NAMA: AGNES ANAK TIRO
MATRIK: D20231108127
KUMPULAN: HGM3013 (B) 15/11/2023
Di sebuah kampung tinggal seorang remaja yang bernama Salleh. Salleh tinggal bersama datuknya di sebuah rumah di hujung kampung bernama Kampung Semiung. Datuk Salleh atau lebih dikenali sebagai Datuk Halim merupakan ketua kampung bagi Kampung Semiung. Salleh merupakan seorang yang periang, ceria dan peramah. Dia selalu bersiar-siar dengan membonceng basikal biru tua miliknya di sekitar Kampung Semiung untuk menyapa penduduk kampung dan menghirup udara yang segar bersama-sama dengan rakan-rakannya. Bak kata orang, sambil menyelam minum air. Namun akhir-akhir ini, dia selalu berasa sesak nafas dan langit di kawasan Kampung Semiung juga kelihatan berwarna kelabu. 'Jerebu barangkali.' Bisik hati kecilnya.
Pada suatu petang, Salleh berbual dengan datuknya di luar rumah. Datuknya sedang sibuk menyapu dedaun kering yang jatuh berguguran diatas tanah. Dia bertanya kepada Datuk Halim, "Datuk, kenapa udara di kampung kita sekarang jadi kotor dan berbau busuk? Salleh rindu udara yang segar."
Datuk hanya terdiam, dia telah sedia maklum bahawa telah berlaku pencemaran udara di Kampung Semiung setelah banyak pembinaan kilang-kilang dan banyak kerata yang keluar masuk ke dalam kampung tersebut. Datuk Halim menjelaskan kepada Salleh bahawa pencemaran tersebut datangnya daripada pelepasan asap-asap kilang dan keenderaan yang terdapat di Kampung Semiung.
"Apa yang boleh kita lakukan, Datuk?" ujarnya dengan nada yang bimbang. "Kita perlu lakukan sesuatu sebelum terlambat" ujarnya lagi. Datuk Halim tersenyum melihat Salleh yang penuh semangat. Dia berkata, "Salleh, kita boleh melakukan banyak perkara untuk mengatasi pencemaran udara. Sebelum itu, kita perlu menyedarkan orang ramai tentang masalah ini. Mari kita buat pertemuan desa dan beritahu semua tentang kesan buruk pencemaran udara di kampung kita."
Salleh terus bersetuju dengan cadangan Datuk Halim. Seminggu kemudian, Datuk Halim telah mengatur pertemuan desa yang dihadiri oleh penduduk Kampung Semiung. Mereka berkongsi maklumat tentang pencemaran udara yang berlaku di kampung mereka. Dalam kesempatan itu, Datuk Halim menjelaskan kepada penduduk kampung bagaimana pencemaran udara boleh mempengaruhi kesihatan penduduk Kampung Semiung dan kesannya terhadap alam sekitar di kawasan tersebut. Sedikit sebanyak pertemuan desa tersebut telah menyedarkan penduduk kampung dan mereka yang hadir turut berasa terpanggil untuk menangani masalah tersebut.
Seterusnya, Saleh dan Datuk Halim turut melibatkan kanak-kanak dan remaja di Kampung Semiung dalam kempen 'Bebaskan dan Ceriakan Kampung Semiung." Datuk Halim telah menjemput Persatuan Alam Sekitar daripada universiti tempatan untuk mengajar dan memberi kesedaran kepada penduduk kampung. Mereka mengajar banyak perkara termasuklah kepentingan mengurangkan penggunaan plastik, membuang sampah dengan betul dan menanam lebih banyak pokok. Aktiviti menarik turut dianjurkan dan secara tidak langsung meningkatkan lagi semangat anak-anak muda di Kampung Semiung untuk menyebarkan ilmu yang mereka pelajari kepada keluarga dan rakan sebaya.
