MATRIK: D20231108095
KUMPULAN: HGM3013 (A) 15/11/2023
Di dalam sebuah hutan yang subur, hidup seorang pemburu yang tinggal berseorangan. Pemburu itu sering keluar memburu untuk mendapatkan makanan dan juga menebang pokok untuk dibuat tempat berteduh.
Pada suatu hari, ketika pemburu tersebut ingin keluar memburu, dia terlihat seekor anak rusa yang cedera di bawah pokok. Pemburu tersebut mendapati bahawa kaki anak rusa itu patah.
Pemburu itu segera membawa anak rusa tersebut ke pondok kayunya untuk merawat kakinya yang patah. Pemburu itu tidak berminat untuk memakan anak rusa tersebut kerana saiz badannya yang sangat kecil.
Pemburu tersebut merawat anak rusa tersebut dengan membalut kakinya yang patah. Dia juga membuat keputusan untuk menjaga anak rusa itu sehingga anak rusa itu sembuh sepenuhnya.
Setelah 2 bulan menjaga anak rusa tersebut, akhirnya kaki anak rusa itu sembuh sepenuhnya dan boleh berjalan dengan baik dan pemburu itu juga melepaskan semula anak rusa itu ke hutan.
Keesokkan harinya, pemburu tersebut keluar memburu seperti biasa. Apabila dia berjalan-jalan di hutan dia terdengar suara ngauman yang kuat. Pemburu itu yakin bahawa ada harimau di kawasan terdekat.
Untuk keselamatan, pemburu itu segera mencari jalan lain agar terhindar dari harimau tersebut. Namun jalan yang dilalui pemburu itu sangatlah sukar, dia perlu meredah semak-semak yang tebal di hutan.
Secara tiba-tiba hujan turun dengan lebat dan pemburu tersebut membuat keputusan untuk pulang semula ke pondok kayunya dan menunggu sehingga hujan lebat itu reda.
Apabila tiba di pondok kayunya, pemburu itu terkejut melihat pondok kayunya musnah akibat dihempap oleh pokok besar yang tumbang disebabkan oleh hujan yang lebat dan angin yang kencang.
Pemburu itu merasa kecewa dan dia terpaksa berpindah ke kawasan yang lain untuk mencari tempat perlindungan. Dia membawa kesemua barang-barangnya dan bergerak mengharungi hujan yang lebat.
Ketika dalam perjalanan, pemburu itu secara tiba-tiba tersepak akar kayu pokok yang menyebabkan dia terjatuh dan terguling kebawah curaman hutan. Pemburu itu cedera di bahagian kakinya dan dia tidak dapat untuk bangun.
Pemburu itu cuba sedaya upaya untuk bangun namun masih gagal. Tiba-tiba pemburu itu terlihat kelibat seekor haiwan yang memandang kearahnya dengan pandangan yang tajam. Iaitu seekor harimau belang.
Pemburu itu mula mengigil ketakutan dan dia berdoa didalam hati agar dia tidak dimakan oleh harimau tersebut. Namun harimau itu berjalan semakin mendekat kearah pemburu itu dengan wajah yang menakutkan.
Apabila pemburu itu seolah-olah putus harapan, tiba-tiba datang seekor rusa dewasa yang besar dan bertanduk menerjah lalu menanduk harimau tersebut sehingga menyebabkan harimau itu tercampak jauh.
Pemburu tersebut terkejut dengan kejadian yang berlaku di depan matanya. Harimau itu terus lari meninggalkan pemburu itu dalam keadaan badannya yang tercedera akibat ditanduk.
Setelah harimau itu beredar, maka datanglah seekor anak rusa berdiri disamping rusa dewasa itu. Pemburu itu sedar bahawa anak rusa itu merupakan anak rusa yang dia rawat sebelum ini. Kemungkinan anak rusa itu memanggil bapanya bagi menyelamatkan pemburu itu untuk membalas jasa.
Pemburu itu mengucapkan terima kasih kepada rusa dewasa itu kerana telah menyelamatkannya dari dibaham oleh harimau belang. Rusa dewasa itu seolah-olah memberi isyarat kepada pemburu itu untuk mengendongnya ke tempat selamat.
Pemburu itu terus naik ke atas badan rusa dewasa itu lalu dia terus dibawa ke tempat yang selamat dan jauh dari haiwan buas. Setelah tiba, pemburu itu diletakkan di kawasan hutan yang lapang dan rusa dewasa dan anak rusa itu terus beredar meninggalkan pemburu itu.
Hujan telah pun reda, namun kaki pemburu itu masih lagi cedera. Walaubagaimanapun, pemburu itu tetap bersyukur kerana diselamatkan oleh rusa dewasa itu dari menjadi makanan kepada harimau belang.
