Tuesday, November 14, 2023

KISAH PERJUANGAN AKTIVIS CILIK DAN AHLI KELABNYA

NAMA : KELLY NG LI KUAN
MATRIK : D20231108133
KUMPULAN : HGM 3013 (B)

Di suatu kampung yang tenang iaitu di Kampung Limbanak, terdapat seorang kanak-kanak perempuan ceria bernama Alysia. Gadis berusia sepuluh tahun itu mempunyai kasih sayang yang mendalam terhadap alam sekitar kampungnya. Setiap hari, dia akan menjelajah ke hutan-hutan kecil yang mengelilingi rumahnya bersama kucing kesayangan Si Tompok untuk menikmati keindahan alam di sekelilingnya.

Namun, kebahagiaan Alysia berakhir apabila kedengaran suara mesin yang bising dan kuat melakukan aktiviti penebangan pokok di sekitar hutan. Alysia terkejut melihat pemandangan yang biasanya penuh dengan kehijauan kini dipenuhi dengan mesin-mesin besar yang menebang pokok-pokok. "Apakah yang sedang berlaku?", monolog dalaman Alysia dengan penuh kehairanan. 

Dengan perasaan kerisauan yang kian menguasai, Alysia memutuskan untuk menyelidik lebih lanjut berkenaan aktiviti penebangan pokok yang berlaku di kawasan hutan kegemarannya itu. Dia membaca buku-buku, mencari maklumat di internet, dan berbual dengan orang dewasa serta ahli komuniti yang mungkin memahami dengan lebih baik.

Semakin dia meluaskan penyelidikan dan pemahamannya, semakin jelas bagi Alysia bahawa penebangan pokok secara meluas boleh membawa impak besar kepada kehidupan sekeliling. Kehilangan habitat haiwan, perubahan iklim, dan kehilangan biodiversiti adalah di antara kesan-kesan negatif yang mungkin terjadi. Alysia merasa sudah menjadi tanggungjawab seluruh umat manusia untuk bertindak demi melindungi alam sekitar kampungnya yang tercinta ini.

Dengan tekad untuk membuat perubahan, Alysia mendekati rakan-rakannya di sekolah dan bergiat aktif dalam Kelab Alam Sekitar. Matlamat kelab ini ialah untuk menyedarkan masyarakat mengenai isu-isu semasa yang berlaku dan mengambil langkah-langkah untuk melindungi alam sekitar. Alysia menawarkan diri untuk menjadi pengerusi kelab dan mengajak rakan-rakannya untuk bersama-sama mencari solusi yang berkesan.

Mereka mengadakan perbincangan secara berkala untuk membincangkan idea, merancang program kesedaran, dan mengembangkan inisiatif pemuliharaan alam. Alysia berusaha untuk melibatkan seramai mungkin pelajar mahupun ibubapa mereka yang juga merupakan penduduk Kampung Limbanak agar mereka dapat bersama-sama menjaga keindahan alam sekitar yang semakin terancam.

Alysia dan kelabnya memulakan program kesedaran di kalangan masyarakat. Mereka mengadakan ceramah di sekolah, melakukan pameran di tempat umum bawah anjuran sekolah mereka, dan mengedarkan risalah untuk menyampaikan mesej tentang kepentingan melindungi alam sekitar semula jadi. Alysia sering menjadi jurucakap dengan membawa slogan "Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama" katanya dengan penuh bersemangat, untuk mengajak masyarakat bersama-sama melibatkan diri dalam usaha pemuliharaan alam.

Walaupun mereka mendapat sokongan daripada sebahagian masyarakat, tetapi ada juga yang tidak memahami sepenuhnya implikasi penebangan pokok. Alysia dan ahli kelabnya menyedari perlunya menjelaskan dengan lebih terperinci kesan penebangan pokok dan bagaimana ia berkaitan dengan kesejahteraan hidup mereka sendiri.

Alysia dan kelabnya tidak mahu berhenti pada tahap kesedaran masyarakat sahaja. Mereka memutuskan untuk menyuarakan pendapat mereka dengan pihak sekolah sebagai orang tengah untuk berbincang dengan pihak berkuasa tempatan bagi memerihalkan kepentingan alam sekitar. Dengan penyelidikan yang teliti dan alasan yang kukuh, Kelab Alam Sekitar di bawah bimbingan Alysia sendiri telah berpeluang bersuai muka dengan pihak berkuasa untuk menjelaskan mengenai kesan penebangan pokok yang berleluasan.

