Saturday, November 18, 2023

Misteri Batu Hitam

NAMA : AMELIN NABILA BINTI ZAMANI

NO. MATRIK : D20202096622

KUMPULAN : HGM3013 (B)


Di sebuah desa nelayan yang terpencil dan harmoni, tinggallah Ahmad bersama ahli keluarganya. Ahmad merupakan merupakan seorang nelayan cinta akan alam sekitar. Beliau terkenal dalam kalangan penduduk kampung sebagai seorang nelayan yang rajin dan selalu membersihkan kawasan kampungnya. Hal ini menjadikan beliau seorang yang amat disenangi oleh semua penduduk kampung. Ahmad mempunyai sepasang cahaya mata yang dinamakan Adam dan Hawa. Ahmad selalu membawa ahli keluarganya berkunjung dan bermain di Pantai Sutera kerana jaraknya yang begitu hampir dengan rumah mereka. Pantai tersebut cukup indah dengan kejernihan air lautnya yang biru, pokoknya yang melambai-lambai beserta hamparan pasir putih di sekelilingnya. 

 Pada suatu hari yang cerah, Ahmad telah mengajak keluarganya untuk pergi berkelah di pantai berkenaan. Tambahan pula, minggu tersebut merupakan minggu cuti persekolahan. Ahmad tidak berkesempatan membawa anak-anaknya bersiar ke tempat lain dek kesibukannya bekerja sebagai seorang nelayan. Apabila mendengarkan perkara tersebut, Adam dan Hawa berasa begitu teruja kerana pelbagai aktiviti menarik yang mereka boleh lakukan di sana. Antaranya, membuat istana pasir, bermain bola pantai dan juga layang-layang. Pelbagai persiapan yang dilakukan Ahmad sekeluarga untuk pergi berkelah termasuklah menyediakan pelbagai jenis makanan, membawa alat permainan dan lain-lain lagi. Mereka ke sana hanya dengan berjalan kaki memandangkan jarak rumah mereka yang begitu dekat dengan Pantai Sutera. Dalam perjalanan ke sana, mereka bernyanyi-nyanyi kecil untuk menikmati hari cuti mereka dengan ditemani bunyi burung dang angin yang sepoi-sepoi bahasa. 

Setibanya mereka di sana, Ahmad dan keluarganya terkejut melihat segelintir kawasan pantai yang semakin kotor. Lantas, Ahmad mencari tempat lain yang sesuai di sekitar pantai tersebut untuk mereka meneruskan rancangan perkelahan mereka. Adam dan Hawa pula terus menuju ke kawasan gigi pantai untuk mereka mandi-manda sambil membawa alat mainan bersama mereka. Sedang asyik mereka bermain, tiba-tiba Hawa ternampak sebuah identiti yang menyerupai batu hitam dan besar terdampar dalam timbunan kayu dan plastik di tepi pantai berkenaan. Batu hitam tersebut pula bergerak-gerak dan mengeluarkan bunyi yang aneh. Hawa yang takut terus menjerit sekuat hatinya menyebabkan kedua ibu bapanya segera mendapatkannya. Alangkah terkejutnya Ahmad dan isterinya apabila mendapati identiti hitam tersebut tadi rupa-rupanya merupakan seekor penyu yang telah sesat dan terperangkap dalam timbunan sampah. 

Dengan kadar segera, Ahmad menghubungi pihak bomba melaporkan penemuan penyu yang terdampar di kawasan berkenaan. Apabila pihak bomba telah tiba, dengan serta-merta kawasan pantai tersebut dipenuhi dengan penduduk kampung yang ingin turut membantu. Mujurlah pihak bomba segera bertindak menyelamatkan penyu tersebut yang berada dalam keadaan lemah walaupun masih bernyawa. Penyu tersebut akan dihantar ke Pusat Konversasi dan Penerangan Penyu terlebih dahulu sebelum dilepaskan kembali ke laut untuk memastikan ia pulih sepenuhnya. 

Ahmad berasa sangat bersyukur namun kecewa kerana kawasan tersebut yang begitu cantik telah dicemari sehingga boleh menjejaskan ekosistem desa tersebut termasuklah marin seperti penyu. Ahmad mengambil peluang tersebut untuk membincangkan masalah berkenaan dengan penduduk kampung. Setelah diperiksa, mereka mendapati bahawa sampah-sampah berkenaan berpunca daripada kedatangan pelancong yang semakin ramai ke Pantai Sutera setelah pusat peranginan baru dibuka berhampiran pantai berkenaan. Keadaan ini menjadi semakin teruk apabila pusat peranginan tersebut juga didapati melupuskan sesetengah sisa domestiknya ke dalam laut.

Perkara ini sudah tentu harus dicegah sebelum nasi menjadi bubur. Dengan itu, Ahmad mengambil inisiatif untuk mencadangkan kepada penduduk kampung agar mereka bersama-sama melaksanakan kempen kesedaran dan kepentingan pemeliharaan alam sekitar di kampung mereka. Dengan adanya kempen tersebut, pelbagai aktiviti menarik yang sesuai untuk semua peringkat usia dapat dianjurkan seperti gotong-royong perdana, ceramah umum, pertandingan mewarna dan sebagainya. Tambahan pula, penyertaan kempen ini terbuka kepada semua orang awam termasuklah para pelancong. Dengan itu, secara tidak langsung hubungan silaturahim antara penduduk kampung dengan masyarakat luar juga dapat dieratkan. 

Pihak jawatankuasa kebersihan kampung yang diketuai Ahmad telah menetapkan golongan remaja dan kanak-kanak sebagai kumpulan sasaran utama bagi kempen ini kerana mereka merupakan bakal pewaris masa depan negara. Dengan itu, Adam dan Hawa turut tidak terlepas menyertai aktiviti yang dianjurkan dalam kempen ini bersama rakan-rakan mereka. Antara aktiviti yang mereka sertai termasuklah menyediakan poster bertemakan alam sekitar, mengitar semula bahan buangan seperti plastik dan lain-lain lagi. Adam, Hawa dan juga rakan-rakan memperoleh pelbagai pengalaman baru dan berharga sepanjang penglibatan mereka dalam program ini. Tidak dilupakan, pihak jawatankuasa kampung juga telah memutuskan untuk menghantar notis kepada pihak pusat peranginan yang terbabit supaya sentiasa menjaga kelestarian kawasan Pantai Sutera dan sekitarnya.  

Setelah kempen alam sekitar tersebut berjaya dilaksanakan, Ahmad mendapati sampah sarap di sekitar kawasan pantai berkenaan mulai berkurang. Orang awam juga didapati semakin sedar akan tanggungjawab mereka terhadap alam sekitar dengan tidak membuang sampah secara merata-rata. Malahan mereka juga makin sedar bahawa ada sesetengah sampah yang masih lagi dapat digunakan atau dikitar semula. Dengan itu, pembaziran tidak akan berlaku. Sebagai seorang insan, kita mestilah menghargai dan mensyukuri nikmat dan anugerah alam yang dikurniakan tuhan kepada kita dengan bersama-sama menjaganya. Warga desa mengucapkan terima kasih kepada Encik Ahmad dan sekeluarga atas idea serta usaha yang dilakukannya dalam memastikan alam sekitar kampung mereka kekal terpelihara. Ahmad berasa sangat gembira dengan perubahan tersebut dan berharap keindahan serta ekosistem pantai tersebut dapat dikekalkan. 


No comments:

Post a Comment