NAMA : PUTRI ERRA ELYANA BINTI SHARIZALL
NO. MATRIK : D20231108080
KUMPULAN : A
TAJUK: KAMPUNG SENTOSA KEMBALI BERSINAR
Di suatu kawasan perkampungan yang bernama Kampung Sentosa terdapat sebilangan penduduk berbilang kaum yang hidup aman dan damai . Kawasan perkampungan tersebut agak jauh dari bandar namun pembangunan pekannya semakin pesat. Keindahan kampung ini sangat dikagumi kerana terdapat sebuah pantai yang indah dengan pemandangan matahari terbenam yang sangat cantik.
Namun begitu, waktu demi waktu keindahan kampung tersebut semakin memudar akibat perbuatan membakar sampah secara terbuka oleh warga kampung dan juga pembuangan sampah di sekitar kawasan pantai. Kegiatan tidak bermoral ini telah menyebabkan kawasan Kampung Sentosa kelihatan kotor.
Sewaktu bilangan penduduk di kampung tersebut semakin bertambah, penghasilan sampah meningkat dengan begitu cepat. Akibat daripada sistem pengendalian sampah yang tidak efisien, warga penduduk mula membakar sampah mereka di halaman rumah masing-masing. Pada awalnya, kegiatan membakar sampah ini kelihatan seperti dapat mengatasi lambakan sampah di Kampung Sentosa. Namun tanpa disedari kualiti udara di kampung tersebut semakin merosot.
Pada suatu hari, terdapat seorang budak lelaki yang bernama Amir berkata kepada ibunya iaitu Puan Siti " ibu, kita harus melakukan sesuatu untuk melindungi kelestarian alam sekitar Kampung Sentosa, jika tidak alam sekitar akan semakin tercemar. Puan Siti pun berkata," Ya, Amir kita perlu bertindak sebelum ianya menjadi lebih teruk".
Pembakaran sampah bukan hanya menghasilkan asap hitam yang tebal, akan tetapi ianya juga akan melepaskan gas-gas rumah hijau dan gas-gas berbahaya ke udara. Akibatnya, kesihatan warga penduduk Kampung Sentosa semakin terganggu dan bukan itu sahaja, kesan daripada pembakaran terbuka menyebabkan suhu di kawasan kampung semakin meningkat.
Dari pagi hingga ke petang pembakaran terbuka masih lagi dilakukan oleh para penduduk Kampung Sentosa. Kualiti udara semakin merosot dan lebih teruk lagi terdapat penduduk kampung yang mengadu mengalami iritasi mata dan kesesakan nafas. Pembuangan sampah merata-rata di kawasan pinggir pantai juga semakin berleluasa.
Salah seorang penduduk Kampung Sentosa yang bernama Encik Abu sering melakukan pembakaran terbuka di halaman rumahnya. Encik Abu merupakan salah seorang jiran Amir dan ibunya. Mungkin kerana sibuk bekerja dan menjaga ibunya yang sakit dia tidak mempunyai masa untuk mengendalikan sampah dan sisa pepejal di rumahnya dengan betul dan membuat keputusan untuk membakarnya.
Musim kemarau telah tiba, pokok menjadi layu, rumput dan dedaun kekeringan akibat taburan hujan yang sedikit namun begitu tiupan anginnya agak kuat. Pada hari yang panas dan kering, Encik Abu membakar sampah di halaman rumahnya lalu keluar sekejap membeli barangan rumah meninggalkan ibunya seorang diri di rumah.
Api dari pembakaran sampah merebak luas kerana daun rumput yang kering dan menyebabkan api pembakaran itu tersebar ke arah rumahnya dan menyebabkan rumahnya dijilat api. Amir yang merupakan jiran Encik Abu segera menyuruh ibunya untuk menghubungi pihak bomba.
Dalam masa lima minit pihak bomba telah sampai ke tempat kejadian dan cuba untuk memadam api yang sedang marak itu. Encik Abu yang baru pulang dari kedai terkejut dan menangis lalu lari ke arah rumahnya untuk menyelamatkan ibunya, namun dihalang oleh penduduk kampung kerana api semakin marak membakar rumahnya.
Malang sekali, ibu kepada Encik Abu tidak dapat diselamatkan kerana beliau mengalami kesesakan nafas akibat daripada asap tebal yang telah masuk ke dalam saluran pernafasannya. Dalam suasana yang hiba itu hanya kedengaran suara Encik Abu yang meminta maaf kepada ibunya dengan tangisan yang teresak-esak," Ibu, maafkan Abu ibu , maafkan Abu ".