Pada mulanya, pihak berkuasa mungkin agak bersikap ragu-ragu. Namun, melalui perbincangan dan pembentangan data yang dibantu oleh guru penasihat Kelab Alam Sekitar, Cikgu Farah, mereka berjaya mendapatkan sokongan pihak berkuasa untuk membentuk satu jawatankuasa khas yang melibatkan wakil dari kelab dan pakar alam sekitar.

Jawatankuasa khas yang terbentuk berusaha untuk merancang program pemulihan hutan. Alysia dan kelabnya terlibat secara langsung dalam aktiviti penanaman semula dan pemuliharaan hutan. Sementara itu, mereka juga bekerjasama dengan pakar ekonomi untuk merancang program kelestarian ekonomi yang dapat memberikan alternatif pendapatan kepada penduduk kampung tanpa merosakkan alam sekitar.

Program pemulihan tidak hanya membawa pulih hutan yang terjejas, tetapi juga memberikan peluang pekerjaan baru kepada penduduk kampung. Mereka memperkenalkan pertanian lestari, pengembangan agrotourism, dan inisiatif ekonomi berasaskan alam semula jadi untuk mewujudkan kestabilan ekonomi dan mewujudkan hubungan yang lebih erat dengan persekitaran semula jadi.

Melalui usaha berterusan Alysia dan kelabnya, mereka mulai melihat perubahan dalam sikap masyarakat. Walaupun pada mulanya terdapat sedikit keraguan, tetapi masyarakat kini semakin memahami kepentingan menjaga alam sekitar. Program pendidikan dan kesedaran terus dijalankan di sekolah mahupun di kawasan kampung itu sendiri untuk memastikan pengetahuan ini terus diperluas dan terperinci dalam kehidupan seharian masyarakat.

Alysia dan kelabnya juga menggalakkan keterlibatan aktif masyarakat tidak kira para pelajar, ibubapa, warga sekolah mahupun penduduk kampung dalam program pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar. Mereka terlibat dalam hari sukarelawan, bengkel kelestarian, dan program pendidikan untuk mempuk rasa sayang dan peka dengan peranan kita terhadap kelestarian alam.

Alysia, yang kini berusia 15 tahun, melihat ke masa lampau dengan perasaan penuh bangga. Meskipun masih ada cabaran dan rintangan yang perlu diharungi, dia yakin bahawa langkah-langkah yang telah diambil bersama kelabnya telah membawa perubahan positif yang besar. Masyarakat mereka kini lebih peka terhadap alam sekitar dan bersedia untuk berkolaborasi dalam usaha pemuliharaan.

Kisah Alysia dan perjalanan Kelab Alam Sekitar mereka bukan hanya menjadi inspirasi untuk kampung mereka, tetapi juga menjadi contoh bagi komuniti di sekitar. Mereka membuktikan bahawa anak-anak muda mempunyai kemampuan untuk membawa perubahan positif dan melibatkan seluruh komuniti dalam usaha pemuliharaan alam. Dengan tekad dan kerjasama, mereka membina corak masa depan yang lebih cerah dan kelestarian untuk kampung mereka.

Nilai murni :
1. Cinta akan alam sekitar. Alysia mempunyai kasih sayang yang mendalam terhadap alam sekitar dan keindahan kampungnya.
2. Bertanggungjawab. Alysia merasa sudah menjadi kewajipannya untuk melibatkan diri dalam usaha pemuliharaan alam sekitar.
3. Berkerjasama dan kepemimpinan. Alysia tidak hanya bekerja sendirian tetapi menyertai kelab dan memimpin usaha untuk melibatkan masyarakat.
4. Kesedaran masyarakat. Melalui penglibatan dalam kelab, Alysia berusaha untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu-isu alam sekitar.
5. Keberanian. Alysia tidak hanya menyedari masalah tetapi juga bertindak untuk mencari penyelesaian dan melaksanakannya.
6. Kesabaran dan ketabahan. Meskipun menghadapi keraguan dan rintangan, Alysia dan kelabnya bersikap sabar dan tabah dalam usaha mereka untuk membawa perubahan.

No comments:

Post a Comment