NAMA: NUR INSYIRAH BINTI FISOL
NO. MATRIK: D20231108154
KUMPULAN: HGM3013 (B)
Di Hutan Lipur yang dilitupi dengan kehijauan alam semula jadi yang sungguh indah nian, terdapat sebuah kampung terpencil. Kampung tersebut diberi nama Kampung Sentosa dan didiami oleh seramai kurang lebih dua ratus orang penduduk yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur tidak mengira bangsa mahupun agama. Pak Cik Hamzah adalah ketua kampung bagi Kampung Sentosa. Beliau mempunyai seorang anak bernama Aiman. Aiman merupakan anak tunggal dan seorang budak lelaki yang sangat cinta akan alam sekitar. Isteri Pak Cik Hamzah bekerja sebagai seorang guru di sebuah sekolah yang berhampiran dengan rumah mereka.
Pada suatu hari, Aiman pergi ke sebatang sungai yang bernama Sungai Tuah. Sungai tersebut terletak kira-kira tiga puluh kilometer dari rumahnya. Dia pergi ke sungai tersebut bersama-sama beberapa orang lagi rakannya iaitu Amir, Zaki, Rivinesh dan Chen Yi. Mereka berangkat dari rumah ke sungai tersebut pada waktu pagi. Kelihatan burung berterbangan dan berkicauan merentasi tumpukan awan membuatkan mereka berlima semakin teruja untuk sampai ke Sungai Tuah. Kata orang kampung, sungai tersebut mampu memakbulkan permintaan seseorang.
Salah seorang penduduk kampung pernah bercerita tentang sungai tersebut kepada Aiman dan rakan-rakannya semasa mereka hendak menaiki bas untuk pulang ke rumah. Penduduk tersebut memberitahu bahawa pada suatu masa dahulu, ada sebuah keluarga yang mempunyai anak bermasalah kulit tinggal di situ. Anak tersebut bernama Najla. Timbul bintik-bintik merah berkudis buta di kedua-dua belah tangan serta kakinya. Kulit Najla berparut akibat kerap menggaru-garu. Bukan sekali tetapi acapkali. Tabiat menggaru menyebabkan ramai memandang serong terhadapnya. Najla sering dicerca oleh rakan-rakan di sekolahnya. Rakan-rakannya tidak menaruh simpati terhadapnya sebaliknya menggelar Najla, "gadis pelik". Ubat-ubatan yang diambil dari pusat kesihatan yang terletak di hujung kampung tidak membantu sama sekali. Mereka sekeluarga buntu hingga tidak tahu apa yang harus dilakukan lagi untuk menyembuhkan anak istimewa mereka. Setelah Pak Murad iaitu bekas ketua Kampung Sentosa menyarankan untuk ibu dan ayah Najla membawanya mandi di sungai tersebut, barulah kulit gadis itu sembuh seperti sedia kala. Dikatakan, sungai tersebut sangat bersih dan batu-batuan yang mempunyai kandungan mineral mampu menyembuhkan penyakit misteri yang dialaminya sejak satu dekad telah hilang dalam sekelip mata. Air mata kegembiraan dan segaris senyuman bak puteri terukir di bibir Najla dan keluarganya.
Kira-kira lima puluh minit mereka berjalan, Aiman dan rakan-rakannya itu tiba di destinasi, iaitu di Sungai Tuah. Aiman ternampak satu benda berwarna hitam seakan-akan lembaga hitam yang digembar-gemburkan oleh penduduk kampung sejak akhir-akhir ini. Dia segera memberitahu kepada keempat-empat orang rakannya yang sedang sibuk menikmati suasana dingin dan kicauan burung di dalam hutan. Dengan suara yang seperti berbisik, Aiman berkata, "Kawan-kawan, saya ternampak sesuatu yang menggerunkan tadi". Zaki bertanya, "Apa yang awak nampak, Aiman?" dengan nada yang penuh kehairanan. Aiman berkata, "Saya nampak ada lembaga hitam di celah-celah semak-samun di sebelah sungai itu". Dengan berani, langkahan mereka semakin pantas mendekati lembaga hitam yang dikatakan oleh Aiman tadi. Ada juga sedikit rasa takut dalam diri masing-masing sebenarnya. Namun, Chen Yi dengan beraninya menyelak daun-daun di celah-celah semak-samun tersebut. Hela nafas seakan kecewa kerana mempercayai kata-kata penduduk kampung kedengaran kuat. Rupa-rupanya, lembaga hitam yang mereka sangkakan hanyalah longgokan plastik sampah hitam dan sampah sarap yang bertaburan di dalam Sungai Tuah. Perasaan marah dalam hati Aiman membuak-buak mengenangkan nasib sungai yang dahulunya bersih dan mampu menyembuhkan penyakit gadis bernama Najla yang diceritakan kepadanya telah dicemari dengan sisa buangan sampah yang sangat banyak. Mereka berasa hampa dengan tangan-tangan manusia yang sanggup mencemarkan sungai itu.