Pemburu itu mula sedar bahawa tindakkannya selama ini iaitu memburu dan menebang pokok telah memberi kesan buruk yang berbalik kepada dirinya sendiri. Pemburu itu insaf atas perbuatannya dan berjanji untuk tidak memburu dan menebang pokok lagi.
NILAI MURNI:
1. Kebaikkan: Pemburu menunjukkan sifat kebaikkan dengan merawat anak rusa yang cedera tanpa ada niat jahat.
2. Keinsafan: Pemburu menyedari kesan negatif daripada tindakannya yang sering memburu dan menebang pokok. Menunjukkan keinsafannya dan sedia untuk berubah.
3. Menghargai Jasa: Rusa dewasa menghargai jasa pemburu yang telah merawat anaknya dengan menyelamatkan pemburu dari ancaman harimau belang.
4. Kesyukuran: Pemburu bersyukur kerana diselamatkan oleh rusa dan menyedari kesalahannya terhadap alam sekitar memberikan kesan buruk padanya.
PERSOALAN
1. Apa tindakan yang diambil oleh pemburu setelah melihat anak rusa yang cedera di hutan?
A. Memakan anak rusa tersebut
B. Membawa anak rusa ke pondok kayunya dan merawat anak rusa itu
C. Meninggalkan anak rusa tanpa pertolongan
2. Berapa lama pemburu menjaga anak rusa tersebut sebelum melepaskannya semula ke hutan?
A. 1 minggu
B. 6 bulan
C. 2 Bulan
3. Apa yang terjadi pada pondok kayu pemburu akibat hujat lebat dan angin kencang?
A. Pondok kayu musnah
B. Tidak ada apa yang terjadi
C. Pondok kayu hanya rosak sedikit
4. Bagaimana pemburu boleh terselamat dari harimau belang?
A. Dia memohon pada harimau
B. Seekor rusa dewasa menyelamatkannya
C. Pemburu melawan harimau tersebut
RANCANGAN PENGAJARAN HARIAN (RPH): "Kisah Pemburu dan Anak Rusa"
Tajuk: Pembelajaran Nilai Murni- Kebaikan Hati dan Penjagaan Alam
Objektif Pembelajaran:
1. Murid dapat mengenalpasti nilai-nilai murni yang terdapat dalam kisah "Pemburu dan Anak Rusa"
2. Murid dapat merumuskan pengajaran dan pembelajaran yang dipetik berdasarkan kisah tersebut.
3. Murid dapat memahami pentingnya penjagaan alam sekitar dalam kehidupan seharian.
Aktiviti 1:Pemaparan Kisah
- Guru membacakan kisah 'Pemburu dan Anak Rusa" kepada murid.
- Murid perlu mendengar dengan penuh tumpuan
- Setelah selesai, guru bertanya "Apakah nilai-nilai murni berkaitan alam sekitar yang dapat dikenalpasti dari kisah tersebut".
Aktiviti 2: Perbincangan Nilai Murni
- Murid berbincang dalam kumpulan kecil mengenai nilai-nilai murni yang terdapat dari kisah tersebut.
- Setiap kumpulan berkongsi pemikiran dan membuat senarai nilai murni yang dikenalpasti.
Aktiviti 3: Penulisan Refleksi
- Setiap murid menulis refleksi peribadi mengenai pengajaran yang dipetik dari kisah tersebut.
- Guru membimbing dan memberi panduan penulisan kepada murid dalam menyusun ayat.
Aktiviti 4: Pembentangan Refleksi
- Beberapa murid dipilih untuk berkongsi refleksi mereka dengan kelas dan perlu mempunyai kaitan dengan alam sekitar.
- Guru memberikan komen positif dan memberi ruang untuk pertanyaan dari murid lain.
Aktiviti 5: Menulis Komitmen Peribadi
- Setiap murid menulis komitmen peribadi mereka mengenai cara mereka boleh berbakti terhadap alam sekitar.
- Guru menggalakkan murid untuk merencanakan tindakan praktikal yang dapat mereka lakukan.
Penilaian:
- Penilaian berfokus kepada refleksi dan komitmen peribadi murid.
- Guru memberikan penilaian berdasarkan kejelasan pemikiran, penulisan dan penghayatan murid dalam aktiviti pembelajaran ini.
Catatan Tambahan:
Guru perlu memastikan suasana pembelajaran yang mesra dan memberikan ruang kepada murid untuk berkongsi pendapat. Aktiviti-aktiviti ini hendaklah diselaraskan dengan tahap pembangunan emosi dan intelek murid.
No comments:
Post a Comment