan Imran dengan segera bekerja keras membersihkan kawasan di sekitar air terjun. Mereka mengumpulkan sampah-sampah yang ditinggalkan oleh pengembara lain dan meletakkannya di dalam tong sampah yang mereka bawa bersama.
 
Seiring berjalannya waktu, kawasan itu kembali menjadi tempat yang bersih dan hijau. Fadhlin dan rakan-rakannya merasa bangga kerana dapat menyumbang kepada kelestarian alam sekitar mereka.

Pengembaraan mereka tidak berhenti di situ. Mereka meneruskan perjalanan mereka ke sungai yang mengalir di hutan. Di sana, mereka terkejut menyedari bahawa aliran air sungai itu bermula daripada sumber air sungai utama di perkampungan mereka yang telah tercemar dan penuh dengan plastik.

Fadhlin berkata, "Kita perlu melakukan sesuatu untuk menyelamatkan sungai ini. Mari kita kumpulkan sampah-sampah plastik dan bersihkan sungai ini agar laluan air sungai yang tercemar ini tidak sampai ke hutan ajaib itu."

Dengan semangat yang tinggi, mereka bekerja bersama-sama membersihkan sungai di kampung mereka. Mereka menyusun sampah plastik dalam beg besar dan memastikan sungai itu kembali bersih. Ikan-ikan kecil mula muncul dari celah-celah bebatuan, menunjukkan kegembiraan mereka.

Setelah selesai membersihkan sungai, Fadhlin, Amira, dan Imran duduk di tepi sungai, menikmati keindahan alam sekitar yang mereka selamatkan. Mereka berjanji untuk terus menjaga alam sekitar dan mengajak rakan-rakan mereka untuk turut serta dalam usaha kelestarian alam.

Pengembaraan mereka adalah permulaan untuk menjadikan kampung mereka dan alam sekitar sebagai tempat yang indah dan lestari. Fadhlin, Amira, dan Imran menyedari bahawa setiap tindakan kecil dapat membuat perbezaan besar dalam melestarikan keindahan bumi kita.

NILAI MURNI:

1. Kasih Sayang: Fadhlin, Amira , dan Imran menunjukkan kasih sayang yang tinggi terhadap alam sekitar. Ini memberikan pesanan positif tentang pentingnya menjaga alam sekitar.

2. Kerjasama: Fadhlin, Amira, dan Imran bekerjasama untuk membersihkan hutan dan sungai daripada sampah sarap.

3. Tanggungjawab: Fadhlin, Amira dan Imran menyedari bahawa mereka memiliki peranan penting dan tanggungjawab dalam menjaga alam sekitar di perkampungan mereka.

4. Kesedaran: Bual mulut penduduk kampung tentang hutan ajaib membawa kesedaran kepada orang ramai. Antaranya, Fadhlin dan rakannya yang menyedari mereka perlu menjaga kebersihan alam sekitar.

No comments:

Post a Comment