Dengan tidak membuang masa lagi, mereka berbincang tentang langkah yang perlu diambil bagi mengembalikan kebersihan dan keindahan Sungai Tuah. Mereka membahagikan tugas masing-masing supaya segala kerja pembersihan sungai yang akan dijalankan nanti dapat berjalan dengan mudah dan lancar. Aiman dilantik sebagai ketua manakala Rivinesh menjadi pembantu bersama-sama tiga lagi rakannya. Hari semakin gelap. Mereka pulang ke rumah lalu menceritakan kejadian tersebut kepada ayah Aiman iaitu Pak Cik Hamzah. Pak Cik Hamzah segera mengadakan mesyuarat tergempar melibatkan Ahli Jawatankuasa Kerja Kampung dan penduduk kampung sehingga larut malam. Keesokan harinya, mereka terus menjalankan misi yang dirancang. Penduduk kampung teruja melihat tumbuh-tumbuhan yang jarang ditemukan di kawasan kampung mereka. Sebahagian daripada mereka merancang untuk membawa pulang pelbagai pucuk tumbuhan untuk ditanam di kawasan tanah lapang di belakang rumah mereka.
Setelah tiba di sungai, mereka mula menjalankan tugas masing-masing. Operasi pembersihan dimulakan dari kawasan pinggir sungai yang terletaknya sebuah pondok usang yang kelihatan menyeramkan. Ketika sedang membersihkan kawasan itu, kedengaran bunyi jeritan yang sangat kuat daripada seorang gadis. "Tolong! Tolong!Tolong saya!", ujar si pemilik suara misteri itu. Beberapa orang penduduk kampung yang sedang membersihkan kawasan sekitar segera berlari ke arah suara tersebut. Kelihatan seekor haiwan yang panjangnya dalam sepuluh meter membelit kaki gadis yang meminta tolong tadi. Muka gadis tersebut kelihatan pucat dan badannya lesu seperti kain buruk. Pak Mael yang merupakan salah seorang penduduk kampung dan mahir dalam mengendalikan binatang liar segera mengambil sebatang kayu lalu memukul kepala ular tersebut sambil membaca ayat-ayat suci daripada al-Quran. Gadis tersebut terlepas daripada lilitan haiwan berbisa itu. Setelah situasi menjadi reda, mereka menyambung semula kerja masing-masing. Botol-botol air mineral yang dibuang ke dalam sungai dikutip dan diasingkan daripada himpunan sampah yang lain untuk dikitar semula di tempat pelupusan dan kitar semula di pekan. Sedikit sebanyak, wang tersebut boleh disalurkan sebagai bantuan kepada komuniti kampung yang tidak berkemampuan. Semangat kekitaan yang ditunjukkan oleh penduduk kampung membuatkan Aiman dan rakan-rakannya tersenyum gembira kerana usaha mereka diterima ramai. Aliran sungai kembali pulih seperti sedia kala. Air sungai juga kembali jernih sehingga menampakkan ikan yang sedang berenang-renang serta batu kerikil yang berkilau bak permata.
Usaha mereka mendapat perhatian dan liputan daripada pihak media massa. Pak Cik Hamzah sebagai ketua Kampung Sentosa berbesar hati dan berbangga dengan usaha murni anaknya bersama-sama rakan-rakan serta penduduk kampung. Sejak hari itu, penduduk kampung semakin cakna dan menjaga Sungai Tuah. Sungai Tuah juga kini menjadi sungai tarikan pelancong kerana kebersihan dan keindahannya yang tiada tandingan.
Nilai murni:
1. Keberanian
- Keberanian Aiman dan rakan-rakannya dalam meredah hutan demi mencari Sungai Tuah.
- Keberanian Pak Mael menguruskan haiwan berbisa seperti ular yang membelit kaki mangsanya.
2. Kerjasama
- Kerjasama yang ditunjukkan oleh penduduk kampung ketika menyertai program yang dilaksanakan di Kampung Sentosa.
- Kerjasama antara Aiman dan empat orang lagi rakannya dalam menjayakan misi mereka.
3. Semangat bermasyarakat
- Semangat bermasyarakat penduduk kampung semasa membersihkan sungai.
- Dengan melibatkan penduduk kampung dan menyatukan kekuatan mereka, mereka berhasil mengembalikan kebersihan Sungai Tuah dan membuatkannya menjadi daya tarikan pelancong.
No comments:
Post a Comment