Kejadian yang menimpa Encik Abu membuka mata warga penduduk bahawa malang tidak berbau. Akibat daripada kelakuannya sendiri dia kehilangan tempat berteduh dan orang yang tersayang. Penduduk kampung berasa simpati dengan kejadian yang menimpa Encik Abu, oleh itu mereka berganding bahu untuk menyalurkan bantuan kepada Encik Abu dengan menyediakan tempat tinggal sementara untuknya.
Penduduk Kampung Sentosa mula menyedari betapa bahayanya melakukan pembakaran terbuka. Mereka bersatu untuk mencari jalan penyelesaian yang lebih baik. Melalui perbincangan bersama, mereka memutuskan untuk membangun kemudahan pengelolaan sampah yang lebih baik dan efisien.
Amir mencadangkan untuk Majlis Daerah Pekan Sentosa menyediakan tong sampah besar di beberapa kawasan Kampung Sentosa dan mengangkut sampah tersebut setiap tiga ke empat hari ataupun setiap hujung minggu. Dengan persetujuan Ketua Kampung Sentosa, beliau menyusulkan cadangan tersebut ke Majlis Daerah Pekan Sentosa. Amir berasa gembira kerana akhirnya dia dapat melakukan sesuatu untuk menjaga kelestarian kampungnya.
Ahli jawatankuasa kampung sentosa juga mula untuk mencari cara untuk berkongsi cara pengurusan sampah atau sisa pepejal yang betul kepada warga penduduk. Kempen kesedaran juga diadakan di sekolah dan pusat komuniti untuk meningkatkan kesedaran tentang kesan buruk dari pembakaran sampah.
Hari demi hari, perubahan baik yang terjadi kepada alam sekitar dan gaya hidup warga penduduk semakin kelihatan. Kualiti udara semakin membaik, asap hitam di udara sudah tiada di kawasan Kampung Sentosa dan penduduk Kampung Sentosa mula menghirup udara yang segar dan melihat pemandangan pantai yang bersih.
Sepanjang tempoh dalam mengatasi masalah pembakaran terbuka di Kampung Sentosa, mereka belajar betapa pentingnya kesedaran alam sekitar di kalangan orang ramai dan erti semangat kejiranan. Dengan tekad yang kuat dan kerjasama yang padu, akhirnya Kampung Sentosa kembali hidup semula dengan kualiti udara yang lebih baik dan kawasan yang lebih bersih dari sebelumnya.
Nilai murni yang terdapat dalam cerita pendek di atas adalah seperti berikut :
1. Tanggungjawab:
Amir berasa dia harus bertanggungjawab atas perbuatan penduduk Kampung Sentosa yang melakukan pembakaran terbuka.
2. Kerjasama:
Amir dan penduduk kampung bekerjasama dalam mencari jalan penyelesaian untuk menjaga semula alam sekitar Kampung Sentosa daripada pencemaran udara dan pembuangan sampah merata-rata.
3. Keberanian:
Amir berani menyuarakan idea dan pendapatnya kepada penduduk kampung tentang Langkah yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah pencemaran alam sekitar di Kampung Sentosa.
4. Cinta terhadap alam sekitar:
Amir dan ibunya berasa risau apabila berlakunya pencemaran di Kampung Sentosa dan mereka berusaha memikirkan cara penyelesaiannya.
5. Simpati:
Penduduk Kampung Sentosa menghulurkan bantuan kepada Encik Abu kerana mereka berasa simpati terhadap kejadian yang telah menimpa dirinya.
6. Semangat kejiranan:
Penduduk Kampung Sentosa sepakat dalam menjalankan langkah penyelesaian pembakaran terbuka dan pembuangan sampah di pinggir pantai dan sebulat suara untuk menghulurkan bantuan kepada Encik Abu.
7. Berbakti kepada orang tua:
Encik Abu sanggup menjaga ibunya yang sedang sakit walaupun sibuk bekerja.
8. Prihatin:
Amir prihatin terhadap kejadian kebakaran rumah Encik Abu dan menyuruh ibunya menghubungi pihak bomba untuk memadam api yang membakar rumah Encik Abu.
No comments:
Post a Comment