Bukan itu sahaja, mereka juga mendekati pemilik kilang dan peniaga tempatan untuk mencari jalan penyelesaian bersama-sama. Dengan bantuan Datuk Halim sebagai pemimpin kampung, mereka telah berjaya meyakinkan beberapa kilang untuk meletakkan penapis asap pada corong-corong asap kilang. Pemilik kilang juga disarankan untuk menggantikan teknologi lama dengan teknologi yang lebih mesra alam. Walaupun tindakan ini sukar dilakukan dan mengambil masa yang lama, namun dengan semangat luar biasa penduduk kampung semua perancangan untuk memulihkan dan mengurangkan masalah pencemaran udara di Kampung Semiung berjalan dengan lancar.
Salleh turut memimpin usaha untuk menyediakan kawasan permainan dan riadah yang mesra alam di Kampung Semiung. Mereka telah melakukan pengecatan semula tempat permainan kanak-kanak menggunakan cat yang tidak mengandungi bahan kimia berbahaya. Cat yang mengandungi bahan kimia berbahaya seperti timah dan merkuri yang dapat memberi kesan kepada kanak-kanak dan alam sekitar. Ini akan memberi ruang yang selamat dan bersih untuk kanak-kanak dan keluarga bermain di taman permainan di situ.
Penduduk Kampung Semiung tidak ketinggalan dalam menggunakan kemudahan teknologi dan komunikasi dalam menyampaikan kesedaran terhadap pencemaran udara yang berlaku di kampung mereka. Mereka telah menggunakan platform media sosial untuk menyebarkan mesej dengan memuat naik poster infografik yang menunjukkan cara-cara mudah untuk mengurangkan pencemaran udara seperti tidak melakukan pembakaran secara terbuka iaitu membakar dedaun atau reranting kering pada waktu petang.
Seiring berjalannya waktu, usaha berterusan yang dilakukan oleh mereka mereka akhirnya membuahkan hasil. Pencemaran udara diKampung Semiung semakin berkurang. Kawasan di sekeliling kampung kini telah dipenuhi pokok-pokok hijau yang menyerikan lagi suasana di Kampung Semiung. Kampung Semiung juga semakin sejuk dan udaranya sangat menyegarkan.
Pada suatu petang, Salleh telah mengajak rakan-rakannya untuk berbasikal mengelilingi kampung. "Ah, rindunya aku pada udara segar ini. Segala penat dan lelah kita telah membuahkan hasil" dengan girang Salleh dan rakan-rakannya terus mengayuh basikal sambal menikmati langit biru yang luas terbentang. Salleh berasa bersyukur kerana usaha mereka telah membawa perubahan positif kepada Kampung Semiung.
Melalui pengalaman tersebut Salleh dapat mempelajari bahawa kerjasama, nilai kesedaran yang tinggi dan tindakan berterusan daripada penduduk kampung begitu penting bagi menjaga kampung mereka daripada pencemaran udara. Kampung Semiung kini telah menjadi contoh bagi kampung lain untuk mengikut jejak langkah mereka dalam melestarikan alam sekitar.
Salleh dan Datuk Halim duduk dibawa pokok rendang di halaman rumah sambil menikmati permandangan matahari terbenam. Salleh memandang langit yang kini tampak jelas dan biru. Dia sedar bahawa perjalanan mereka untuk melawan pencemaran udara bukanlah berada di garisan penamat, tetapi permulaan untuk usaha yang lebih besar dalam melestarikan alam sekitar.
NILAI MURNI:
1. Peramah. Salleh sering menyapa orang kampung ketika bersiar-siar di sekeliling kampung.
2. Kepekaan. Datuk Halim peka terhadap masalah pencemaran udara yang berlaku di Kampung Semiung.
3. Bertanggungjawab. Salleh dan Datuk Halim membuat keputusan untuk menangani masalah pencemaran udara di kampung.
4. Kesedaran. Pertemuan desa yang dilakukan oleh Datuk Halim telah memberi kesedaran kepada penduduk Kampung Semiung sehingga mereka terpanggil untuk berubah bagi menangani masalah tersebut.
5. Kesyukuran. Salleh berasa bersyukur kerana usaha mereka telah membawa perubahan positif kepada Kampung Semiung.
6. Kerjasama. Kampung Semiung bebas daripada masalah pencemaran udara atas kerjasama semua pihak di kampung itu tanpa menira tua dan muda.
No comments:
Post a Comment